KUALA LANGAT, 18 JULAI: Seramai 11 pasangan saudara baharu Islam dari suku kaum Temuan dan Mah Meri diraikan dalam program Raikan Cinta Orang Asal Daerah Kuala Langat 2024, hari ini.
Majlis anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) itu meriah dengan kehadiran lebih 100 anggota keluarga dan rakan semua pasangan terbabit di Kompleks Islam Daerah Kuala Langat, di sini.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Undang-Undang Keluarga Jais, Dr Amru Alhaz Adnan berkata Kuala Langat dipilih sebagai projek rintis bagi membantu urusan perkahwinan komuniti Orang Asal.
“Saya melihat majlis ini sebagai program yang amat baik kerana membantu dan memudahkan masyarakat yang kurang berkemampuan khususnya Orang Asal yang baharu memeluk Islam.
“Ini merupakan program pertama Jais dan selepas ini kami akan adakan program sama di setiap daerah bagi membantu Orang Asal mendirikan rumah tangga sekali gus menyebarkan dakwah,” katanya ketika ditemui pemberita.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/07/j1-4-500x333.jpg.webp)
Terdahulu, semua pasangan pengantin dinikahkan Pegawai Hal Ehwal Islam Pejabat Agama Daerah Kuala Langat kira-kira jam 9 pagi sebelum diarak sejauh kira-kira 50 meter ke dewan persandingan.
Dalam pada itu, Siti Zahara Saimon, 26, tidak menyangka dapat mendirikan rumah tangga bersama sahabatnya, Nur Zalina Goh Kim San, 25, yang dikenali sejak berumur tujuh tahun.
“Semasa tahu mengenai program ini, saya maklumkan pada Nur Zalina dan kemudiannya dia pun bersetuju dan kami terus melakukan urusan persiapan perkahwinan bersama-sama.
“Ini merupakan pengalaman manis kami berdua dan kami juga tidak menyangka akan diraikan dalan majlis besar-besaran seperti ini,” kata anak kelahiran Kampung Sungai Bumbu Pulau Carey ini.
Bagi Nor Aliza Lelah, 24, dari Kampung Orang Asli Taman Desa Kemandol bersyukur dapat berkahwin serentak bersama sepupunya, Nor Ashira Hini, 23.
Nor Aliza yang baharu memeluk Islam sejak dua tahun lalu berkata majlis perkahwinan berkenaan mengeratkan hubungan keluarga besar mereka tanpa mengeluarkan perbelanjaan yang banyak.
“Syukur kerana dapat jimat banyak. Suami hanya perlu keluarkan perbelanjaan mas kahwin sahaja, manakala selebihnya ditanggung Jais. Terima kasih kerana membantu kami,” katanya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/07/j3-5-500x333.jpg.webp)
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/07/j2-5-500x333.jpg.webp)