SHAH ALAM, 18 JULAI: Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia memutuskan Selangor bakal menjadi tuan rumah temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang berlangsung di Bukit Jalil petang tadi, maklum Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi kenyataan.
“Sistem penggiliran tuan rumah SUKMA ditetapkan secara berselang seli setiap dua tahun antara MSN dan negeri. Walau bagaimanapun, negeri boleh menawarkan diri pada giliran MSN sekiranya tidak melibatkan kos pengelolaan besar serta memiliki kemudahan mencukupi.
“Berdasarkan kepada syarat berkenaan, Selangor tampil menawarkan diri dan Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia sebulat suara mengesahkan pemilihan Selangor selaku tuan rumah SUKMA 2026. Kelantan kemudiannya mengambil giliran selaku tuan rumah SUKMA 2028,” kata MSN.
Kenyataan itu memaklumkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa memastikan temasya SUKMA relevan sebagai platform pertandingan berkualiti untuk atlet remaja daripada seluruh negara, selain memberi peluang negeri-negeri untuk memiliki fasiliti sukan terbaik.