Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap sempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 di Dewan Acara Cyber Cyberjaya, Sepang pada 21 JULAI 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
AGENDANASIONAL

Keputusan selari ICJ, Kabinet muktamad langkah kecam Israel Rabu ini

SEPANG, 21 JULAI: Mesyuarat Jemaah Menteri yang dijadual Rabu ini akan memutuskan langkah Malaysia seterusnya dalam mengecam Israel, susulan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Menyokong penuh ICJ, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan itu dilihat berdasarkan fakta yang jelas berhubung keganasan dan kekejaman Israel.

“Malaysia mendukung keputusan ICJ dan keputusan itu berdasarkan fakta yang jelas tentang keganasan dan kekejaman Israel yang berterusan.

“Oleh itu, kita akan meneliti cadangan dan kesan daripada tindakan keputusan ICJ itu. Mesyuarat Jemaah Menteri hari Rabu ini kita akan buat keputusan muktamad,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Anwar merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 di Dewan Acara Cyber, Cyberjaya di sini, hari ini.

Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan barisan pemimpin kerajaan Persekutuan dan negeri.

Kelmarin, ICJ memutuskan pendudukan Israel yang berterusan di wilayah Palestin tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa dan harus segera dihentikan.

Menurut Presidennya Nawaf Salam, semua aktiviti pendudukan baharu harus ditamatkan dan segala kemusnahan perlu diberikan pampasan.


Pengarang :