Salah seorang penerima Bingkas Salina Damsah membeli barangan keperluan asas ketika tinjauan Media Selangor di Pasaraya Maju A&A, Gombak pada 15 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

35,824 mohon BINGKAS sejak syarat dilonggar 5 Julai

SHAH ALAM, 18 JULAI: Sebanyak 35,824 permohonan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) diterima negeri sejak permohonan baharu dibuka bermula 5 Julai, kata EXCO kebajikan.

Anfaal Saari memaklumkan semua permohonan itu akan diproses dalam tempoh antara dua minggu hingga sebulan oleh pusat khidmat masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Menawarkan bantuan RM300 sebulan, jelasnya, inisiatif itu ditambah baik antaranya pendapatan bulanan isi rumah kepada RM5,000 dan ke bawah dengan peruntukan sebanyak RM108 juta.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari bercakap kepada media selepas Majlis Penyampaian Biasiswa Wanita Berdaya Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 10 Julai 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Syarat permohonan ditambah baik kerana kita mahu memperluas selain melihat ada keperluan membantu kelompok pertengahan antara B40 dan M40,” katanya menerusi program Hai Selangor hari ini.

Beliau menambah pembaharuan syarat kelayakan itu tidak menjejaskan golongan berpendapatan rendah berikutan PKM akan menyaring permohonan dan mengutamakan mereka yang benar-benar layak.

Dalam pada itu, Anfaal menjelaskan Kerajaan Selangor turut mengubah kuota pemberian inisiatif BINGKAS mengikut keperluan dan jumlah penduduk di DUN masing-masing.

“Ada sesetengah DUN yang masih mempunyai baki kuota dan kita ubahnya mengikut keperluan terutama kawasan yang pengundinya ramai seperti Pelabuhan Klang, Meru dan Batu Tiga.

“Kita agih mengikut keperluan DUN dan sekiranya pengundi mereka tidak ramai, kita kurangkan kuota. Ini bagi membolehkan peruntukan yang disediakan digunakan sepenuhnya,” katanya.

Pada 5 Julai, Anfaal mengumumkan syarat permohonan BINGKAS dilonggarkan kepada isi rumah bawah RM5,000 berbanding RM3,000 sebelum ini bagi memastikan lebih ramai menerima manfaat.

Menurutnya, bantuan RM300 sebulan selama 24 bulan boleh dimohon sehingga 15 Ogos menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) atau laman sesawang www.bingkasselangor.com.


Pengarang :