Selangor Red Giants meraikan kemenangan selepas muncul juara kejohanan Mid Season Cup Mobile Legend Bang Bang (MLBB) 2024 di Riyadh, Arab Saudi pada 14 Julai 2024. Foto Facebook Esports World Cup
SELANGOR

Peminat e-sukan bangga Selangor Red Giants harumkan nama negara

Oleh SHAHRIENA RUKHAINI MOHD SHUKRI

SHAH ALAM, 18 JULAI: Rata-rata peminta e-sukan melahirkan rasa bangga atas kemenangan pasukan Selangor Red Giants (SRG) pada kejohanan Mid Season Cup (MSC) Mobile Legend Bang Bang (MLBB) 2024, Isnin lalu.

Pelajar, Dzarul Iqbal, 18, berkata dia kagum melihat strategi yang digunakan pasukan SRG dalam perlawanan dan bersorak gembira sebaik diumum sebagai pemenang.

Adam Zidan, 15, ketika tinjauan sekitar Shah Alam pada 16 Julai 2024. Foto FARHAN/MEDIA SELANGOR

“Saya menyaksikan perlawanan itu bersama rakan-rakan. Strategi SRG dalam permainan itu memang menggagumkan. Kami bersorak bila SRG menang dan rasa bangga,” katanya kepada Media Selangor.

Bagi Adam Zidan, 15, kemenangan SRG membuktikan Malaysia mampu menempa nama di peringkat antarabangsa menerusi e-sukan.

“Saya bangga Selangor menang, ini membuktikan Malaysia boleh bersaing dan menang dalam pelbagai acara sukan di peringkat dunia termasuk e-sukan,” katanya.

Danila Alisya, 17, ketika tinjauan sekitar Shah Alam pada 16 Julai 2024. Foto FARHAN/MEDIA SELANGOR

Danila Alisya, 17,  pula teruja kemenangan SRG dapat mengharumkan nama negara dan berpendapat e-sukan membuka peluang kepada anak muda beraksi di pentas antarabangsa.

“Cuma nasihat saya, adik-adik yang nak main permainan dapat bahagikan masa antara pelajaran dan permainan supaya berjaya dalam kedua-dua bidang sekali,” katanya.

SRG melakar sejarah tanah air apabila menjuarai kejohanan MSC hasil kemenangan 4-3 ke atas pasukan Filipina Falcons AP Bren Sport di Amazon Arena Riyadh.

Mereka membawa pulang trofi kejuaraan selain wang tunai AS$1 juta (RM4.6 juta) manakala Muhammad Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman selaku pemain paling bernilai memenangi AS$50,000 (RM235,000).

EXCO Belia dan Sukan Najwan Halimi bergambar bersama pemain pasukan Selangor Red Giants (SRG) yang menjuarai kejohanan Mid Season Cup (MSC) Mobile Legend Bang Bang di Riyadh, Arab Saudi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 17 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

 


Pengarang :