Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan meninjau persiapan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 yang akan berlangsung 20 Julai 2024. Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
AGENDANASIONAL

Sultan Ibrahim gemar masakan kampung, pedas

JOHOR BAHRU, 19 JULAI: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim tidak cerewet dalam pemilihan santapan tetapi seboleh-bolehnya sajian yang disediakan perlulah mempunyai sedikit rasa pedas serta tidak terlalu manis.

Tukang masak peribadi kepada Sultan Ibrahim, Hamdan Dollah, 57, berkongsi pengalaman kepada Bernama bahawa Seri Paduka Baginda juga gemarkan masakan Melayu kampung seperti asam pedas, gulai nanas ikan kering, ulam-ulaman dengan sambal belacan, siput sedut, kerang rebus dan banyak lagi.

“Sebenarnya makanan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah tidak banyak beza kerana Seri Paduka Baginda berdua gemarkan makanan kampung. Ada kalanya kalau Sultan Ibrahim hendak berubah selera barulah menitahkan saya menyediakan makanan lain.

“Sultan Ibrahim sensitif dengan rasa makanan, perlu ada keseimbangan rasa masin, masam, manis semua perlu cukup dan kalau Seri Paduka Baginda berkenan memasak sendiri, saya akan sediakan semua bahan-bahannya,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di sini, baru- baru ini.

Hamdan yang berkhidmat dengan Seri Paduka Baginda sejak 2012 berkata Sultan Ibrahim sangat hebat di dapur dan mempunyai kemahiran memasak pelbagai makanan antaranya menu barat dan Cina.

Beliau berkata Yang di-Pertuan Agong juga gemar memasak dalam jumlah yang banyak untuk diberikan kepada petugas di istana selain mempunyai doktor peribadi yang akan memberi nasihat mengenai aspek pemakanan.

Hamdan yang telah berkhidmat selama 12 tahun dengan Sultan Ibrahim berkata Seri Paduka Baginda sangat menekankan kebersihan, dan disiplin dalam kalangan petugas istana selain sering bergurau.

“Sultan Ibrahim tidak terlalu tegas dengan pekerja dan kami sememangnya senang berurusan serta berkhidmat dengan Seri Paduka Baginda,

“Satu lagi, Sultan Ibrahim suka pada kekemasan dan sentiasa mengingatkan pekerja supaya kelihatan kemas dan menjaga disiplin dalam bekerja, segalanya perlu dalam keadaan teratur,” katanya yang berpengalaman bekerja selama 21 tahun di hotel.

Menceritakan bagaimana bermulanya tugas sebagai tukang masak peribadi kepada Sultan Ibrahim, Hamdan berkata ia bermula ketika Seri Paduka Baginda sering berangkat ke Pengerang, sebelum menawarkannya untuk bekerja di istana.

“Ketika Seri Paduka Baginda bertanya sekiranya saya mahu bekerja di istana, saya terdiam, sebelum menerima tawaran itu walaupun berada dalam keadaan terkejut.

“Kenapa saya terima? sebab saya anggap ia rezeki apatah lagi bila Sultan Ibrahim sendiri yang pelawa. Ini semua ketentuan Allah, saya bersyukur, Alhamdulillah kerja di istana banyak mengubah kehidupan saya menjadi lebih stabil.

Selain itu, Hamdan juga bersyukur kerana sebagai tukang masak peribadi, beliau berpeluang mengikut Seri Paduka Baginda ke luar negara dan lebih istimewa kerap ke Istana Negara untuk membantu petugas menyediakan santapan selepas Sultan Ibrahim dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan lepas.

– BERNAMA


Pengarang :