Polis membawa suspek kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah untuk menunjukkan lokasi barangan peribadi mangsa dibuang di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor pada 17 Julai 2024. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Kes bunuh Nur Farah Kartini, polis mohon lanjut reman suspek

SUNGAI BULOH, 18 JULAI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memohon untuk melanjutkan reman anggota polis disyaki terlibat kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah yang tamat Isnin depan.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi Bernama berkata ini susulan siasatan masih lagi di peringkat awal dan terdapat banyak aspek yang belum diselesaikan.

Semalam Bernama melaporkan 26 saksi telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes pembunuhan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu termasuk rakan Allahyarham dan rakan sekerja suspek.

Nur Farah Kartini, 25, dilaporkan hilang pada 10 Julai lepas selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan sebelum mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira 6 petang pada 15 Julai.

Susulan itu, polis menahan seorang anggota polis berusia 26 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Hari ini jenazah Nur Farah Kartini dituntut keluarga dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, Pekan, Pahang.

— BERNAMA


Pengarang :