AGENSISELANGOR

Cabutan bertuah pesta buku kanak-kanak tawar RM50,000, 20 pemenang setiap hari

SHAH ALAM, 19 JULAI: Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM50,000 sepanjang berlangsung dari 24 hingga 28 Julai ini.

Ketua bahagian korporat Zafrullah Aris berkata setiap hari seramai 20 pemenang akan ditentukan secara rawak menerusi proses cabutan sekali gus layak menerima RM500.

“Cabutan ini terbuka kepada semua pengunjung yang membuat pembelian RM30 ke atas dalam satu resit. Setiap hari kita akan cabut 20 pemenang.

“Mereka tidak perlu tunggu di pesta ini. Mereka yang bertuah akan dihubungi untuk mengambil hadiah,” katanya ketika dihubungi.

Zafrullah berkata untuk penganjuran kali kedua ini, pesta yang diadakan di Kompleks PKNS Shah Alam akan menampilkan beberapa pelukis antaranya Imuda dan barisan bekas kartunis Gila-Gila serta Ujang.

“Rata-rata penggiat seni ini kurang didendangkan. Mereka hanya terkenal menerusi karya. Jadi kita mahu angkat karya sekali pelukisnya,” katanya.

Minggu lalu, Pengarah PPAS Datin Paduka Mastura Muhamad menyasarkan lebih 100,000 hadir kali ini dan mempelawa ibu bapa berkunjung ke pesta itu dengan membawa anak mereka.

Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor julung kali diadakan tahun lalu di lokasi sama melibatkan penyertaan penulis, penerbit dan penjual buku tempatan menarik minat 80,000 pengunjung.


Pengarang :