Mercu tanda di Pusat Perniagaan Banting, Kuala Langat. Foto Facebook Majlis Perbandaran Kuala Langat
PBTSELANGOR

MPKL semak semua bantahan cukai taksiran, pendengaran mulai 24 Julai

SHAH ALAM, 19 JULAI: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) akan menyemak semua bantahan berhubung kenaikan kadar cukai taksiran yang dikemuka penduduk.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu ketika dihubungi memaklumkan pihaknya menerima 3,579 bantahan daripada pemilik harta setakat 25 Jun lalu.

“Mesyuarat Pendengaran Bantahan Senarai Nilaian Baharu MPKL diadakan mulai 24 Julai hingga 19 Ogos  di Dewan Sri Jugra, Telok Datok.

“Ketika mesyuarat, kita akan mendengar alasan disuarakan pembantah. Semua bantahan yang dikemukakan akan disemak semula sebelum keputusan dibuat,” katanya.

Sebanyak tujuh PBT tidak membuat semakan kadar cukai taksiran antara kira-kira 20 hingga 40 tahun lalu.

Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) paling lama tidak menaikkan kadar itu selama 39 tahun sejak 1985, diikuti Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) 37 tahun sejak 1987 dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) 32 tahun sejak 1992.

Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pula tidak menaikkan cukai taksiran selama 32 tahun sejak 1992 bagi kawasan Subang Jaya dan Bandar Sunway. Manakala kawasan USJ, Puchong, Seri Kembangan dan Serdang selama 28 tahun sejak 1996.

Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) pula selama 27 tahun sejak 1997, manakala Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) 28 tahun sejak 1996.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pula tidak mengenakan sebarang peningkatan cukai taksiran selama 18 tahun sejak 2006.

Pada 30 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan proses penilaian baharu yang dijalankan PBT penting demi memastikan keberkesanan perancangan bandar.


Pengarang :