Pelumba basikal trek Malaysia dan Jepun, Datuk Mohd Azizulhasni Awang (kiri) dan Kento Yamasaki (kanan) bersaing pada acara Men Elite Sprint sempena Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 di Velodrom Nasional, Nilai pada 16 Jun 2023. Foto Bernama
AGENDASUKANKINI

The Pocket Rocketman jadi sandaran bawa pulang emas pertama Olimpik

KUALA LUMPUR, 21 JULAI: Skuad berbasikal trek negara, yang dilengkapi dengan versi baharu basikal WX-R Vorteq bernilai RM385,800 setiap satu, melangkah ke Sukan Olimpik Paris 2024 dengan tanggungjawab besar selaku harapan utama pingat kontinjen Malaysia.

Tumpuan tentunya terarah kepada juara dunia keirin 2017 Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang membuat penampilan kelimanya, menyamai rekod atlet terjun negara Datuk Leong Mun Yee dan mengatasi rekod legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei yang beraksi sejak edisi Athens 2004.

Mohd Azizulhasni, 36, dilihat sebagai potensi untuk menukar warna pingat kepada emas selepas memenangi gangsa dalam acara keirin pada edisi Rio 2016 dan perak di Tokyo 2022.

Namun, penampilan terakhir The Pocket Rocketman di pentas Olimpik kali ini bukan sahaja untuk mempamerkan kayuhan bertenaga, malah perlu juga berwaspada dengan ‘muslihat’ lawan dan pada masa sama memastikan kesihatannya pada tahap terbaik, selepas menjalani pembedahan jantung terbuka pada April 2022.

Bekas pelumba kebangsaan Mohd Rizal Tisin, yang pernah beraksi dalam acara pecut berpasukan di Olimpik Beijing 2008 berkata Mohd Azizulhasni selaku atlet paling senior dan berpengalaman dalam skuad negara pasti mempunyai perancangan strategi dan taktikal tersendiri selepas dikecewakan di Olimpik Tokyo, tiga tahun lepas.

“Target beliau pun acara keirin, yang lebih kepada taktikal dan pengalaman untuk menang. Tak semestinya kalau kuat boleh menang, kelebihan Azizul adalah pengamalannya serta tahu latar belakang taktikal yang sering digunakan pelumba lain.

“Beliau perlu lebih berhati-hati dan tidak terlalu fokus kepada satu pelumba sahaja sehingga memberikan ruang kepada pelumba lain. Setiap pelumba mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing, jadi setiap pusingan itu perlu fokus dan jangan terlalu beri perhatian kepada satu pelumba sahaja,” katanya kepada Bernama.

Atlet basikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang bersaing pada acara Men Elite Keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 di Velodrom Nasional, Nilai pada 18 Jun 2023. Foto Bernama

Pada Tokyo 2020 yang diadakan setahun lewat kerana pandemik Covid-19, Mohd Azizulhasni terpaksa berpuas hati dengan perak apabila Matthew Glatzier dari Australia membiarkan pelumba Great Britain, Jason Kenny melakukan kayuhan solo di hadapan tanpa mengejarnya.

Bekas jurulatih kebangsaan Indonesia itu berpendapat Mohd Azizulhasni perlu juga memberikan tumpuan kepada pemulihan selepas setiap pusingan dan tidak terlalu menghabiskan tenaganya pada pusingan awal untuk berada pada tahap terbaik di final kelak.

Sementara itu, versi baharu jentera WX-R Vorteq yang dibangunkan oleh Institut Sukan Negara (ISN) dengan kos RM7.50 juta untuk menaik taraf daripada versi yang digunakan di Tokyo 2020, turut dijangka memainkan peranan utama dalam menentukan kejayaan di Velodrom Nasional di St Quentin-en-Yvelines, lebih kurang 40km dari Paris.

“Kalau kita lihat perbezaan memang banyak dari basikal, suit (pakaian), helmet (topi keledar) dan peralatan lain, dengan banyak negara dah buat R&D (penyelidikan dan pembangunan) basikal dan windtunnel sendiri. Walaupun ia nampak macam mudah, dari segi sains sukan ia banyak membantu.

“Walaupun sedikit tapi banyak yang membantu sebenarnya. Kita berharap sokongan lebih baik ini, dapat membantu pasukan kita pulang dengan kejayaan,” katanya.

Selain Mohd Azizulhasni, tidak lupa juga peluang Muhammad Shah Firdaus Sahrom untuk keluar dari bayangan seniornya itu untuk menjadi dark horse (kuda hitam) pada edisi kali ini manakala penampilan pertama Nurul Izzah Izzati Mohd Asri boleh menjadi medan timba pengalaman berharga atau mencipta magis untuk menyaingi jaguh berbasikal wanita dunia yang lain.

Mohd Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus akan beraksi dalam acara keirin dan pecut lelaki, manakala Nurul Izzah Izzati akan membawa cabaran dalama acara keirin dan pecut wanita apabila acara berbasikal trek membuka tirai pada 5 hingga 11 Ogos.

Berdasarkan prestasi sejak dua tahun ini, Harrie Lavreysen dari Belanda yang pernah meraih 13 emas di Kejohanan Dunia, Matthew Richardson (Australia), Nicolas Paul (Trinidad dan Tobago), Kevin Quintero dari Colombia serta dua wakil Jepun, Ota Kaiya dan Shinji Nakano merupakan antara pencabar utama podium bagi acara pecut dan keirin di Paris 2024.

Profil

  • Nama panggilan/gelaran: Jijoe/ The Pocket Rocketman
  • Umur: 36 tahun
  • Asal: Dungun, Terengganu
  • Penampilan: Olimpik Beijing 2008, London 2012, Rio 2016, Tokyo 2020
  • Ranking: kelapan dunia, ketiga Asia

Pencapaian:

  • Pingat perak Olimpik Tokyo 2020 (keirin)
  • Pingat gangsa Olimpik Rio 2016 (keirin)
  • Pingat emas Kejohanan Dunia 2017 di Hong Kong (keirin)
  • Pingat perak Kejohanan Dunia 2009 (pecut) dan 2010 (keirin)
  • Empat pingat gangsa di Kejohanan Dunia
  • Pingat emas Sukan Asia 2010 Guangzhou (keirin) & 2018 Jakarta-Palembang (pecut)
  • Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang: pingat perak (pecut berpasukan) & gangsa (keirin)
  • Pingat gangsa Sukan Komanwel 2010 New Delhi (pecut berpasukan) & 2014 Glasgow (keirin)

-BERNAMA


Pengarang :