Peserta e-sukan memulakan pertandingan Mobile Legends pada majlis perasmian Kemahiran e-Sukan Robotik XTIV Selangor Fasa 2 di Dewan MDKS, Saujana Utama pada 22 Julai 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Cungkil bakat baharu e-sukan, Selangor Red Giants hasrat anjur pelbagai aktiviti

SHAH ALAM, 18 JULAI: Pengurusan pasukan Selangor Red Giants (SRG) bercadang untuk mendekati komuniti bagi mencari bakat baharu dalam e-sukan Mobile Legend.

Ketua pasukannya Simon Lim berkata pihaknya turut merancang untuk mengadakan pelbagai aktiviti termasuk program Latihan intensif bagi merancakkan lagi industri e-sukan.

Ketua Pasukan Selangor Red Giants (SRG) Simon Lim. Foto Harimau Malaya

“Kita merancang adakan pelbagai aktiviti bersama dengan ahli pasukan SRG untuk mendekati anak-anak muda lain yang berminat dalam e-sukan.

“Ini sebahagian daripada usaha kita untuk mencungkil bakat anak-anak muda sekali gus memastikan pembangunan e-sukan terus berkembang,” katanya keika dihubungi.

Mengulas pencapaian SRG di kejohanan Mid Season Cup (MSC) Mobile Legend Bang Bang (MLBB) di Arab Saudi baru-baru ini, Simon menjelaskan pasukannya turut merasai tekanan ketika beraksi di pentas dunia.

“Tekanan bermain di pentas dunia buat kali pertama memberi cabaran kepada setiap ahli pasukan. Malah, faktor perbezaan waktu dan negara menyukarkan pasukan untuk membuat latihan perlawanan dengan pasukan lain yang sesuai kerana ‘server’ berlainan.

“Namun, semua itu kita dapat atasi hasil latihan yang dijalani selama lapan jam selama enam hari seminggu. Pasukan SRG telah memulakan latihan sejak awal tahun ini lagi,” katanya.

Selangor Red Giants meraikan kemenangan selepas muncul juara kejohanan Mid Season Cup Mobile Legend Bang Bang (MLBB) 2024 di Riyadh, Arab Saudi pada 14 Julai 2024. Foto Facebook Esports World Cup

SRG melakar sejarah tanah air apabila menjuarai kejohanan MSC hasil kemenangan 4-3 ke atas pasukan Filipina Falcons AP Bren Sport di Amazon Arena Riyadh.

Mereka membawa pulang trofi kejuaraan selain wang tunai AS$1 juta (RM4.6 juta) manakala Muhammad Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman selaku pemain paling bernilai memenangi AS$50,000 (RM235,000)

Kemenangan SRG turut mendapat perhatian Raja Muda Selangor apabila Baginda menyifatkan kemenangan itu sebagai kejayaan luar biasa dan pencapaian bersejarah.

Titah Tengku Amir Shah yang merupakan pemilik SRG, pasukan tersebut bukan sahaja mempamerkan keberanian, kegigihan dan keazaman semasa kejohanan tetapi sejak memulakan projek e-sukan pada 2023.

 


Pengarang :