Suasana program Mini Fiesta Saringan Asas Kanak-Kanak di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai di Ampang pada 20 Julai 2024. Foto STV Media Selangor
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Saringan percuma usaha negeri tangani isu kanak-kanak kurang zat

Oleh UFAIRAH TARMIDZI

AMPANG JAYA, 20 JULAI: Prihatin terhadap kesihatan dan perkembangan fizikal kanak-kanak, Kerajaan Negeri berusaha memberi kesedaran kepada ibu bapa mengenai kepentingan penyediaan makanan berkhasiat.

Menerusi program Mini Fiesta Saringan Asas Kanak-Kanak, EXCO kesihatan berkata isu kekurangan zat dapat dikurangkan melalui pengurusan data status pertumbuhan kanak-kanak yang diperoleh secara sistematik dan efisien.

“Karnival pada hari ini tujuan utama adalah untuk kita mendapatkan berat badan, ketinggian, umur kanak-kanak supaya ahli Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor boleh memberikan penjelasan sama ada kanak-kanak itu dalam keadaan sihat ataupun tidak.

“Selain memberikan tips bagaimana untuk menjaga pemakanan yang sihat dan menjalankan aktiviti yang bersesuaian untuk kanak-kanak,” kata Jamaliah Jamaluddin.

Beliau berkata demikian pada program tersebut di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai di Ampang, di sini. Hadir sama, wakil rakyat Teratai Yew Jia Haur dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya Dr Ani Ahmad.

EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin ditemui media pada program Mini Fiesta Saringan Asas Kanak-Kanak di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai di Ampang pada 20 Julai 2024. Foto Media Selangor

Seramai lebih 500 kanak-kanak hadir ke Mini Fiesta Saringan Asas Kanak-Kanak untuk melakukan ujian kesihatan bagi mengesan masalah bantut, kurang zat dan obesiti.

Peluang keemasan ini turut dimanfaatkan ibu bapa berkerjaya yang tidak mempunyai banyak masa untuk menyediakan makanan berkhasiat dan seimbang untuk anak-anak.

Noor Ain Sapuan dan suaminya, Mohd Ammar Ajmal

Pekerja swasta, Noor Ain Sapuan, 36, berkata program tersebut wajar diteruskan ke peringkat akar umbi untuk memberi pendedahan kepada ibu bapa kepentingan menyedia makanan berkhasiat kepada anak-anak meskipun sibuk bekerja.

“Mereka beri tips dari segi sarapan, apa sarapan yang bagus, daripada segi cara pemakanan dan juga waktu makan yang elok.

Hasbullah Umaruddin

“Sangat bagus sebab daripada kecil sudah ada saringan kesihatan dan memupuk kesedaran daripada kecil untuk anak-anak kita,” katanya yang ditemani suami, Mohd Ammar Ajmal, 36.

Seorang lagi pekerja swasta, Hasbullah Umaruddin, 42, berkata data yang diperoleh melalui program itu dapat membantu Kerajaan Negeri mengenal pasti golongan yang memerlukan untuk disalurkan sumbangan atau perkhidmatan khususnya kesihatan.

“Data diambil bukan tujuan awam tapi untuk pantau kekurangan makanan dan obesiti.

Halita Ahmad

“Daripada situ, Kerajaan Selangor sendiri boleh bagi apa-apa sumbangan ataupun perkhidmatan kepada kanak-kanak yang memerlukan terutama kesihatan,” katanya.

Manakala suri rumah, Halita Ahmad, 44, berkata beliau menyertai saringan tersebut untuk memeriksa BMI anaknya sama ada di paras normal atau sebaliknya.

“Bagus sebab kita pun tiada masa, lebih baik bawa mereka ke tempat seperti ini sekali-sekala. Lagipun anak-anak seronok ada mainan dan macam-macam.

“Mereka periksa cara pemakanan, sarapan pagi selain tahap kesihatan anak-anak,” katanya.


Pengarang :