Masjid Taman Alam Jaya dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Puncak Alam, Kuala Selangor pada 8 April 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Agama bukan alat politik sebaliknya jambatan perbetul salah faham

SHAH ALAM, 18 SEPT: Agama tidak seharusnya dijadikan alat politik sebaliknya menjadi jambatan untuk memperbetul salah faham yang berlaku dalam kalangan masyarakat.

Ahli Majlis Kebangsaan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia menjelaskan agama itu sendiri mengajak masyarakat supaya bersatu padu dan menghindari keburukan.

“Apabila disebut soal agama, ia sesuatu yang sensitif dan sebab itu kita kena jaga sensitiviti masyarakat lain dengan tidak memperlekeh agama atau meletakkannya pada satu tempat tidak betul.

“Sekiranya agama digunakan untuk tujuan politik, ia perkara tidak wajar. Begitu juga jika ia digunakan bagi tujuan meraih simpati atau mendapatkan keuntungan.

“Jika boleh gunakan agama untuk penyatuan dan betulkan persepsi kerana hakikatnya masyarakat kita berbeza daripada segi keturunan serta penganut,” kata Dr Ann Wan Seng kepada Selangorkini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Outreach Hidayah Centre Foundation Noli Husain mengajak masyarakat berganding bahu bagi menjayakan perpaduan selain mengelak menyentuh isu agama dalam politik.

“Tidak kira (masyarakat) memihak kepada parti politik mana sekalipun, kita yang tinggal di negara dengan kepelbagaian etnik kena jaga susun atur dan bersepadu menjayakan perpaduan.

Pengarah Jabatan Outreach Hidayah Centre Foundation Noli Husain. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI

“Pada masa sama tidak melakukan sesuatu dengan mengambil konteks politik mereka sendiri. Mereka perlu ikhlas dan telus demi mencapai perpaduan,” katanya.

Pada 12 September, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menyeru pemimpin politik supaya tidak memperalat agama bagi meraih sokongan dengan memangsakan rakyat untuk kepentingan diri.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga menegaskan perbuatan mengeluarkan fatwa secara tidak bertanggungjawab perlu dihentikan demi memelihara perpaduan rakyat di negara ini.


Pengarang :