AGENDAJENAYAH

Peras ugut lelaki warga Bangladesh, dua anggota polis trafik ditahan

KANGAR, 20 JULAI: Dua anggota polis trafik ditahan reman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes memeras ugut dan memukul seorang lelaki warga Bangladesh, semalam.

Perintah terhadap suspek berusia awal 30-an berpangkat koperal itu dikeluarkan oleh Majistret Ana Rozana Mohd Nor.

Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 384 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Kedua-dua suspek ditahan semalam selepas polis menerima laporan bahawa lelaki warga Bangladesh itu dipercayai dipukul serta diperas ugut oleh mereka dan nilai wang yang dipercayai diterima daripada peras ugut itu ialah sebanyak RM700,” katanya.

Beliau berkata polis masih menunggu laporan penuh perubatan untuk mengetahui tahap kecederaan yang dialami mangsa.

Muhammad juga berkata pihaknya tidak akan sesekali melindungi anggota mahupun pegawai polis yang bertindak menyalahi undang-undang dan tindakan tatatertib akan diambil sekiranya mereka didapati bersalah.

— BERNAMA

 


Pengarang :