Ahmad Akiff Ahmad Fahmi dan Nur Nuha Syuraihah Nor Ramzani meluangkan masa membaca buku ketika Pesta Buku Kanak-kanak Selangor di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 28 Julai 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Peluang saksi proses penghasilan kartun di Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor

SHAH ALAM, 22 JULAI: Peminat kartun dan siri animasi berpeluang menyaksikan proses kreatif penghasilan watak kartun ikonik Malaysia secara langsung dalam Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor dari 24 hingga 28 Julai ini.

Ketua bahagian korporat Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berkata bengkel interaktif dan demonstrasi secara langsung oleh kartunis dan ilustrator turut ditawarkan untuk pengunjung meneroka kreativiti dan mempelajari kemahiran baharu.

Zafrullah Aris berkata antara kartunis dan ilustrator yang mengambil bahagian termasuk pelopor komik gerak, Tunku Yusrina Tunku Nazrin, tokoh kartunis ikonik, Imuda dan artis komik Shamsaimun Ezil atau Along Sam yang sinonim dengan watak superhero ‘Keluang Man’.

“Ini peluang keemasan bagi pengunjung berjumpa dengan artis kartun kegemaran mereka, mempelajari kemahiran baharu dan mendapatkan pandangan tentang dunia kartun dan ilustrasi.

“Pengunjung juga berpeluang membeli pelbagai penerbitan kartun yang menarik, daripada cetakan lama, klasik hingga edisi terkini,” katanya.

Mengulas lanjut katanya salah satu acara kemuncak pesta yang diadakan di Kompleks PKNS Shah Alam itu adalah cabaran dinding kartun yang mana kartunis akan bekerjasama menyiapkan karya seni dalam jangka masa yang ditetapkan.

“Demonstrasi langsung ini akan mempamerkan kemahiran dan kreativiti artis dan memberikan pandangan yang menarik tentang sifat kerjasama penciptaan kartun,” katanya.

Sebelum ini Zafrullah memaklumkan pesta itu menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM50,000 dengan 20 pemenang akan ditentukan secara rawak setiap hari menerusi proses cabutan sekali gus layak menerima RM500.

Minggu lalu, Pengarah PPAS Datin Paduka Mastura Muhamad menyasarkan lebih 100,000 hadir kali ini dan mempelawa ibu bapa berkunjung ke pesta itu dengan membawa anak mereka.

Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor julung kali diadakan tahun lalu di lokasi sama melibatkan penyertaan penulis, penerbit dan penjual buku tempatan menarik minat 80,000 pengunjung.


Pengarang :