SHAH ALAM, 19 JULAI: Gagasan Rumpun Selangor menjadi kerangka bagi Kerajaan Negeri dalam memperkukuhkan lagi perpaduan sekali gus menjamin pembangunan sosioekonomi rakyat.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu juga bertujuan menyuntik semangat ke seluruh negara melahirkan nasionalisme Malaysia.
“Ibarat sepohon pokok, banyak ranting dan pucuknya, tetapi akhirnya kita berkongsi akar dan aspirasi yang sama.
“Perpaduan utuh masyarakat menjadi asas utama yang mendorong ekonomi negeri meningkat agar dapat dinikmati segenap lapisan rakyat.
“Walau berbeza warna kulit, fahaman dan kepercayaan, namun apabila matlamat dihalatujukan atas satu landasan #KitaSelangor kejayaan pasti menyusul,” katanya menerusi Facebook.
Amirudin menambah Selangor adalah ‘melting pot’ negara dengan kepelbagaian latar belakang rakyat jika dibanding dengan mana-mana negeri lain.
“Migrasi dari selatan seperti Melaka dan Johor, wilayah utara seperti Perlis, Pulau Pinang atau Kedah, malah selain Kelantan dan Terengganu, sekumpulan besar warga Sabah dan Sarawak turut menjadi penduduk sini.
“Kepelbagaian ini walau membawa nilai emas kepada negeri ini, ianya harus diikat dengan nilai perpaduan agar kekayaan dan hasil negeri dinikmati bersama tanpa wujud kecurigaan atau perbalahan.
“Inilah pentingnya perpaduan perlu diurus dengan baik agar ekonomi terus berkembang,” katanya.
Gagasan Rumpun Selangor diperkenal bagi memperkukuh semangat perpaduan nasional dan sistem masyarakat di negeri ini.
Bermula Februari, program telah menjelajah ke lima daerah dimulakan dengan Hulu Selangor diikuti Hulu Langat, Sepang, Petaling dan Selayang.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentang Belanjawan Selangor 2024 memperuntukan RM4.5 juta bagi menjayakan Gagasan Rumpun Selangor di sembilan daerah.