Raptai sempena Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 di Dewan Acara Cyber, Cyberjaya pada 19 Julai 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Diskaun saman, persembahan patriotik tarikan pelancaran bulan kebangsaan hari ini

KUALA LUMPUR, 21 JULAI: Sambutan Bulan Kebangsaan Dan Kibar Jalur Gemilang 2024 membuka tirainya hari ini dengan pelbagai program menarik menanti pengunjung.

Berkonsepkan karnival rakyat, program sehari bermula 9 pagi hingga 4.30 petang di Cyberjaya itu padat dengan pengisian bermanfaat yang mampu mengukuhkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat menuju Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merasmikan sambutan itu pada 3 petang sekali gus menandakan bermulanya Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.

Antara aktiviti menarik menanti pengunjung adalah pameran kemerdekaan, Komuniti Madani X Nadi, Kuiz Roda Merdeka, Riuh X HKHM, aktiviti interaktif kenegaraan serta persembahan patriotik.

Orang ramai juga berpeluang menikmati tawaran pengurangan kadar kompaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 50 peratus dengan pembayaran hanya boleh dibuat di tapak program serta tertakluk kepada terma dan syarat.

Turut disediakan adalah kaunter perkhidmatan semakan dan pembayaran cukai serta kompaun Majlis Perbandaran Sepang (MPS), gantian kad pengenalan, pembaharuan lesen memandu serta mendapatkan Skim Pinjaman Komputer Riba dan Desktop.

Antara tarikan lain adalah penganjuran Jualan Kombo Agro Madani oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Jualan Ehsan Rahmah Madani dengan menawarkan pelbagai produk pada harga murah antaranya ayam, ikan, daging, telur, minyak masak botol lima kilogram (kg) dan beras lima kg.

Selain itu, perkhidmatan bas henti-henti secara percuma disediakan melibatkan dua lokasi pengambilan iaitu di Park & Ride Cyberjaya dan Parking Rekascape Cyberjaya ke tempat acara diadakan, dengan kekerapan perkhidmatan setiap 30 minit.

Maklumat lanjut mengenai Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024 dan pelbagai program diadakan boleh didapati di laman sesawang www.merdeka360.my

– BERNAMA


Pengarang :