Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berucap pada majlis makan tengah hari di Dewan Orang Ramai, Kampung Bukit Kuching Tengah, Kuala Selangor pada 14 November 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lebih 23 peratus maut akibat sakit jantung, kolesterol tinggi punca utama

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Penyakit kardiovaskular (CVD) secara konsisten menyumbang hampir 23.3 peratus kematian di Malaysia sejak bertahun-tahun lamanya, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata kolesterol tinggi adalah faktor risiko utama bagi penyakit kardiovaskular aterosklerotik, yang merupakan penyebab utama morbiditi dan kematian.

Dr Dzulkefly berkata berdasarkan Kaji Selidik Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan, 33.3 peratus orang dewasa di Malaysia atau 7.6 juta yang berumur 18 dan ke atas, menderita penyakit kolestrol tinggi.

“Lebih membimbangkan, satu daripada dua orang dewasa tidak menyedari mereka menderita penyakit ini kerana biasanya peningkatan kolestrol tidak menunjukkan simptom.

“Walaupun dengan rawatan, cabaran masih wujud, kawalan tahap kolesterol masih belum mencapai sasaran bagi ramai pesakit, terutama mereka yang berisiko tinggi. Ini adalah jurang yang perlu diatasi,” katanya dalam ucapannya sebelum merasmikan Klinik Grand Round dan Klinik Pengurangan Risiko Kardiovaskular (CRRC) di Institut Jantung Negara (IJN) di sini hari ini.”

Dr Dzulkefly berkata sejak penubuhannya dua tahun lalu, CRRC telah merawat hampir 600 pesakit, dan secara signifikan meningkatkan kualiti hidup serta hasil kesihatan mereka.

“Sebagai klinik biasa di IJN, CRCC merupakan perkhidmatan kardiovaskular yang berorientasikan pesakit dengan matlamat mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular dalam kalangan pesakit terpilih. Semua pesakit ini telah berjaya mengawal dan mengurangkan faktor risiko penyakit kardiovaskular mereka,” katanya.

Beliau berkata Grand Round ini selaras sepenuhnya dengan Rancangan Strategik Kebangsaan Kementerian Kesihatan untuk Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) 2016-2025, dengan sasaran mengurangkan kematian NCD daripada 20 peratus pada 2023 kepada 15 peratus menjelang 2025.

Menteri itu berkata ini akan melibatkan pelbagai strategi, dengan satu daripadanya ialah menggunakan klinik multidisiplin CRRC untuk mengoptimumkan risiko pesakit.

“Model ini boleh diterapkan dalam pelbagai bentuk di seluruh negara, bergantung kepada sumber yang tersedia. Konsep kerjasama antara sektor swasta dan awam boleh memastikan pengurusan yang lebih baik serta hasil yang lebih berkesan,” katjanya.

-BERNAMA


Pengarang :