EXCO Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr Mohamad Fahmi Ngah (tengah) bergambar pada Majlis perasmian Kursus Pemprosesan Daging di Kolej Komuniti Sabak Bernam pada 22 JULAI 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Garis panduan penyembelih bertauliah dibentang September depan

SABAK BERNAM, 22 JULAI: Selangor sedang menyediakan satu garis panduan berkaitan penyembelih bertauliah di negeri yang dijangka berkuat kuasa tahun depan, kata EXCO agama Islam.

Dr Fahmi Ngah berkata Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sedang membangunkan garis panduan tersebut dan draf pertama akan dibentangkan pada September depan.

“Undang-undang ada tetapi penguatkuasaan tidak sempurna kerana ada pengusaha yang hendak bayar murah mengupah warga asing dan memakai kopiah. Kita mahu tingkatkan penguatkuasaan supaya penyembelih ini disahkan Jais.

“Keutamaan akan diberikan kepada orang tempatan dan mahu mengawal penyembelih komersial kerana untuk menyembelih perlu ada tauliah.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr Mohamad Fahmi Ngah (tengah) menyaksikan Sesi Menandatangani Surat Hasrat (Kolej Komuniti Sabak Bernam, TalenTac dan Zaha Butchery) pada Majlis perasmian Kursus Pemprosesan Daging di Kolej Komuniti Sabak Bernam pada 22 JULAI 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

“Ini akan buat masyarakat lebih rasa yakin dan Kerajaan Negeri serius dalam isu keterjaminan halal,” katanya pada majlis perasmian kursus pemprosesan daging di Kolej Komuniti Sabak Bernam di sini, hari ini.

Terdahulu, pada majlis tersebut Fahmi menyaksikan sesi menandatangani surat hasrat antara Kolej Komuniti Sabak Bernam, TalenTac dan Zaha Butchery berkaitan kursus tersebut yang berlangsung selama dua minggu.

Persidangan Dewan Negeri Selangor Mac lalu meluluskan Rang Undang-undang (RUU) berhubung peraturan-peraturan atau kaedah-kaedah berhubung dengan kesalahan dan hukuman yang hanya terhad kepada perkara berkaitan perakuan orang yang layak melakukan sembelihan halal atau orang yang layak melakukan sertu.

RUU berkenaan bukan merupakan kesalahan dan hukuman berkaitan dengan penandaan halal sebaliknya kuasa untuk menentukan orang yang layak untuk melakukan sembelihan.

Mengulas lanjut, Fahmi memaklumkan Kerajaan Negeri sentiasa menyokong usaha pihak swasta melaksana inisiatif kursus-kursus yang dapat memberi ruang dan peluang pekerjaan kepada golongan muda.

“Contohnya kursus seperti ini, kita lihat mudah tetapi ia sebenarnya memberi pengalaman baharu kepada golongan muda dan menjana ekonomi.

“Kerajaan Negeri sentiasa menyokong usaha yang dibawa swasta dan kita akan bantu paling kurang beri dana dan sokongan untuk benarkan mereka melaksanakannya di pusat-pusat komuniti sedia ada,” katanya.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr Mohamad Fahmi Ngah (dua dari kiri) bersama Pengarah Kolej Komuniti Sabak Bernam, Ahmad Arman Nor Anuar (dua dari kanan), Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Pekerjaan Pansomal Sdn Bhd (TalenTac), En. Afred Tan (kiri) dan Chef Zaha Iron Butcher (kanan) menunjukkan daging yang telah di potong pada Majlis perasmian Kursus Pemprosesan Daging di Kolej Komuniti Sabak Bernam pada 22 JULAI 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Pengarang :