Grafik BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lebih banyak syarikat bukan Bumiputera miliki sijil halal

SHAH ALAM, 18 JULAI: Lebih banyak syarikat bukan Bumiputera mempunyai pensijilan halal berbanding syarikat Bumiputera, dedah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bercakap dalam sidang Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata hanya 3,619 syarikat Bumiputera atau 39.6 peratus mempunyai sijil halal berbanding 5,720 syarikat bukan Bumiputera.

“Pensijilan halal Malaysia dapat pengiktirafan dunia, namun ia bukan bermakna kita berpuas hati dengan kedudukan ini. Kita perlu buat penilaian semula bersesuaian dengan kehendak semasa.

“Struktur halal perlu melibatkan sijil, bakat, dasar dan pelan pembangunan serta pemasaran halal. Pemegang taruh pula kita tetapkan bengkel khas untuk tambah baik sektor ini,” katanya hari ini.

Menjawab soalan wakil rakyat Kuala Pilah Dato’ Adnan Abu Hassan, beliau menambah sebanyak 9,146 syarikat menerima pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia setakat Julai.

Daripada jumlah itu, jelasnya, sebanyak 8,105 melibatkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana, manakala selebihnya syarikat multinasional.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata kerajaan melancarkan Pelan Induk Industri Halal bagi meningkatkan penyertaan syarikat Bumiputera mendapatkan pensijilan tersebut.

Selain itu, katanya, agensi kerajaan Halal Development Corporation Berhad (HDC) turut menjalankan pelbagai usaha program pembangunan melibatkan syarikat tempatan.

“Melalui pelan itu, syarikat Bumiputera diberi peluang menceburi sektor halal berpotensi tinggi bagi memperkukuh rantaian bekalan, mengadaptasi teknologi digital dan pengkomersialan produk inovasi,” katanya.

 


Pengarang :