Setiausaha Mais Dr Ahmad Shahir Makhtar (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK Siti Mariam Mursidan (dua dari kanan) selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 19 Julai 2024. Foto Mais
AGENSISELANGOR

Mais, AADK teruskan kerjasama kendali pusat pemulihan dadah

SHAH ALAM, 19 JULAI: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menerus kerjasama mengendali pusat pemulihan penagih dadah yang menghidap HIV/AIDS.

Setiausahanya Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata usaha sama itu bagi meneruskan sinergi pengurusan dan operasi Pusat Pemulihan Baitul Islah Mais dan AADK di Serendah, Hulu Selangor.

“Memorandum persefahaman (MoU) antara Mais dan AADK yang pertama termeterai pada 18 Disember 2017 yang dilaksanakan dalam tempoh lima tahun.

“Pusat ini menawarkan perkhidmatan pemulihan, rawatan serta perlindungan dan mula beroperasi pada Januari 2018. Sehingga Julai lalu, seramai 26 orang pelatih dirawat di pusat ini,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Ahmad Shahir, tahun ini pihaknya memperuntuk sejumlah RM1.6 juta untuk bajet pengoperasian pusat pemulihan itu menggunakan dana zakat asnaf riqab.

“Mais berharap MoU hari ini dapat melancarkan pengurusan dan operasi di pusat pemulihan ini.

“Seterusnya menjadikan Baitul Islah sebagai pusat rujukan dalam proses pemulihan kepada penagih dadah yang menghidap penyakit HIV/AIDS dengan fasiliti yang lengkap dan kukuh,” ujarnya.


Pengarang :