EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Anfaal Saari melawat pameran yang disediakan pada Majlis Anugerah Ikon Program Insentif Digital Media Usahawan Wanita Muda (USAHAWANITA) di Hotel Mardhiyyah and Suites, Shah Alam pada 19 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Usahawan wanita perlu mahir teknologi digital, kekal berdaya saing

SHAH ALAM, 19 JULAI: Usahawan wanita di Selangor digalak menguasai kemahiran teknologi digital supaya terus kekal berdaya saing seiring perkembangan semasa.

EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berkata penglibatan ke arah pendigitalan akan membantu golongan itu meningkatkan potensi dan pasaran perniagaan masing-masing.

Jelasnya, pembudayaan digital dan inovasi turut terkandung dalam Dasar Wanita Selangor 2024-2026 bagi memberdaya kumpulan itu selain meningkatkan sosioekonomi dan autonomi mereka.

“Cabaran menjadi usahawan wanita amatlah tinggi, sebab itu kita perlukan pendigitalan dan inovasi supaya usaha-usaha kita mendapat impak berlipat ganda.

EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Anfaal Saari berucap pada Majlis Anugerah Ikon Program Insentif Digital Media Usahawan Wanita Muda (USAHAWANITA) di Hotel Mardhiyyah and Suites, Shah Alam pada 19 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Penguasaan teknologi digital kunci negara mengatasi batasan produktiviti, justeru Kerajaan Negeri sentiasa komited memperkasa usahawan digital ke arah matlamat Negeri Pintar menjelang 2025,” katanya.

Beliau berucap demikian ketikan merasmikan Majlis Anugerah Ikon Program Insentif Digital Media Usahawan Wanita Muda (Usahawanita ) 2024 di sini, hari ini.

Sementara itu, Anfaal dalam sidang media berkata Kerajaan Negeri komited meneruskan program memberdaya usahawan wanita termasuk pendigitalan perniagaan bagi meningkatkan potensi mereka.

“Semua ini sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Negeri dalam menepati dasar wanita Selangor berkaitan meningkatkan tahap sosioekonomi,” katanya.

Terdahulu, Anfaal menyampaikan anugerah Ikon Usahawanita 2024 kepada pengasas BNG Homeware Hub, Nooraihan Che Li yang membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000 dan trofi.

Program Insentif Digital Usahawan Wanita Muda adalah inisiatif Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Ekonomi Penjagaan melalui Wanita Berdaya Selangor.

Program selama enam bulan itu merangkumi empat fasa termasuk latihan asas, latihan lanjutan, praktikal dan pertandingan dengan 302 penyertaan diterima.

Seramai 112 usahawan mengikuti program dan latihan lanjutan merangkumi pelbagai aspek termasuk penciptaan kandungan, pemasaran media sosial, reka bentuk grafik, kandungan visual dan e-dagang.

EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Anfaal Saari bersama kesemua finalis Anugerah Ikon Usahawanita pada Majlis Anugerah Ikon Program Insentif Digital Media Usahawan Wanita Muda (USAHAWANITA) di Hotel Mardhiyyah and Suites, Shah Alam pada 19 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

 


Pengarang :