PBTSELANGOR

MBSJ hantar 326,646 notis nilaian baharu, terima 2,492 bantahan takat 15 Julai

SHAH ALAM, 19 JULAI : Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menghantar sebanyak 326,646 notis makluman senarai nilaian baharu kepada semua pemilik hartanah di kawasan terbabit.

Bahagian Komunikasi Korporat MBSJ memaklumkan daripada jumlah itu pihaknya menerima sejumlah 2,492 bantahan secara dalam talian daripada pemilik harta setakat 15 Julai lalu.

“Bantahan yang dikemukakan ini akan disemak mengikut Seksyen 142, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171). MBSJ juga akan membuat proses semakan senarai nilaian bermula 16 Ogos ini.

“Alasan bantahan yang dikemukakan oleh pemilik harta akan disiasat dengan teliti dan didengar dalam Mesyuarat Pendengaran Bantahan kelak,” maklumnya menerusi kenyataan.

Jelas MBSJ, bantahan tertinggi diterima daripada pemegang harta di Subang Jaya/USJ iaitu seramai 751 orang, diikuti Bandar Putra Permai (574), Puchong (402), Kinrara (301), Seri Kembangan (210), Putra Heights (145) dan Subang Hi-Tech (109).

Kaunter semakan senarai nilaian baharu dibuka sehingga 2 Ogos di Laman Kenanga, Aras 1, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Persiaran Perpaduan, USJ 5, 47610 Subang Jaya.

Bantahan terhadap nilaian boleh dilakukan secara dalam talian melalui laman web MBSJ atau terus ke pautan https://bantahan.mbsj.gov.my sebelum atau selewat-lewatnya pada 2 Ogos ini.

Orang ramai juga boleh menghubungi Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MBSJ di talian 03-8026 3115, 03-8026 4345, 03-8026 7428 dan 03-8026 4340 untuk maklumat lanjut.

Pada 30 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan proses penilaian baharu yang dijalankan pihak berkuasa tempatan penting demi memastikan keberkesanan perancangan bandar.


Pengarang :