EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Anfaal Saari (dua kiri) menyampaikan trofi Anugerah Ikon Usahawanita kepada Pengasas BNG Homeware Hub Nooraihan Che Li (kiri) pada Majlis Anugerah Ikon Program Insentif Digital Media Usahawan Wanita Muda (USAHAWANITA) di Hotel Mardhiyyah and Suites, Shah Alam pada 19 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Cakna isu keselamatan, didik ketua keluarga lindungi wanita

SHAH ALAM, 19 JULAI: Selangor memperkukuh kerjasama dengan pelbagai pihak bagi mengatasi isu wanita meliputi perlindungan keselamatan dan pemberdayaan institusi kekeluargaan.

EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berkata ia termasuk mengadakan persidangan meja bulat bersama Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) berkaitan perihal semasa golongan itu.

“Pemberdayaan keluarga antara tumpuan saya pada 2025, juga berkenaan wanita daripada segi keselamatan dan mengelakkan keganasan berasaskan jantina.

EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Anfaal Saari berucap pada Majlis Anugerah Ikon Program Insentif Digital Media Usahawan Wanita Muda (USAHAWANITA) di Hotel Mardhiyyah and Suites, Shah Alam pada 19 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Satu lagi penekanan bagaimana lelaki sebagai pelindung atau ketua keluarga harus melindungi wanita dalam keluarganya kerana ia ibarat anda melindungi seluruh masyarakat,” katanya di sini.

Beliau ditemui selepas menyampaikan anugerah Ikon Usahawanita 2024 kepada pengasas BNG Homeware Hub Nooraihan Che Li yang membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000 dan trofi.

Program inisiatif Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita merangkumi empat fasa termasuk latihan asas, latihan lanjutan, praktikal dan pertandingan dengan 302 penyertaan diterima.

Mengulas isu lain, Anfaal menggesa ibu bapa atau sesiapa sahaja yang kehilangan ahli keluarga untuk segera membuat laporan polis tanpa menunggu 24 jam seperti amalan biasa.

“Saya ada baca kenyataan polis jika hilang kurang dari 24 jam sebenarnya boleh dilaporkan. Jadi, lebih baik kita mencegah daripada menurut satu mitos atau ketetapan biasa,” katanya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini dilaporkan berkata orang awam tidak perlu menunggu sehingga 24 jam untuk melaporkan kes kehilangan ahli keluarga mahupun kenalan.

Jelasnya, dakwaan itu ialah mitos yang sering disebarkan banyak pihak tanpa sebarang asas.

 


Pengarang :