Bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Song 1 di Kapit terbakar dalam kejadian pada 21 Julai 2024. Foto Facebook Borneo
AGENDANASIONAL

Asrama SMK Song 1 terbakar, warden, pelajar sempat selamatkan diri

KAPIT, 21 JULAI: Empat warden dan dua pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Song 1 sempat menyelamatkan diri dalam kebakaran melibatkan bangunan asrama sekolah itu hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian pada 4.15 petang dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Song digegaskan ke lokasi yang jaraknya hanya dua kilometer.

“Kebakaran melibatkan bangunan dua tingkat jenis kekal. Kebakaran hanya melibatkan tingkat atas sebanyak 60 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata operasi pemadaman menggunakan satu aliran 91 meter dua nozel air dari pam pili bomba dan satu aliran hos salur bantu mula.

Kebakaran, katanya tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa manakala puncanya sedang disiasat.

— BERNAMA


Pengarang :