PBTSELANGOR

Cukai naik selepas 32 tahun, MPS buka sesi pendengaran hingga 30 Ogos

SHAH ALAM, 18 JULAI : Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menerima 44,029 bantahan kadar cukai taksiran baharu, setakat 31 Mei lalu.

Timbalan Pengarah Korporatnya Ahmad Fauzi Ishak berkata sesi pendengaran bantahan diadakan sepanjang hari berkerja sejak 1 Julai lalu sehingga 30 Ogos ini di Dewan Beringin Taman Seri Gombak.

“Setakat semalam, seramai 3,790 pemegang harta hadir ke sesi pendengaran bantahan dan rata-ratanya menyatakan kadar baharu itu agak mahal ditambah dengan kos sara hidup tinggi ketika ini.

“Bantahan ini merupakan satu proses yang perlu kita selesaikan dan cadangan senarai nilaian baharu ini juga perlu diangkat kepada Kerajaan Negeri selewat-lewatnya 30 September ini,” katanya kepada Selangorkini.

Tidak menaikkan kadar cukai selama 32 tahun sejak 1992, Ahmad Fauzi berkata MPS turut membuat hebahan kadar kenaikan itu menerusi info grafik di laman web rasmi MPS dan media sosial.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan lanjut berhubung bantahan boleh hubungi Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MPS menerusi talian 03-6126 5905/5906/5907.

Tujuh PBT lain juga tidak membuat semakan kadar cukai antara 20 hingga 40 tahun lalu seperti Majlis Perbandaran Kajang paling lama iaitu 39 tahun sejak 1985 serta Majlis Perbandaran Kuala Langat selama 37 tahun sejak 1987.

Bagi Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), pihak berkuasa tempatan itu tidak menaikkan cukai taksiran selama 32 tahun sejak 1992 bagi kawasan Subang Jaya dan Bandar Sunway. Manakala kawasan USJ, Puchong, Seri Kembangan dan Serdang selama 28 tahun sejak 1996.

Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) pula selama 27 tahun sejak 1997, manakala Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) 28 tahun sejak 1986.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pula tidak mengenakan sebarang peningkatan cukai taksiran selama 18 tahun sejak 2006.

Pada 30 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan proses penilaian baharu yang dijalankan PBT penting demi memastikan keberkesanan perancangan bandar.

Program Raikan Cinta Orang Asal Daerah Kuala Langat 2024 yang diadakan dengan kos RM43,000 turut menerima penajaan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI).

 


Pengarang :