Skuad boling remaja wanita negara meraikan kemenangan selepas menewaskan pesaing utama Singapura 2-0 untuk memenangi pingat emas pertama yang bersejarah bagi acara berpasukan wanita pada Kejohanan Remaja Dunia IBF di Stadium Fiesta Asiad Bowling Icheon, Korea Selatan pada 18 Julai 2024. Foto Facebook Bowling Malaysia
AGENDASUKANKINI

Skuad boling remaja wanita raih emas pada kejohanan dunia di Korea Selatan

KUALA LUMPUR, 18 JULAI: Skuad boling remaja wanita negara meraih pingat emas dalam acara berpasukan pada Kejohanan Remaja Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) di Stadium Fiesta Asiad Bowling Icheon, Korea Selatan, hari ini.

Menurut laman abf-online.org, pasukan wanita Malaysia mempamerkan aksi cemerlang apabila menumpaskan Singapura 2-0, masing-masing dengan 221 dan 236 mata pada perlawanan pertama dan kedua manakala pasukan lawan meraih 211 dan 190 mata.

Skuad itu dibarisi Nur Hazirah Ramli yang menyambut ulang tahun kelahirannya hari ini selain Adania Mohd Redzwan Anis Hannani Romzi dan Adelia Nur Irwan Syazalee.

Pingat emas tersebut merupakan satu-satunya pingat diraih kem negara sepanjang 12 hari kempen Kejohanan Remaja Dunia IBF yang berlangsung sejak 7 Julai lepas.

Mereka sebelum itu melangkah ke final selepas menewaskan pasukan Colombia 2-1 pada aksi separuh akhir.

– BERNAMA


Pengarang :