Pemohon Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) menggunakan kemudahan Kiosk MyOnline Passport yang disediakan Jabatan Imigresen Selangor selepas perasmiannya di Pejabat Imigresen UTC Selangor, di Anggerik Mall, Shah Alam pada 15 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Menteri: Pengeluaran pasport tempoh sah laku 10 tahun kini fasa akhir

PUTRAJAYA, 22 JULAI: Pelaksanaan pengeluaran pasport bagi tempoh sah laku selama 10 tahun kini berada dalam fasa akhir, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution.

Beliau berkata setakat ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Jabatan Imigresen (JIM) sedang memperhalusi pelaksanaan pengeluaran pasport itu daripada pelbagai aspek.

Dalam sidang media selepas Majlis Perbarisan Hari Imigresen 2024 di sini hari ini, beliau berkata pelaksanaan inisiatif tersebut dijangka memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat yang sering kali ke luar negara.

“Pasport lima tahun kadang banyak cop dan kelompok (sering keluar negara) ini (kita) bagi pilihan ada pasport 10 tahun, dia akan ambil dan untuk itu, dia kena bayar lebih sebab lebih muka surat.

“Kami sedang perhalusi (fine tuning), fasa-fasa akhir ini…dan akan usahakan dalam masa terdekat, “ katanya.

Saifuddin Nasution sebelum ini dilapor berkata pelaksanaan tempoh sah laku pasport yang panjang bukan perkara baharu kerana negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura selain Amerika Syarikat serta Itali turut mengeluarkan pasport untuk tempoh 10 tahun.

Sementara itu, beliau berkata JIM bertekad mengekalkan kepantasan pengeluaran pasport Malaysia iaitu selama 60 minit bagi proses secara fizikal serta memastikan ciri-ciri keselamatannya berada pada tahap terbaik.

Saifuddin Nasution berkata pasport Malaysia kini menduduki tempat ke-11 pasport paling berkuasa di dunia menerusi Ranking Global Pasport Power Rank 2024 yang dikeluarkan passportindex.org.

“Ukurannya apa dia? Siapa pegang pasport boleh mengembara tidak perlu visa, lagi banyak negara benarkan pemegang pasport masuk tanpa visa lagi berkuasa kedudukannya.

“Ciri-ciri keselamatan kita kekal, perkukuh dan tambah baik,” katanya sambil menambah jumlah pengeluaran pasport setakat 15 Julai lalu adalah 1.45 juta.

Bagi tempoh 1 Januari hingga 15 Julai lalu, Saifuddin Nasution berkata pergerakan keluar masuk warga Malaysia termasuk penduduk tetap ialah 65.5 juta orang.

“Pergerakan keluar masuk warga asing di Malaysia adalah 35.0 juta dan jumlah pekerja asing adalah 2.36 juta,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :