Ahli keluarga di hadapan Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh ketika bedah siasat dijalankan ke atas mayat Nur Farah Kartini, 25,, pada 16 Julai 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jenazah Nur Farah Kartini diserah kepada keluarga hari ini

SUNGAI BULOH, 18 JULAI: Jenazah Nur Farah Kartini Abdullah akan diserahkan kepada keluarganya hari ini, kata Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

Beliau berkata proses bedah siasat termasuk ujian padanan asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan mayat yang ditemukan di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor ialah Nur Farah Kartini, 25.

Semalam, Hussein dilaporkan berkata jenazah akan diserahkan kepada keluarga bergantung kepada hasil keputusan ujian padanan DNA yang diambil daripada ahli keluarganya oleh Jabatan Kimia.

Sementara itu, abang kepada mangsa Mohd Fariza Amir Abdullah, 28, berkata jenazah adik bongsunya itu akan disolatkan di Masjid As-Syakirin, Kampung Tanjung Selangor di Pekan, Pahang.

“Jenazah kemudian akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, Pekan dan butiran lanjut akan kongsi kemudian,” katanya.

Terdahulu, tinjauan di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh mendapati keluarga Nur Farah Kartini tiba pada 11.10 pagi bagi urusan tuntutan jenazah.

Nur Farah Kartini dilaporkan hilang sejak 10 Julai lepas, selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan dan mayatnya dijumpai kira-kira 6 petang pada Isnin.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga seorang anggota polis bertugas di Perak ditahan dan direman hingga 22 Julai untuk membantu siasatan berkaitan kes terbabit di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

– BERNAMA


Pengarang :