Orang ramai tidak melepaskan peeluang membuat pemeriksaan kesihatan percuma pada Program Selangor Saring DUN Batu Tiga di Dewan Serbaguna Kampung Kuantan, Kampung Bukit Kuda, Klang pada 20 JULAI 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Lebih 200 penduduk DUN Batu Tiga sertai pemeriksaan kesihatan percuma

SHAH ALAM, 20 JULAI: Lebih 200 penduduk meluangkan masa menghadiri program Selangor Saring di Dewan Serbaguna Kampung Kuantan, di sini, hari ini.

Ahli Dewan Negeri Batu Tiga Danial Al-Rashid berkata program saringan kesihatan percuma itu julung kali diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan pada tahun ini.

“Saya gembira melihat kehadiran yang amat memberangsangkan dan ini membuktikan masyarakat sudah mula sedar kepentingan membuat pemeriksaan kesihatan.

Orang ramai tidak melepaskan peeluang membuat pemeriksaan kesihatan percuma pada Program Selangor Saring DUN Batu Tiga di Dewan Serbaguna Kampung Kuantan, Kampung Bukit Kuda, Klang pada 20 JULAI 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

“Sebenarnya kami juga ada anjurkan karnival kesihatan di DUN Batu Tiga seperti Selangor Saring tetapi pemeriksaan yang ditawarkan di program ini lebih terperinci,” katanya selepas meninjau program itu.

Sementara itu, pesara, Yeo Pang Kok, 53, berkata beliau mengetahui mengenai program Selangor Saring selepas membaca laporan berita yang disiarkan akhbar Selangorkini pada minggu lalu.

Menurut Pang Kok, beliau kemudiannya membuat semakan menerusi aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) dan terus mendaftar bagi membuat ujian saringan kesihatan percuma.

“Selepas baca di Selangorkini, saya terus semak dan isi pendaftaran. Saya tinggal di Kota Kemuning, tetapi saya rasa ini peluang keemasan untuk saya hadir buat pemeriksaan kesihatan.

“Kali terakhir saya buat pemeriksaan kesihatan adalah pada tahun lalu. Saya tiada sebarang penyakit tetapi harus berjaga-jaga kerana usia pun semakin bertambah,” katanya.

Orang ramai tidak melepaskan peeluang membuat pemeriksaan kesihatan percuma pada Program Selangor Saring DUN Batu Tiga di Dewan Serbaguna Kampung Kuantan, Kampung Bukit Kuda, Klang pada 20 JULAI 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Suri rumah, Nazirah Akmal Kamaruddin, 38, berpuas hati terhadap layanan dan perkhidmatan yang diberikan berikutan tidak perlu menunggu lama untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Saya berpuas hati dengan perkhidmatan di Selangor Saring. Walaupun tiada sistem nombor giliran tetapi tiada yang berebut kerana ada pegawai yang atur mengikut urutan.

“Pemeriksaan yang diberikan juga agak terperinci seperti di klinik dan hospital. Saya gembira dan pasti akan datang lagi kalau ada dibuat di sini,” katanya.

Suri rumah, J Gayathri, 43, sanggup hadir membawa suaminya, R Ramash, 43, yang kehilangan kaki kanan akibat kemalangan jalan raya pada tahun lalu, bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.

J Gayathri, 43 pada Program Selangor Saring DUN Batu Tiga di Dewan Serbaguna Kampung Kuantan, Kampung Bukit Kuda, Klang pada 20 JULAI 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

“Sebenarnya saya hadir untuk kemaskini program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), tetapi saya lihat ada program Selangor Saring di sini juga, jadi saya bawa suami untuk buat pemeriksaan kesihatan.

“Suami merupakan orang kelainan upaya (OKU), saya amat menitikberatkan kesihatan dirinya kerana tidak mahu dia jatuh sakit lagi,” kata ibu lima anak ini.

Program Selangor Saring bawah Iltizam Selangor Penyayang menawarkan pemeriksaan tekanan darah, air kencing dan kandungan gula secara percuma di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.


Pengarang :