Penduduk mengambil lebihan makanan bazar Ramadan yang dikumpul Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 18 Mac 2024. Foto Facebook MBSA
AGENDANASIONAL

Pakar: Hindari makanan berbau masam, berlendir, masak terlalu lama

SHAH ALAM, 20 JULAI: Sesuatu hidangan perlu diperiksa terlebih dahulu daripada segi bau dan keadaannya bagi mengelak terjadi keracunan makanan.

Ahli penasihat kesihatan awam negeri berkata sekiranya makanan sudah berlendir dan berbau masam, ia tidak boleh dimakan kerana sudah tercemar.

Ahli Penasihat Kesihatan Awam Selangor Dr Mohammad Farhan Rusli

Jelas Dr Mohammad Farhan Rusli, keracunan juga boleh disebabkan bakteria atau virus selain penyediaan yang salah, contohnya ayam dibiar terlalu lama sebelum dimasak dan telur tidak dibasuh.

“Sebab itu kementerian kesihatan syorkan kita sediakan makanan dengan betul. Basuh bersih dan masak ikut masa yang tepat. Makanan dalam tempoh waktu yang tidak terlalu lama lepas dimasak.

“Sebelum makan, perlu lihat dulu makanan itu. Kalau berbau busuk, masam, jangan makan. Makanan berbungkus kena lihat. Berlendir atau pelik jangan makan,” katanya kepada Selangorkini.

Dr Farhan juga menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dengan pemberi makanan atau menerima bahan makan.

“Kenal pasti sumber sah. Ini penting untuk elak kita termakan makanan yang tak sihat atau mungkin tercemar,” katanya.

Rabu lalu, seramai 28 pelajar Sekolah Menengah Teknik Tunku Abdul Rahman Putra di Jalan Ibbetson, Pulau Pinang dilaporkan mengalami keracunan makanan.

Kejadian dikatakan berlaku selepas pelajar menikmati hidangan ayam tanduri (tandoori) yang dimasak di dapur kantin sekolah terbabit.


Pengarang :