Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memenangi syarikat terbaik dalam kategori perkhidmatan air pada majlis Anugerah Kelestarian dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Malaysia di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur pada 18 Julai 2024. Foto Air Selangor
AGENSISELANGOR

Air Selangor diiktiraf syarikat terbaik kategori perkhidmatan air

SHAH ALAM, 22 JULAI: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) diiiktiraf sebagai syarikat terbaik dalam kategori perkhidmatan air pada majlis Anugerah Kelestarian dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Malaysia baru-baru ini.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata anugerah pengurusan komuniti itu merupakan penghormatan terhadap usaha berterusan agensi itu membekalkan bekalan air bersih di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Ia juga selari dengan janji Air Selangor bagi memastikan setiap titis bermakna untuk 9.3 juta pengguna.

“Penghargaan ini turut mencerminkan dedikasi Air Selangor dalam memastikan kualiti perkhidmatan air yang tinggi serta usaha gigih dan berterusan dalam mempromosikan kelestarian dan tanggungjawab sosial.” kata Adam Saffian Ghazali dalam kenyataan pada Jumaat.

Adam Saffian memaklumkan pihaknya turut melaksanakan tiga program bawah CSR iaitu Box of Hope, Sambutan Perayaan untuk Golongan Kurang Berkemampuan (Festive CSR) dan Pemerkasaan Pembelajaran dalam Talian.

“Program perintis Box of Hope memberi dampak besar dengan 5,775 keluarga menerima manfaat sejak dilancarkan pada 2020. Air Selangor juga menyalurkan sumbangan ke rumah kebajikan semasa musim perayaan dengan mengagihkan bantuan kepada 3,746 penerima di 54 rumah kebajikan sejak 2021.

“Air Selangor juga turut menyediakan akses pendidikan interaktif melalui Pemerkasaan Pembelajaran dalam Talian kepada pelajar golongan B40 untuk terus menerima pendidikan berkualiti. Sejak 2023, seramai 375 pelajar SPM mendapat manfaat,” katanya.

Bagi menyemai semangat kesukarelawan, Adam Saffian berkata pihaknya menubuhkan Hyro Heroes bagi membolehkan kakitangannya menabur khidmat dan bakti kepada masyarakat.

“Melalui program ini, seramai 259 kakitangan telah mengambil bahagian sepanjang program ini diperkenalkan,” katanya.


Pengarang :