ADN Sentosa Dr G Gunaraj (tengah) bersama sebahagian peserta dan wakil kolej selepas meninjau program Jom Jejak Ke Kolej Kerajaan di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Diraja Klang pada 20 Julai 2024. Foto ZAREEF MUZAMMIL/MEDIA SELANGOR
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Program padanan pengajian suntik semangat lepasan SPM sambung belajar

KLANG, 20 JULAI: Kepelbagaian jurusan pengajian ditawarkan pada program Jom Jejak Ke Kolej Kerajaan menyuntik kembali semangat seorang gadis untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Hampir kecewa gara-gara permohonan dalam bidang pengurusan perniagaan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ditolak, Nurul Haziqah Hashim, 18, teruja berpeluang memohon kursus diminatinya pada program kelolaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa hari ini.

Nurul Haziqah Hashim

Enggan menghampakan harapan orang tua, anak bongsu daripada enam beradik mengakui mahu melanjut pelajaran dalam bidang itu bagi mengetahui selok-belok perniagaan sekali gus meneruskan perusahaan kerepek ibunya suatu hari nanti.

“Selepas dapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tempoh hari, saya mohon kursus ini di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) dan politeknik, tetapi semua permohonan ditolak.

P Thevkantth

“Beberapa hari saya pendam rasa kecewa sebab berasakan sudah tiada peluang untuk saya sambung belajar. Program ini beri saya semangat semula memandangkan ada kolej yang tawar kursus tersebut dan harap diterima masuk,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Seorang lagi peserta, P Thevkantth, 18, hadir ke program terbabit bagi mencari jurusan bersesuaian selepas gagal mendapat tempat di universiti awam bagi kursus pilihan pertama iaitu perakaunan.

“Sebelum ini saya mohon kursus akaun di beberapa politeknik, namun ditolak dengan kebanyakannya menawarkan kursus pilihan kedua iaitu kejuruteraan mekanikal.

S Pavitra

“Saya tahu tiada kolej tawar kursus akaun pada program ini, tetapi kaunselor sarankan saya mohon jurusan lain bersesuaian seperti sains komputer dan mekanikal. Saya terbuka dengan idea pihak berkenaan,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah (SM) Sri Acmar.

Bekas penuntut SMK Perempuan Methodist, Klang, S Pavitra, 18, pula mencari institusi pengajian yang menawarkan jurusan multimedia kerana meminati kerjaya berkait suntingan visual dan fotografi.

“Setakat ini saya tidak mohon mana-mana kolej lagi untuk sambung pelajaran. Hari ini saya datang sebab mahu dapatkan bimbingan lanjut daripada kaunselor berhubung jurusan itu.

“Malah ada kolej yang menyediakan kursus berkenaan. Saya akan daftar dengan kolej terbabit selepas berbincang dengan ibu bapa,” katanya.

Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak melepaskan peluang mendapatkan khidmat bimbingan dan pendaftaran sempena program Jom Jejak Ke Kolej Kerajaan di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Diraja Klang pada 20 Julai 2024. Foto ZAREEF MUZAMMIL/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, wakil rakyat Sentosa Dr G Gunaraj memberitahu inisiatif itu selaras tekad memperkasa pendidikan mencerahkan semula peluang kepada lepasan SPM yang gagal mendapat tawaran menyambung pengajian di universiti.

“Program ini memberi kesedaran kepada semua bahawa sebenarnya banyak kolej menyediakan kursus tertentu untuk sambung sambung belajar tanpa perlu membayar yuran pengajian tinggi.

“Jangan anggap keputusan SPM kurang cemerlang pengakhiran untuk golongan ini meneruskan pengajian. Semua orang harus diberi peluang untuk belajar,” katanya menambah lebih 200 pelajar menyertai program itu.

Berlangsung di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Diraja Klang di sini, sebanyak 11 kolej dan institusi terlibat dalam program berkenaan antaranya Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC), Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Komuniti Klang.

Selain itu, Institusi Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua, Advanced Technology Training Centre, Kolej Komuniti Kuala Langat, Institut Latihan Perindustrian (ILP), Kuala Langat, ILP Kuala Lumpur serta Akademi Dalam Industri.


Pengarang :