EXCO Hal Ehwal Orang Asli V Papparaidu pada program gotong-royong baik pulih jalan di Kampung Orang Asli Sungai Buah, Dengkil pada 21 Julai 2024. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor peruntuk RM300,000 naik taraf kemudahan kampung Orang Asli

SEPANG, 21 JUL: Kerajaan Negeri memperuntuk RM98,000 bagi membaik pulih dan menurap dua jalan di Kampung Orang Asli Sungai Buah, Dengkil di sini.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli V Papparaidu berkata projek melibatkan dua jalan di Lorong Sungai Buah Empat dan Lorong Sungai Buah Lima, sejauh kira-kira 250 meter.

Katanya jalan yang menjadi laluan utama lebih 300 penduduk itu menghubungkan tiga penempatan iaitu Kampung Orang Asli Sungai Buah, Kampung Orang Asli Bukit Tunggul dan Kampung Orang Asli Sungai Klebang.

“Jalan ini menjadi laluan utama aktiviti harian penduduk seperti ke sekolah dan sebagainya. Keadaan permukaan yang tidak rata serta rosak membahayakan mereka terutama pada waktu malam.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli V Papparaidu melancarkan program gotong royong baik pulih jalan di Kampung Orang Asli Sungai Buah, Dengkil pada 21 Julai 2024. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

“Jadi lepas kita turap, jalan cantik dan membantu mereka untuk menjalankan aktiviti harian dengan lebih selesa,” katanya ditemui selepas program gotong royong baik pulih jalan di Kampung Orang Asli Sungai Buah di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Papparaidu berkata sejumlah RM300,000 diperuntuk Kerajaan Negeri tahun ini bagi kerja membaik pulih dan menaik taraf infrastruktur perkampungan Orang Asli di Selangor, tahun ini.

“Ia melibatkan kerja baik pulih dan turapan jalan, pembaikan lampu jalan, pembinaan jambatan serta baik pulih kediaman.

“Selain itu, masalah bekalan elektrik di beberapa perkampungan Orang Asli turut menjadi perhatian kerana apabila lawatan tapak kita kenal pasti ada kawasan terlalu jauh dari jalan utama dan agak susah dapat elektrik. Jadi kita bercadang pasang lampu solar di kawasan terlibat,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kampung Orang Asli Sungai Buah, Bukit Tunggul dan Sungai Klebang Isham Isau. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kampung Orang Asli Sungai Buah, Bukit Tunggul dan Sungai Klebang, Isham Isau berkata penurapan jalan itu melegakan penduduk yang berulang alik setiap hari menggunakan jalan terbabit.

“Sebelum ini ada yang pernah kemalangan kerana jalan rosak agak teruk, jadi selepas turap ini jalan lebih rata dan lebih selamat terutama bagi yang menunggang motosikal,” katanya.

 


Pengarang :