Anggota Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Dato’ Setia Salehuddin Saidin mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) pada 22 Julai 2024. Foto tangkap layar YouTube SelangorTV
AGENDANASIONAL

Anggota Mais Salehuddin Saidin angkat sumpah Ahli Dewan Negara

SHAH ALAM, 27 JULAI: Anggota Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Dato’ Setia Salehuddin Saidin mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) hari ini.

Beliau mengangkat sumpah di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Nur Jazlan Mohamed, atas perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh hingga 21 Julai 2027.

Pelantikan berkuat kuasa hari ini selaras peruntukan Perkara 59 (1) Perlembagaan Persekutuan Peraturan Mesyuarat (1), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara.

“Pelantikan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa hari ini sehingga 21 Julai 2027. Selamat menggalas amanah dan menjalankan tugas kepada yang berhormat Senator,” kata Nur Jazlan.

Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Khutbah Selangor memulakan kerjaya guaman sebagai penasihat persekutuan antara 1 Oktober 1987 sehingga 31 Julai 1990.

Salehuddin juga pernah berkhidmat sebagai penolong penasihat undang-undang Selangor pada 1 Ogos 1990 hingga 15 Januari 1994 dan timbalan pendakwa raya sehingga Oktober 2007.

Terdahulu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Nangka, Sarawak Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah dilantik sebagai yang dipertua Dewan Negara ke-21 untuk tempoh hingga 14 Julai 2027.

Pelantikannya menggantikan Datuk Mutang Tagal yang meninggal dunia pada 10 Mei lepas.


Pengarang :