Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah bersemayam di singgahsana, Balairong Seri Istana Negara sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 20 Julai 2024. Foto BERNAMA
BERITA UTAMABUDAYARENCANA

Sultan Ibrahim rai tetamu negara luar, cemar duli dekati rakyat jelata

Setelah melafaz sumpah jawatan pada 31 Januari, Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim terus menjalankan tugas sebagai ketua negara bawah Perlembagaan Persekutuan.

Dalam tradisi Raja Berperlembagaan, Baginda berperanan dalam menjayakan pentadbiran negara melalui tiga cabang pemerintahan: eksekutif, perundangan dan kehakiman.

Selain majlis rasmi, Baginda berkenan melawat kementerian, mencemar duli melawat negeri, menerima ketua negara asing dan beramah mesra dengan rakyat dalam pelbagai majlis.

Sebagai ketua agama Islam persekutuan, Yang di-Pertuan Agong berkenan menganugerah tokoh Maal Hijrah tahun ini, yang disampaikan kepada pemimpin Kesatuan Ulama Sedunia.

Selain foto Bernama, Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar merakamkan sebahagian kegiatan Baginda hingga Julai. Pilihan foto dan keterangan disediakan oleh NADIAH ZAMLUS.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan Surat Perisytiharan Memegang Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-17 kepada Sultan Ibrahim di Istana Negara pada 31 Januari

 

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berbual dengan Yang di-Pertuan Agong ketika Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-265 di Istana Negara pada 21 Februari

 

Agong bertitah merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Kuala Lumpur pada 26 Februari. Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah turut berangkat pada istiadat berkenaan

 

Sultan Ibrahim berkenan berbuka puasa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan dua timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof di Istana Negara pada 18 Mac

 

Diiring Menteri Pertahanan Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Sultan Ibrahim sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia melawat Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur pada 26 Mac

 

Yang di-Pertuan Agong memeriksa perbarisan kawalan kehormatan di Istana Singapura ketika lawatan sulung ke luar negara pada 6 Mei. Baginda diiring Presiden Tharman Shanmugaratnam

 

Penjawat awam gembira menyambut keberangkatan tiba Baginda pada rumah terbuka Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pada 8 Mei. Lebih 5,000 tetamu hadir pada majlis tersebut

 

Agong dipersembahkan hibrid orkid baharu pada Hari Landskap di Shah Alam pada 25 Mei. Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempa-tan Nga Kor Ming dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari

 

Yang di-Pertuan Agong menyapa jemaah haji di Pusat Konvensyen Hotel Movenpick, Sepang sebelum mereka berlepas ke tanah suci pada 26 Mei. Turut menemani, anakanda Baginda, Tunku Tun Aminah

 

Ribuan menyambut keberangkatan Sultan Ibrahim di Bandar Hilir, Melaka ketika Majlis Jamuan Teh bersama Rakyat pada 14 Jun. Esoknya, Baginda merasmikan Aset Automotif Klasik Keluarga Diraja Johor

 

Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap Perdana Menteri China Li Qiang di Istana Negara pada 19 Jun. Lawatan itu bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomasi Malaysia – China

 

Sultan Ibrahim menzahirkan kata-kata semangat kepada kontinjen negara ke Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024 di Istana Negara pada 2 Julai. Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh

 

Presiden Kesatuan Ulama Sedunia Prof Dr Ali Muhyidddin Ali Al-Qaradaghi dari Qatar menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa daripada Agong di Putrajaya pada 7 Julai

 

Sultan Ibrahim berkenan bergambar bersama 12 ketua perwakilan asing ke Malaysia di Istana Negara pada 9 Julai. Perwakilan itu termasuklah dari Republik Kenya, Bahrain dan Republik Guinea

 

Sultan Ibrahim bersama 14 penerima Biasiswa Yang di-Pertuan Agong di lstana Negara pada 17 Julai. Sejak 2006, bantuan itu menaja 212 pelajar pelbagai bidang pengajian

Pengarang :