Penumpang AirAsia merakam jadual penerbangan susulan semua penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 menuju ke Sabah, Sarawak dan Brunei dibatalkan pada 18 April 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

AirAsia teruskan operasi meski sistem terjejas akibat gangguan IT

KUALA LUMPUR, 19 JULAI: Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia meneruskan operasinya walaupun sistem berkaitan terjejas akibat masalah gangguan teknologi maklumat (IT) global.

Sehubungan itu, dalam kenyataanya, syarikat berkenaan menasihatkan semua pelanggannya yang terbabit untuk bersedia mengalami isu kelewatan penerbangan berikutan keperluan menggunakan kaedah proses secara manual.

“Tiada sebarang pesawat dibatalkan setakat 7.30 malam ini (Jumaat),” katanya.

AirAsia berkata syarikat itu juga sedang bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam usaha menguruskan keadaan selain memastikan keselamatan dan keselamatan pelanggannya terjamin.

Semua pelanggan juga dinasihatkan untuk memantau status penerbangan mereka dengan menyemak emel dan telefon bimbit masing-masing bagi sebarang kemas kini atau melayari laman sesawang http://airasia.com/flightstatus.

“Oleh kerana ciri daftar masuk kendiri tidak dapat diakses pada masa ini, pelanggan yang melakukan perjalanan hari ini amat digalakkan untuk tiba lebih awal di lapangan terbang bagi tujuan daftar masuk manual dan menyelesaikan semua ketetapan perjalanan,” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :