Saksikan video penuh Belanjawan 2018 Negeri Selangor yang telah dibentangkan oleh YAB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Klik di sini untuk tonton menerusi Youtube

Klik disini untuk infografik penuh Belanjawan Negeri Selangor 2018

Ucapan Penuh Belanjawan Negeri Selangor 2018.

1. Alhamdulillah, perjalanan 3 tahun 1 bulan 11 hari yang bermula dengan cabaran ekonomi dan percubaan untuk menggasir kestabilan pentadbiran telah berjaya diharungi dengan tenang, teliti dan bijaksana.

2. Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana rakyat semakin teguh mendukung Kerajaan hari ini yang tuntas membangun bangsa dan memakmur negeri.

3. Pentadbiran saya akan terus menggembeleng perpaduan dan kesatuan rakyat. Telah terbukti bagaimana rakyat yang bersatu padu, kerja berganding bahu dan bergerak sederap menjadi landasan kepada kemajuan.

4. Ini diakui oleh badan penyelidikan ekonomi Malaysian Institute of Economic Research (MIER) yang melaporkan antara kekuatan Negeri Selangor adalah kestabilan dan kesatuan dalam pentadbiran, cekal dan berpandangan jauh serta berjaya melaksanakan dasar dan program yang mengutamakan rakyat. Inilah ciri-ciri sebuah Kerajaan yang akan terus bertahan dengan sokongan rakyat.

5. Kestabilan dan keutuhan dalam pentadbiran telah memberikan keyakinan kepada pelabur-pelabur domestik dan luar negara untuk terus menjadikan Selangor sebagai destinasi pelaburan.

6. Selangor berjaya menarik pelaburan yang besar dan berteknologi tinggi dari negara-negara maju. Yang terbaru, IKEA Supply (Malaysia) Sdn. Bhd. sebuah syarikat Sweden akan membangunkan regional distribution and supply chain centre di Pulau Indah dengan nilai pembangunan sebanyak RM 1 bilion. Pusat ini adalah yang ketiga terbesar di dunia selepas Chicago dan Dusseldorf.

7. Kerajaan Negeri sedang diperingkat akhir untuk memuktamadkan satu lagi usahasama pembangunan di Kuala Langat dengan sebuah syarikat Jepun yang bernilai RM 1.2 bilion.

8. Kejayaan hari ini bukan alasan untuk mengambil sikap selesa. Senario ekonomi semasa menuntut kita untuk merencana Belanjawan 2018 yang dapat meneruskan agenda pembangunan berkualiti, memacu pertumbuhan organik dan membangun industri yang berinovasi dan kreatif.

9. Sebagai sebuah Kerajaan yang peduli rakyat, Belanjawan 2018 akan memperkenalkan beberapa dasar baru dan inisiatif untuk memacu pertumbuhan yang mampan, mencipta kemahiran di kalangan guna tenaga kerja dan memberdaya sosio ekonomi rakyat.

10. Maka, pada petang Jumaat yang sarat dengan barakah, saya berdiri teguh dan cekal tabah untuk membentangkan belanjawan buat kali keempat dengan meneruskan dasar dan kebijakan yang menjana pertumbuhan ekonomi dan menjamin prinsip keadilan.

11. Kemajuan negeri dalam bidang industri dan teknologi diimbangi dengan program keadilan sosial yang utuh sebagai asas pembangunan bangsa dan kemakmuran negeri.

12. Untuk merealisasikan gagasan regional smart state, kita perlu gilap daya saing, perkukuh daya tahan dan tekad melakukan kebaikan.

13. Mengambil inspirasi prinsip Al-Quran, maka Belanjawan 2018 Negeri Selangor berlandaskan prinsip ‘fastabiqul khairat’ – berlumba-lumba melakukan kebaikan.

B. SENARIO EKONOMI

14. Pertumbuhan KDNK negara pada tahun 2016 mencatatkan 4.2 peratus berbanding 5.0 peratus dalam tahun 2015. Kelembapan ini disebabkan oleh pengaruh luaran dan juga faktor dalaman yang menyaksikan kelemahan struktural ekonomi termasuk daya saing yang merosot, tahap keyakinan yang rendah serta kegagalan melakukan pembetulan dalam pengurusan kewangan.

15. Pertumbuhan ekonomi negara mencatatkan 5.7 peratus pada separuh tahun pertama 2017 yang dipacu oleh perbelanjaan sektor swasta dan keadaan ekonomi serantau seperti China yang berkembang sebanyak 6.9 peratus.

16. ASEAN diunjurkan mencatat prestasi ekonomi yang lebih baik bagi tahun 2017 seperti yang dicatatkan oleh Filipina dan Vietnam masing-masing dengan kadar pertumbuhan ekonomi sebanyak 6.8 peratus dan 6.5 peratus. Ini membuktikan bahawa negara-negara jiran lebih rancak dalam pertumbuhan.

17. Sekalipun ekonomi negara tumbuh lebih baik dalam tahun 2017, namun kadar inflasi masih tinggi pada kedudukan 4.3 peratus pada suku tahun pertama dan 4.0 peratus pada suku tahun kedua. Faktor yang mendorong kadar inflasi yang tinggi adalah peningkatan kos pengangkutan sebanyak 15.8 peratus ekoran kenaikan harga bahan api.

18. Jabatan Perangkaan Malaysia pada 20 September 2017 mengesahkan peningkatan Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi bulan September 2017 kepada 4.3 peratus bagi asas tahun ke tahun berbanding 3.7 peratus pada bulan sebelumnya.

19. Harga minyak masak telah meningkat dengan mendadak sebanyak 49.1 peratus pada bulan September 2017 daripada 48.9 peratus pada bulan Ogos 2017. Harga ikan kembong meningkat sebanyak 11 peratus dan ikan cencaru sebanyak 6.8 peratus.

20. Kenaikan harga barang amat membebankan rakyat dan pelaksanaan Goods and Services Tax (GST) merupakan salah satu faktor peningkatan kos kehidupan. Maka, pengenalan GST merupakan ibu kepada peningkatan bebanan kos sara hidup rakyat yang gagal ditangani oleh “ibu segala bajet.”

21. Pertumbuhan ekonomi Selangor pada tahun 2018 dijangka lebih tinggi pada kadar 5.5 peratus hingga 6.0 peratus berbanding tahun sebelumnya pada kadar 5.0 peratus hingga 5.5 peratus. Senario yang positif ini dipacu oleh aktiviti sektor perkhidmatan dan pembuatan. Bagi tahun 2017, nilai ditambah sektor perkhidmatan diunjurkan menyumbang sebanyak 59.7 peratus kepada KDNK negeri, manakala nilai ditambah sektor pembuatan dianggarkan menyumbang sebanyak 28.8 peratus.

22. Kerajaan Negeri senantiasa berusaha untuk meningkatkan jumlah pelaburan asing dan domestik. Sehingga Disember 2016, Selangor mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM 7.88 bilion dengan 242 projek.

23. Dalam tahun 2016, KDNK Selangor meningkat kepada RM 251.6 bilion atau 22.7 peratus daripada KDNK nasional berbanding RM 240 bilion atau 22.6 peratus pada tahun sebelumnya. Dengan rekod ini, maka Selangor kekal sebagai penyumbang nombor wahid kepada KDNK Malaysia.

24. Selangor juga kekal menjadi destinasi utama pelabur kerana keyakinan mereka terhadap iltizam Kerajaan Negeri dalam mempertahankan prinsip good governance, ketelusan dan kebertanggungjawaban.

25. Keyakinan ini amat penting untuk Selangor berdaya tahan bagi mendepani ketidaktentuan ekonomi dunia termasuk keupayaan China untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang tinggi.

26. Kita juga perlu berwaspada terhadap faktor-faktor ketidaktentuan yang lain termasuk dasar pentadbiran Trump dan persoalan-persoalan yang belum selesai akibat daripada Brexit.

27. Kerajaan Negeri tuntas untuk mengekalkan pelaburan bagi mencipta peluang-peluang baru dan mewujudkan pekerjaan bagi rakyat Selangor melalui dasar pelaburan yang berteknologi tinggi dan mencipta pertumbuhan yang organik, meningkatkan daya saing global dan knowledge economy.

28. Justeru itu, misi pelaburan ke Genome Valley, Hyderabad bulan lalu menumpukan sektor industri berteknologi tinggi, bioteknologi, R&D dan Internet of Things (IoT).

29. Penyertaan saya dalam 21st Century Maritime Silkroad International Expo di Guangzhou serta dialog dengan pemimpin negara India membuktikan bahawa Selangor berada dalam kompas geo-strategik di kalangan kuasa-kuasa besar baru ekonomi dunia serta berupaya bersaing di peringkat global.

C. PRESTASI KEWANGAN NEGERI SELANGOR

Kedudukan Kewangan

30. Jumlah wang awam Kerajaan Negeri yang terdiri dari wang tunai dan pelaburan yang dipegang bagi ketiga-tiga Kumpulan Wang Disatukan iaitu Akaun Hasil Disatukan, Akaun Amanah Disatukan dan Akaun Pinjaman Disatukan pada 31 Disember 2016 adalah Ringgit Malaysia Tiga Bilion, Lima Puluh Satu Juta, Dua Ratus Enam Ribu, Empat Puluh Tiga (RM 3,051,206,043).

31. Alhamdulillah, prestasi kewangan Kerajaan Negeri pada 31 Oktober 2017 kekal kukuh dengan lebihan semasa berjumlah RM 178.22 juta dan telah menyumbang kenaikan rizab negeri kepada RM 3.24 bilion berbanding RM 3.05 bilion pada 31 Disember 2016. Belanja Pembangunan sudah mencapai tahap 61.5 peratus manakala Belanja Mengurus mencatatkan 73.8 peratus.

Kedudukan Hasil Negeri

32. Kutipan sebenar hasil negeri bagi tahun 2016 adalah Ringgit Malaysia Dua Bilion, Empat Ratus Sembilan Puluh Sembilan Juta, Enam Ratus Enam Puluh Empat Ribu, Enam Ratus Lima (RM 2,499,664,605).

33. Hasil Cukai mencatatkan kutipan sebanyak RM 594.68 juta, Hasil Bukan Cukai mencatatkan RM 1.72 bilion dan Terimaan Bukan Hasil berjumlah RM 184.53 juta.

34. Sehingga 31 Oktober 2017, Kerajaan Negeri mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM 2.50 bilion iaitu 98.14 peratus daripada anggaran hasil bagi 2017 sebanyak RM 2.55 bilion.

35. Hasil Cukai mencatatkan kutipan sebanyak RM 625.77 juta (99.44 peratus), Hasil Bukan Cukai mencatatkan RM 1.67 bilion (97.73 peratus) dan Terimaan Bukan Hasil berjumlah RM 206.63 juta (97.62 peratus).

Anggaran Hasil

36. Hasil bagi tahun 2018 dianggarkan RM 2.25 bilion. Antara penyumbang utama kepada hasil negeri adalah premium tanah (48.3 peratus), hasil cukai tanah (23.3 peratus) dan urusniaga berkaitan tanah (5.9 peratus). Kutipan hasil tersebut menyumbang sebanyak 77.5 peratus daripada keseluruhan anggaran hasil.

37. Kutipan hasil cukai tanah sehingga 31 Oktober 2017 adalah sebanyak RM 523.08 juta. Trend ini dijangka akan berterusan sehingga tahun 2018 dan kutipan hasil cukai tanah dianggarkan berjumlah RM 524.5 juta.

38. Selaras dengan penggubalan Akta Hakmilik Strata (Pindaan) 2013 (Akta A1450), Kerajaan Negeri akan melaksanakan kutipan Cukai Petak (PCP) ke atas hakmilik strata mulai 1 Januari 2018 bertujuan untuk memudah cara pendaftaran urusniaga bagi hakmilik strata tanpa perlu menunggu cukai tanah hakmilik “master title” dibayar.

D. BELANJAWAN 2018

Anggaran Perbelanjaan

39. Berdasarkan kedudukan kewangan negeri yang kukuh dan terus berdaya tahan, maka Kerajaan Negeri mencadangkan agar anggaran perbelanjaan tahun 2018 berjumlah Ringgit Malaysia Tiga Bilion, Satu Ratus Dua Puluh Juta (RM 3,120,000,000) bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan yang menjamin kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat.

40. Daripada jumlah tersebut, Ringgit Malaysia Satu Bilion, Empat Ratus Enam Puluh Juta (RM 1,460,000,000) atau 46.8 peratus diperuntukkan bagi Belanja Mengurus dan Ringgit Malaysia Satu Bilion, Enam Ratus Enam Puluh Juta (RM 1,660,000,000) atau 53.2 peratus untuk Belanja Pembangunan iaitu kenaikan sebanyak 1 peratus berbanding tahun 2017.

41. Saya ingin menegaskan bahawa 2018 merupakan tahun keempat berturut-turut di mana Kerajaan Negeri menaikkan peratusan Belanja Pembangunan melebihi Belanja Mengurus. Ini adalah selaras dengan prinsip ex ante accountability dalam perancangan dan pengurusan belanjawan.

42. Belanjawan 2018 dijangka akan mengalami defisit berjumlah Ringgit Malaysia Lapan Ratus Tujuh Puluh Juta (RM 870,000,000) berpunca dari peruntukan pembangunan yang substantif untuk memenuhi keperluan pembangunan mampan.

43. Pengalaman tiga belanjawan yang lalu membuktikan perbelanjaan berhemah, memperkukuh budaya kerja cekap dan berintegriti dan menutup ruang pembaziran serta ketirisan telah berjaya mengubah belanjawan defisit kepada belanjawan berimbang dan mengurangkan belanjawan defisit kepada satu jumlah yang munasabah.

44. Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Dasar Penilaian Perolehan Secara Sistem Cut-off pada tahun 2015 bagi menilai semua tender dan sebut harga yang dipelawa secara terbuka. Sejak tahun 2015, sejumlah 364 projek dengan anggaran kos sebanyak RM 3.16 bilion telah dinilai. Hasil daripada pelaksanaan kaedah ini yang dibuat secara telus dan berintegriti, maka sehingga 31 Oktober 2017, Kerajaan Negeri telah merekodkan penjimatan sebanyak RM 432.4 juta. Hasil penjimatan inilah yang dipulangkan semula kepada rakyat melalui Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

Belanja Mengurus

45. Daripada jumlah RM 1.46 bilion di bawah peruntukan Belanja Mengurus, sejumlah RM 444.15 juta adalah untuk emolumen dan RM 557.79 juta bagi perkhidmatan dan bekalan. Manakala, RM 359.82 juta disediakan untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap serta RM 98.24 juta untuk pembelian aset dan perbelanjaan lain.

Belanja Pembangunan

46. Teras pembangunan yang strategik dan kukuh adalah mutlak untuk merealisasikan gagasan Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri. Dalam konteks ini, saya gembira untuk melaporkan kepada Dewan kejayaan yang telah dicapai dalam menyempurnakan projek-projek besar infrastruktur untuk kesejahteraan rakyat.

a. Projek Mitigasi 2 yang bertujuan meningkatkan kapasiti bekalan air terawat dan menambahbaik sistem agihan bekalan air bernilai RM 328 juta telah siap pada 28 April 2017.

b. Loji Rawatan Air Semenyih 2 bernilai RM 188 juta dijangka siap sepenuhnya pada bulan Disember 2017.

c. Jambatan Ketiga Klang yang dibina untuk menyurai kesesakan trafik di Bandar Klang telah siap dan mula beroperasi pada 15 Jun 2017. Kos pembinaan berjumlah RM 250 juta dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

d. Fasa Pertama Projek Menaiktaraf Jalan Reko, Kajang yang menelan belanja RM 65 juta telah siap dan dibuka kepada pengguna jalan raya pada Mei 2017.

e. Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berjaya menyiapkan Ibu Pejabat PKNS yang menjadi mercu tanda di Bandaraya Shah Alam dengan kos pembinaan sebanyak RM 210 juta.

47. Inilah tanggungjawab saya sebagai memenuhi prinsip ex post accountability iaitu menyiapkan projek mengikut jadual dan menunaikan janji untuk memenuhi aspirasi rakyat.

48. Maka, untuk tahun 2018, pembangunan akan dirancakkan. Sejumlah RM 746 juta atau 44.9 peratus daripada peruntukan Belanja Pembangunan diperuntukkan untuk infrastruktur termasuk projek pembinaan baru dan menaiktaraf jalan dan jambatan, projek tebatan banjir, penyelenggaraan parit dan saliran serta projek pembangunan bekalan air.

49. Daripada jumlah tersebut, Jabatan Kerja Raya diperuntukan sejumlah RM 200 juta. Antara projek yang akan diberikan keutamaan adalah menaiktaraf laluan Persiaran Mokhtar Dahari bernilai RM 40 juta. Projek ini dijangka siap pada tahun 2019 dengan kos projek bernilai RM 160 juta.

50. Kerajaan Negeri akan meneruskan pelaksanaan projek jalan alternatif dari Shah Alam ke Banting dengan peruntukan RM 13 juta serta projek menaiktaraf jalan dari Simpang Tiga Jenderam ke Pekan Sepang Lama dengan peruntukan RM 16.5 juta. Kos projek bagi kedua-dua pembangunan ini adalah RM 272 juta.

51. Rakyat Gombak akan menikmati jalan-jalan baru dan jalan-jalan yang dinaiktaraf dengan peruntukan berjumlah RM 36.7 juta. Jalan baru menghubungkan Kampung Sri Indah A ke Jalan Hospital Sungai Buloh akan dibina dengan kos RM 5 juta. Projek menaiktaraf jalan Kampung Lombong di Daerah Klang dan Kuala Langat yang menelan kos pembinaan RM 16 juta akan dilaksanakan dalam tahun 2018.

52. Kerajaan Negeri senantiasa mendengar keluhan rakyat yang memerlukan rangkaian perhubungan jalan raya. Kerajaan Negeri akan membina jalan-jalan baru yang menelan kos sebanyak RM 32.4 juta termasuk projek membina jalan sambungan Kota Warisan melibatkan peruntukan RM 10 juta, projek membina jalan dari Kajang ke Kampung Pasir, Sungai Lalang melalui perkampungan Naqasabandiah bernilai RM 1.3 juta dan projek membina jalan sambungan Sungai Kelambu ke Genting Sanyen bernilai RM 1 juta.

53. Kerajaan Negeri memperuntukan RM 18.7 juta untuk projek pembinaan jambatan dan jejantas termasuk menggantikan jambatan melintasi Sungai Kundang, Daerah Gombak yang bernilai RM 6 juta dan projek menggantikan jambatan lama di Kampung Rantau Panjang, Daerah Kuala Selangor sebanyak RM 5 juta serta projek menaiktaraf jambatan di Sungai Rasah, Klang yang menelan kos RM 3.7 juta.

54. Bagi tahun 2018, saya mencadangkan peruntukan pembangunan sebanyak RM 114 juta untuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Kerajaan Negeri komited untuk menangani masalah banjir. Untuk maksud itu, sejumlah RM 47.3 juta disediakan bagi projek tebatan banjir. Selain itu, sejumlah RM 25.4 juta disediakan bagi tujuan projek menaiktaraf sistem saliran.

55. Kerajaan Negeri menggesa JPS supaya merancang kerja-kerja pengukuhan tebing dan benteng dengan peruntukan sebanyak RM 10.18 juta manakala sejumlah RM 9.45 juta disediakan untuk kerja-kerja membina dan menaiktaraf kolam-kolam takungan. Kerajaan Negeri juga menyediakan peruntukan sejumlah RM 9.5 juta untuk kerja-kerja mencegah hakisan pantai dan membina tembok penahan ombak.

56. Bagi menjamin kelangsungan bekalan air terawat, sebanyak RM 251.5 juta disediakan untuk pelaksanaan pelbagai projek pembangunan bekalan air termasuk Pembinaan Loji Rawatan Air Labuhan Dagang di Kuala Langat berjumlah RM 167 juta yang dijangka siap pada akhir tahun 2018.

57. Kerajaan Negeri melalui Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memandang serius isu non-revenue water (NRW). Sejumlah RM 248.7 juta telah diluluskan kepada Air Selangor untuk kerja-kerja penggantian paip. Pada masa ini, kerja-kerja penggantian paip lama telah dilaksanakan sepanjang 178.55 kilometer dan baki 112.24 kilometer akan disiapkan pada akhir tahun 2018.

58. Seterusnya, Belanja Pembangunan juga memperuntukkan sejumlah Ringgit Malaysia Dua Ratus Empat Puluh Satu Juta, Enam Ratus Lima Puluh Ribu, Enam Ratus Tujuh Puluh (RM 241,650,670) atau 14.6 peratus bagi meningkatkan sektor ekonomi negeri melalui program pembangunan pengangkutan, perindustrian dan pelaburan, program pengukuhan teknologi maklumat, perbandaran, perhutanan, veterinar serta perancangan bandar dan desa.

59. Kerajaan Negeri senantiasa menilai keberkesanan program-program sosio ekonomi dan program pemerkasaan luar bandar untuk memperkukuhkan agenda peduli rakyat.

60. Untuk tujuan ini, Belanja Pembangunan menyediakan sejumlah Ringgit Malaysia Satu Ratus Lapan Puluh Tujuh Juta, Tujuh Ratus Empat Puluh Ribu, Tiga Ratus Sepuluh (RM 187,740,310) atau 11.3 peratus bagi melaksanakan program perkhidmatan masyarakat, pemberdayaan modal insan dan usahawan, pembangunan belia dan sukan serta pembangunan wanita dan keluarga.

E. STRATEGI BELANJAWAN 2018

61. Untuk menterjemah gagasan Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri dengan membawa tema fastabiqul khairat, maka strategi Belanjawan 2018 Negeri Selangor adalah :

a. Smart Selangor ke arah globalisasi ;
b. Meningkat kesejahteraan, menjamin keselamatan ;
c. Memperkasa kualiti pendidikan dan kemahiran berinovasi ;
d. Merayakan budaya, warisan, intelek & menyegarkan jasmani dan lingkungan ;
e. Membangun negeri penyayang.

STRATEGI PERTAMA : Smart Selangor ke arah globalisasi

Smart City

62. Teknologi digital terkini boleh menghasilkan kemungkinan baru yang melangkaui sempadan. Potensi ini boleh mengangkat Selangor sebagai peneraju negara ke era M-ICT. Pembangunan smart city adalah berorientasikan perkhidmatan yang menyediakan penyelesaian multi dimensi melalui internet of things.

63. Smart city yang dipacu oleh teknologi Big Data adalah dalam capaian kita. Dengan meningkatnya mobiliti dan connectivity, Selangor akan menerajui transformasi digital untuk membina sebuah negeri yang pintar, pantas dan more connected.

64. Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) ditubuhkan untuk merangka dan melaksana inisiatif yang menyumbang kepada pembangunan regional smart state.

65. SSDU telah melaksanakan 14 projek perintis dalam tempoh satu setengah tahun meliputi Smart Waste Management, pembersihan Sungai Klang dan kerjasama dengan Google Waze untuk pelaporan jalan berlubang serta pertambahan bilangan hotspot WiFi percuma Smart Selangor kepada 2,500 AP yang dijangka akan ditambah kepada 3,800 AP khususnya di kawasan luar bandar.

66. Melalui sistem Intelligent Response Selangor, Datuk Bandar dan Yang DiPertua Majlis Perbandaran dan Daerah tidak lagi perlu merayau-rayau di sepanjang jalan untuk memantau kalau-kalau ada jalan berlubang; mengintai-intai lorong, kalau-kalau ada sampah yang tidak dipungut. Kini, dengan wujudnya Smart Waste Management dan sistem iClean, ianya telah membantu pengurusan PBT untuk menangani masalah pengurusan sampah dan jalan berlubang dengan lebih berkesan, cepat dan mesra pengguna.

67. Smart Selangor Command Centre (SSCC) telah mula beroperasi bagi memusatkan kesemua data negeri untuk dianalisa bagi memudahkan operasi pemantauan menerusi satelit dan pengurusan insiden hutan terbakar, pencemaran air dan lokasi sampah haram. SSDU juga telah menggunakan 10 unit pemantauan kualiti udara berdasarkan PM2.5 untuk pemantauan secara real-time.

68. SSDU sedang di peringkat akhir membangunkan sebuah aplikasi mobile yang akan memaparkan waktu ketibaan Bas Smart Selangor tanpa perlu menunggu lama di perhentian bas.

69. SSDU sedang mewujudkan sistem aplikasi mobile smart parking yang bersepadu melalui pembangunan sistem e-wallet bagi memudahkan pengguna tanpa perlu menggunakan kupon mahupun wang tunai. Usaha ini juga mengupayakan pihak PBT mendapat angka pendapatan secara real-time.

70. Untuk memastikan sebuah e-government yang lebih efisyen dan telus, saya ingin mencadangkan pembangunan State Wide Area Network yang merangkumi Data Centre untuk disaster recovery.

71. Sebagai usaha memperkukuh pembangunan smart cities, sejumlah RM 10.6 juta disediakan bagi pembangunan infrastruktur digital termasuk penambahbaikan platform Public Citizen Partnership (PCP).

72. Selain pembangunan infrastruktur digital, sejumlah RM 11 juta disediakan bagi pelaksanaan projek perhentian bas pintar, pembangunan epicentre dan accelerator serta pembangunan silibus IoT bersama industri.

Menjana Pelaburan dan Perindustrian

73. Bagi tahun 2016, Selangor telah berjaya menarik pelaburan dalam sektor perkilangan bernilai RM 7.8 bilion melebihi sasaran RM 6.0 bilion. Invest Selangor mensasarkan nilai pelaburan bagi tahun 2017 berjumlah RM 6.5 bilion dalam sektor perkilangan.

74. Selaras dengan trend global yang beralih kepada Fourth Industrial Revolution (IR4.0), beberapa bidang industri berteknologi tinggi dan berimpak tinggi telah dikenalpasti berpotensi untuk berkembang seperti e-commerce, bioteknologi, aeroangkasa dan industri halal.

75. Pembangunan sektor bioteknologi mempunyai peranan yang strategik untuk menjadikan Selangor sebagai hub R&D dengan menyediakan kemudahan infrastruktur bagi menarik pelaburan bioteknologi.

76. Selangor Bio Bay akan membangunkan ‘innovation corridors’ seperti yang dikembangkan di Genome Valley. Untuk mendukung usaha ini, Selangor Bio Bay antara lain akan menyediakan ‘Bio Accelerator Centre’ sebagai makmal terbuka buat syarikat-syarikat yang melabuh di Pulau Indah.

77. Kerajaan Negeri telah menyediakan dana awal (seed capital) berjumlah RM 10 juta bagi membiayai R&D bioteknologi sebagai insentif menjalankan penyelidikan.

78. Kerajaan Negeri telah mewujudkan Selangor Information Technology & E-Commerce Council (SITEC) untuk memberi tumpuan kepada perkembangan teknologi maklumat dan pembangunan e-dagang.

79. Future commerce merupakan platform atas talian yang penting untuk transaksi urusniaga. Program yang menggunakan model Epicentre Google for Entrepreneurs di Stockholm dan program accelerator untuk membangunkan start-up communities akan dilaksanakan untuk memperkasakan komuniti SME. SITEC diperuntukkan RM 6 juta bagi tahun 2018.

80. Penubuhan Aerospace Council membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri untuk membina Selangor sebagai hub aeroangkasa. Subang, Sepang dan Serendah atau 3S adalah lokasi strategik yang lengkap dengan kemudahan untuk memajukan industri ini.

81. Sebagai road map atau lebih tepat lagi aerial map untuk mengangkat Selangor sebagai pemain utama dalam sektor aeroangkasa yang merupakan industri apex, maka Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM 2 juta untuk pembangunan blueprint aeroangkasa.

82. Bulan lalu, Selangor berjaya menarik perhatian syarikat konglomerat yang berpengkalan di Boston, General Electric International melalui GE Engine Services Malaysia yang terlibat dalam bidang Maintenance, Repair & Overhaul (MRO) untuk memperluaskan pelaburan baru bernilai RM 200 juta dalam meningkatkan keupayaan kemudahan untuk menyelenggara leap engine di Subang. Pelaburan ini akan menjadikan pusat ini sebagai pusat penyelenggaraan leap engine yang pertama di luar Cincinnati. Ini akan menarik pasaran baru di kalangan syarikat-syarikat penerbangan untuk melabuh di Subang.

83. Baker Hughes (BHGE), syarikat yang dimiliki oleh General Electric International akan membina kemudahan MRO bagi penyelenggaraan oil and gas turbine bernilai RM 200 juta di Klang. Pusat ini akan menyediakan perkhidmatan kepada pasaran Asia Pasifik.

84. Berbeza dengan Putrajaya, Kerajaan Negeri Selangor tidak perlu ke White House untuk melutut kepada kuasa asing. Dalam hal ini, syarikat yang berpengkalan di Boston datang ke Shah Alam untuk meletakkan pelaburan baru berdasarkan keyakinan terhadap kewibawaan dan integriti Kerajaan Negeri hari ini.

85. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, jumlah keseluruhan potensi pelaburan yang sedang dalam proses rundingan dan dijangka akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat mencecah nilai RM 404.5 juta yang melibatkan industri aeroangkasa, otomotif serta sektor elektrik dan elektronik.

86. Invest Selangor telah berjaya menganjurkan Selangor International Business Summit 2017 (SIBS) pada September 2017. SIBS 2017 merangkumi 3 acara utama iaitu Selangor Smart City & Future Commerce Convention, Selangor-ASEAN Business Conference dan Selangor International Expo 2017.

87. Konvensyen ini telah berjaya menarik minat lebih 3,000 peserta dan 5,000 pengunjung pameran. Persidangan pula mencatat kejayaan untuk mengangkat Selangor sebagai launching pad bagi memajukan keusahawanan ASEAN, manakala, Expo Antarabangsa telah berjaya menarik seramai 16,694 pengunjung dan menjana potensi nilai transaksi sebanyak RM 204.2 juta.

88. Sebagai sokongan Kerajaan Negeri di atas kejayaan Invest Selangor menganjurkan Selangor International Business Summit 2017, saya ingin mencadangkan ianya diteruskan pada 2018 dengan peruntukan RM 9 juta.

89. Secara keseluruhan, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM 25 juta dalam tahun 2018 untuk aktiviti dan program yang dirancang oleh Invest Selangor termasuk misi pelaburan.

90. Selangor berupaya untuk mengembangkan potensi perdagangan. Untuk mencapai matlamat ini, Kerajaan Negeri bercadang untuk membangunkan Cyber Valley sebagai ibu kota perdagangan Selangor.

91. Pusat bertaraf antarabangsa yang dilengkapi dengan pusat pameran dan persidangan yang canggih akan mengangkat imej Selangor sebagai gerbang ke ASEAN. Usaha ini akan dibuat melalui inisiatif awam dan swasta (public private initiative).

Sains, Teknologi dan Inovasi (STI)

92. Untuk merancakkan kegiatan penyelidikan yang memacu inovasi kreatif dalam bidang sains dan teknologi, maka Kerajaan Negeri memperuntukkan RM 2 juta kepada UNISEL untuk memastikan UNISEL akan terus terkehadapan dalam bidang sains dan teknologi selari dengan gagasan smart state.

Smart Agro

93. Menurut Food & Agriculture Organisation (FAO), penduduk dunia akan meledak kepada 9.6 bilion menjelang tahun 2050. Justeru itu, dunia akan berdepan dengan cabaran besar untuk mengeluarkan makanan yang perlu meningkat sebanyak 70 peratus.

94. Dengan kawasan pertanian yang semakin terbatas, peningkatan keperluan kepada sumber air dan dampak dari perubahan iklim akan menggugat pengeluaran pertanian.

95. Satu cara untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti pengeluaran pertanian adalah dengan melaksanakan Smart Agro atau Smart Farming menggunakan sensing technology yang menjadikan proses pertanian lebih intelligent dan connected. Dengan penggunaan IoT, Big Data, SMS dan lain-lain bentuk digital alert kepada petani dan penternak akan menghasilkan precision agriculture.

96. Antara aspek lain dalam smart agro adalah konsep Smart Community Garden khususnya di kawasan bandar. Konsep ini menggunakan pengairan, pemantauan tanah dan pengawalan serangga secara automated serta pembajaan pintar yang telah dilaksanakan di Eropah dan dikenali sebagai Swiss Smart Garden Ecosystem.

97. Untuk maksud itu, Kerajaan Negeri berhasrat mengkaji dengan lebih mendalam konsep individualized smart agro untuk menghasilkan tanaman yang berkhasiat, mempertingkatkan keluaran makanan dari bandar serta menyumbang kepada ekonomi sosial dan persekitaran hijau.

98. Kerajaan Negeri mensasarkan pengeluaran agro makanan bernilai RM 500 juta setahun dan akan terus berusaha untuk meningkatkan sumbangan sektor pertanian kepada KDNK negeri melebihi 1.6 peratus. Pengeluaran bahan makanan melalui sektor pertanian masih signifikan dan relevan bagi mengurangkan kebergantungan kepada impot makanan.

99. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan berjumlah RM 26 juta pada tahun 2018. Daripada jumlah ini, sejumlah RM 12.94 juta akan diperuntukkan untuk meningkatkan pengeluaran tanaman padi, kelapa, buah-buahan, sayuran, herba, florikultur, akuakultur dan ternakan.

100. Kerajaan Negeri komited untuk memacu sektor pertanian melalui teknologi fertigasi yakni gabungan sistem pembajaan dan saliran (fertilization and irrigation system) dan sesuai digunakan di kawasan tanah yang kurang subur seperti di kawasan tanah gambut dan dapat memanfaatkan kawasan tanah terbiar dan tanah yang belum dibangunkan.

101. Pelbagai tanaman boleh menggunakan teknologi fertigasi seperti cili, rock melon, timun, peria dan labu air. Walaupun berlaku fenomena El Nino, pengeluaran hasil tanaman sayur-sayuran secara konvensional dan fertigasi untuk tahun 2015-2016 di Daerah Sabak Bernam masih mampu mencatatkan pengeluaran 1.03 juta metrik tan dengan nilai RM 3.24 juta.

102. Bagi meningkatkan keupayaan usahawan dan menggalakkan penglibatan golongan millennials dalam teknologi fertigasi ini, Kerajaan Negeri akan meningkatkan peruntukan daripada RM 960,000 setahun kepada RM 2 juta bagi tahun 2018 termasuk program AgroGems.

103. Kerajaan Negeri juga akan meneruskan pemberdayaan nelayan, petani, penternak dan pesawah melalui program latihan dan bantuan peralatan dengan peruntukan berjumlah RM 7.1 juta pada tahun 2018.

104. Sebagai sebuah Kerajaan yang peduli masyarakat desa, Kerajaan Negeri segera tampil untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada pesawah yang terkesan akibat dari serangan penyakit Bacterial Leaf Blight (BLB) atau Bakteria Hawar Daun.

105. Kerajaan Negeri telah menyalurkan RM 8.54 juta kepada 8,953 pengusaha sawah termasuk Pak Lang Razak dari Sungai Leman yang tersenyum lebar menerima cek Kerajaan Negeri dari saya.

STRATEGI KEDUA : Meningkat Kesejahteraan, Menjamin Keselamatan

Pendemokrasian Perumahan

106. Bagi merealisasikan dasar pendemokrasian pemilikan rumah, Kerajaan Negeri meneruskan usaha memperkenalkan pelbagai inisiatif dan skim baru yang berinovasi dan kreatif untuk membolehkan rakyat Selangor mempunyai akses kepada perumahan yang berkualiti, selesa dan affordable.

Pembangunan Rumah Selangorku

107. Usaha Kerajaan Negeri bersama pihak swasta membina Rumah Selangorku pelbagai jenis di lokasi yang strategik telah melepasi sasaran awal sebanyak 15,000 unit. Sehingga 31 Oktober 2017, sebanyak 1,813 unit Rumah Selangorku telah siap dibina dan angka ini akan meningkat kepada 3,394 unit siap dibina menjelang hujung tahun ini. Untuk makluman Dewan, sebanyak 29 pemajuan / projek telah memperolehi kelulusan APDL dan dijangka akan menyiapkan 20,331 unit Rumah Selangorku secara berperingkat-peringkat menjelang tahun 2020.

Skim Smart-Sewa

108. Skim Smart-Sewa merupakan program Kerajaan Negeri yang diwujudkan untuk membantu rakyat yang berpendapatan sederhana menyewa selama minima 2 tahun dan maksima 5 tahun.

109. Dalam tempoh yang berkenaan, apabila penyewa mempunyai keupayaan untuk membeli rumah, maka 30 peratus daripada jumlah keseluruhan sewaan akan dipulangkan balik kepada penyewa untuk digunakan sebagai deposit membeli kediaman baru.

110. Pada tahun 2016, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM 10 juta untuk melancarkan Skim Smart-Sewa. Memandangkan skim ini mendapat sambutan baik dari golongan millennials, pada tahun 2017, Kerajaan Negeri telah meningkatkan pembiayaan Skim Smart-Sewa kepada RM 100 juta untuk membeli unit-unit rumah di lokasi strategik yang disewakan kepada mereka yang berkelayakan.

111. Sehingga hari ini, sebanyak 861 unit rumah mampu milik telah dimiliki oleh LPHS dengan kos pembelian bernilai RM 123.14 juta. Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn. Bhd. (PHSSB) dilantik sebagai agen pengurusan bagi skim ini.

112. Bagi tahun 2018, Kerajaan Negeri akan meneruskan skim ini dengan peruntukan tambahan sebanyak RM 50 juta.

Smart Selangor First Home Buyers

113. Kerajaan Negeri telahpun memperkenalkan Skim Smart Selangor First Home Buyers pada tahun 2016 untuk membolehkan rakyat memiliki Rumah Selangorku jenis B dan C. Melalui skim ini, Kerajaan Negeri akan mendahulukan pembayaran deposit sebanyak 10 peratus tertakluk kepada jaminan pembiayaan yang diperolehi oleh pembeli melalui bank atau institusi kewangan yang lain. Pendahuluan ini adalah dalam bentuk pinjaman tanpa faedah yang perlu dibayar balik dalam tempoh yang ditetapkan.

114. Tawaran ini dibuat berkuatkuasa Januari 2018 bagi pembeli-pembeli Rumah Selangorku yang dibangunkan oleh PKNS dan anak syarikat Kerajaan Negeri dengan peruntukan RM 15 juta yang bakal dinikmati hampir 1,000 pembeli khususnya di kalangan millennials.

Program SMART LIFE

115. Kerajaan Negeri prihatin dengan keadaan lif-lif di pangsapuri kos rendah. Kerajaan Negeri juga bersimpati dengan pemilik dan penghuni pangsapuri kos rendah yang tidak mampu untuk membiayai penyelenggaraan lif-lif yang usang dan sering mengalami kerosakan sehingga menimbulkan kesusahan bagi penduduk di pangsapuri.

116. Kerja-kerja penyelenggaraan lif amat membebankan JMB atau MC memandangkan kos penyelenggaraan satu unit lif mencecah kos RM 650 setiap bulan.

117. Ini bermakna, penduduk terpaksa menanggung sehingga RM 7,800 setahun untuk menyelenggara 1 unit lif. Bayangkan sekiranya setiap blok mempunyai 2 atau 3 unit lif, maka kos penyelenggaraan akan mencecah hampir RM 25,000 setahun bagi 1 blok.

118. Untuk maksud berkenaan, mulai tahun ini, Kerajaan Negeri telah melaksanakan SMART LIFE dengan memberi bantuan khas berjumlah RM 30 juta untuk menggantikan lif-lif lama (modernization) secara percuma tanpa perkongsian kos dengan penduduk.

119. Lembaga Perumahan & Hartanah Selangor (LPHS) telah menggantikan 118 unit lif baru bagi 59 blok pangsapuri kos rendah dengan peruntukan sebanyak RM 29.3 juta untuk mensejahterakan 87,000 penduduk di 17,000 unit kediaman. Bagi tahun 2018, sejumlah RM 12 juta disediakan untuk Smart LIFE.

120. Sebanyak RM 1 juta disalurkan sebagai bantuan bayaran fi firma kompeten lif bagi menyelenggara 90 unit lif (kontrak komprehensif) di 45 blok pangsapuri kos rendah. Peruntukan ini diteruskan untuk tahun 2018. Usaha ini telah memberi manfaat kepada 31,200 petak kediaman yang melibatkan lebih 69,000 penduduk.

Skim CERIA

121. Skim CERIA merupakan bantuan baikpulih kerosakan harta bersama pangsapuri kos rendah dan sederhana melalui perkongsian kos antara Kerajaan Negeri dan penduduk di mana penduduk kos rendah perlu menyumbang 20 peratus dan penduduk pangsapuri kos sederhana diminta menyumbang 40 peratus.

122. Sejak dilaksanakan pada Disember 2010 sehingga Ogos 2017, sejumlah 281 kawasan dengan 843 blok pangsapuri yang meliputi 168,600 unit petak kediaman dan melibatkan 843,000 penduduk di pangsapuri berkenaan telah menerima manfaat Skim CERIA dengan kos keseluruhan berjumlah RM 92.2 juta. Antara kerja-kerja sivil yang dijalankan adalah membaikpulih bumbung, tangki air, sistem paip retikulasi, sistem pembentung, mengecat dan menaiktaraf lif.

123. Untuk tahun 2018, Skim CERIA diperuntukkan sebanyak RM 13 juta dan akan menumpukan kerja-kerja sivil sahaja manakala pembaikan dan penggantian lif akan dipindahkan kepada Skim SMART LIFE yang menikmati peruntukan tambahan sebanyak RM 12 juta.

124. Atas rasa kasih dan peduli rakyat, sukacita saya mengumumkan bahawa mulai 2018, syarat perkongsian kos oleh penduduk dilupuskan serta merta di mana penduduk pangsapuri kos rendah dan sederhana tidak lagi perlu menyumbang. Kerajaan Negeri bersedia menanggung RM 8.7 juta untuk melupuskan tunggakan yang sepatutnya dibayar oleh penduduk semenjak tahun 2011.

125. Untuk tahun 2018, Kerajaan Negeri mencadangkan sejumlah RM 20 juta diperuntukkan untuk mengecat 46 kawasan dengan 138 blok pangsapuri kos rendah. Skim bantuan ini merupakan insentif Kerajaan Negeri menghargai JMB atau MC dan komuniti yang bekerja kuat untuk membangunkan pangsapuri masing-masing sebagai model pangsapuri terbaik di Negeri Selangor.

Perumahan Generasi Kedua FELDA

126. Kerajaan Negeri amat prihatin dengan masa depan peneroka FELDA yang berulang kali dieksploitasi oleh sang penguasa. Ketidaktentuan masa depan peneroka FELDA memberi kesan kepada anak-anak dan cucu-cicit mereka.

127. Maka, Kerajaan Negeri tampil untuk membantu generasi kedua FELDA untuk memiliki rumah yang selesa dan affordable berhampiran dengan keluarga mereka.

128. Sukacita saya mengumumkan bahawa PKNS akan membangunkan 136 unit rumah berkembar setingkat dengan keluasan 850 kaki persegi di atas tapak seluas 17 ekar berhampiran Felda Sungai Tengi Selatan untuk tujuan perumahan generasi kedua FELDA. Kerja-kerja tanah telahpun dimulakan dan kerja-kerja pembinaan akan bermula pada akhir bulan ini.

Skim Kesihatan Bersepadu

129. Laporan Penyiasatan Perbelanjaan Isi Rumah 2016 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati hanya 1.9 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan isi rumah digunakan untuk tujuan kesihatan.

130. Ketidakseimbangan dalam perbelanjaan isi rumah adalah kerana kegagalan Putrajaya menyediakan khidmat penjagaan kesihatan yang mencukupi khususnya di kalangan B40. Atas pertimbangan moral dan tanggungjawab sosial, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif untuk memperkenalkan beberapa skim bagi meringankan bebanan rakyat.

131. Bermula dengan program Dialisis Selangor, Bantuan Sihat Selangor, Saringan Sihat Selangor dan MammoSel, kini Kerajaan Negeri sedang rancak melaksanakan Skim Peduli Sihat sebagai satu skim perlindungan rawatan kesihatan asas yang mendapat pengiktirafan Persatuan Perubatan Malaysia.

132. Berdasarkan keperluan mendesak untuk mendapat akses kepada penjagaan kesihatan, Kerajaan Negeri ingin mencadangkan satu skim penjagaan kesihatan yang bersepadu (integrated healthcare scheme) untuk memperluaskan skop perkhidmatan kesihatan. Antara penjagaan kesihatan yang dicadangkan adalah penjagaan kesihatan asas Peduli Sihat, rawatan jantung, suntikan vaksin pneumokokal, penjagaan kesihatan mental, perkhidmatan penjagaan paliatif bagi pesakit kanser serta insuran kesihatan untuk penjawat awam dan pesawah.

133. Untuk maksud ini, Kerajaan Negeri bercadang sejumlah RM 44.1 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Skim Kesihatan Bersepadu.

Skim Peduli Sihat

134. Skim Peduli Sihat mendapat sambutan gemuruh dan menyentuh hati rakyat berpendapatan rendah yang memerlukan rawatan kesihatan asas. Sehingga 31 Oktober 2017, sebanyak 149,382 kad telah dikeluarkan untuk memberi manfaat kepada hampir 600,000 orang.

135. Tidak dapat diragukan, Skim Peduli Sihat adalah terunggul di Malaysia dan hanya di Negeri Selangor.

136. Bagi tahun 2018, Kerajaan Negeri bertekad untuk meneruskan pelaksanaan Skim Peduli Sihat dengan peruntukan RM 20 juta dan pemegang kad adalah layak secara automatik mendapat perkhidmatan rawatan kesihatan asas secara percuma.

Suntikan Vaksin Pneumokokal

137. Pneumokokal merupakan penyakit yang disebabkan oleh jangkitan bakteria yang begitu merbahaya di kalangan kanak-kanak dan orang tua. Mangsa jangkitan akan terdedah kepada pelbagai jenis jangkitan termasuk radang paru-paru, meningitis, sepsis, sinusitis dan otitis media yang kesannya boleh membawa kepada kematian.

138. Pneumokokal boleh dicegah melalui suntikan pelalian. Namun, kos bagi mendapatkan satu dos suntikan vaksin pneumokokal adalah begitu tinggi.

139. Sebagai tanda keprihatinan kesihatan rakyat, Kerajaan Negeri dengan ini mencadangkan peruntukan one-off sebanyak RM 180 kepada semua pemegang Kad Peduli Sihat untuk mendapatkan suntikan vaksin pneumokokal.

140. Suntikan boleh didapati di semua klinik yang mengambil bahagian dalam Skim Peduli Sihat dan jumlah RM 180 yang digunakan untuk suntikan ini tidak akan ditolak daripada kelayakan Peduli Sihat. Ini bermakna kelayakan bagi pemegang Kad Peduli Sihat dinaikkan daripada RM 500 kepada RM 700 bagi tahun 2018.

Rawatan Jantung Untuk Rakyat

141. Selepas menyediakan rawatan kesihatan asas, Kerajaan Negeri kini mengorak langkah meningkatkan akses rakyat untuk mendapatkan rawatan pakar yang affordable. Hasrat ini telah diterjemahkan dalam bentuk kerjasama strategik antara Institut Jantung Negara (IJN) dan Selgate Corporation yang dimeterai pada 31 Oktober 2017 untuk membina medical city di Seksyen 13, Shah Alam yang antara lain menyediakan khidmat pakar rawatan jantung.

142. Menyedari hakikat cardiovascular disease (CVD) merupakan pembunuh nombor satu negara, Kerajaan Negeri memulakan langkah proaktif untuk bekerjasama dengan IJN bagi memberikan khidmat rawatan jantung secara percuma kepada golongan berpendapatan rendah mulai tahun 2018.

143. Untuk maksud ini, Kerajaan Negeri dan PKNS akan menyediakan peruntukan RM 10 juta untuk membiayai 500 pesakit jantung di kalangan rakyat Selangor.

Perkhidmatan Penjagaan Paliatif Penyakit Kanser

144. Mengikut Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan 2007-2011, penyakit kanser merupakan pembunuh nombor tiga dalam negara. Pesakit kanser bukan sahaja terpaksa menanggung kos rawatan yang tinggi tetapi juga memerlukan perkhidmatan perunding yang terlatih untuk memberikan tumpuan dari segi psikologi, rohani dan sosial.

145. Penjagaan paliatif merupakan satu perkhidmatan yang menumpukan peningkatan kualiti hidup di kalangan pesakit. Sebagai rasa simpati untuk pesakit kanser dan keluarga, Kerajaan Negeri akan memberikan bantuan kewangan kepada pusat yang menyediakan perkhidmatan penjagaan paliatif. Untuk permulaan, sejumlah RM 3 juta akan disediakan bagi tahun 2018.

Menangani Kesihatan Mental

146. Masalah kesihatan mental dalam masyarakat semakin membimbangkan. Impak masalah kesihatan mental seperti kemurungan, kesedihan, ketagihan alkohol dan penyalahgunaan dadah perlu ditangani secara berkesan dan komprehensif kerana ia menyumbang kepada tindakan yang lebih serius termasuk bunuh diri.

147. Pada tahun 2016, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan mendedahkan hampir 30 peratus rakyat Malaysia mengalami masalah kesihatan mental. Menurut statistik PDRM, sebanyak 122 kes jenayah bunuh diri telah berlaku di Negeri Selangor pada tahun 2016.

148. Punca bunuh diri berdasarkan kes yang disiasat adalah disebabkan oleh pelbagai faktor seperti tekanan perasaan dan jiwa, kemurungan, masalah keluarga, masalah kewangan, kecewa dalam percintaan dan sebagainya.

149. Kerajaan Negeri menghargai sumbangan NGO dan pelbagai pertubuhan seperti Malaysian Mental Health Association, Befrienders dan Relate Malaysia yang mengambil inisiatif untuk memupuk kesedaran dan mendidik masyarakat mengenai masalah kesihatan mental melalui kaunseling dan wacana pendidikan.

150. Belanjawan 2018 akan memperuntukkan sejumlah RM 1 juta sebagai usaha Kerajaan Negeri menyokong program pertubuhan dan lembaga swadaya masyarakat bagi menyediakan perkhidmatan kaunseling untuk membantu pasangan muda, keluarga dan individu yang menghadapi tekanan emosi dan kemurungan.

151. Mesej Kerajaan Negeri kepada pesakit mental adalah anda tidak bersendirian. Seperti lirik Michael Jackson, “You are not alone, I’m here with you.” Jika anda ingin meluahkan perasaan anda, Kerajaan Negeri sentiasa sedia mendengar dan memberi sokongan emosi. Kerajaan Negeri mengambil peduli di saat paling gelap dalam hidup anda.

Skim Insurans Pesawah

152. Pesawah dihimpit dengan tekanan impot padi dari negara asing. Hasil padi tidak menentu, terkadang kala diganggu cuaca atau penyakit. Namun, pesawah padi tetap membanting tulang, membasahi tubuh dengan keringat menyumbang kepada food security negara. Itulah perjuangan hidup seorang pesawah.

153. Menghargai sumbangan dan perjuangan mereka, Kerajaan Negeri bercadang untuk memperkenalkan Skim Insurans Pesawah secara percuma kepada seramai 10,000 pesawah.

154. Melalui skim ini, wira sawah akan menerima manfaat perubatan, perlindungan akibat hilang upaya kekal atau menyeluruh dan juga infaq kematian. Sebanyak RM 3 juta akan diperuntukkan untuk tujuan ini bagi melindungi pesawah

Program Panel Dialisis Sihat Selangor

155. Pada tahun 2018, Kerajaan Negeri bercadang untuk memperluaskan lagi program Panel Dialisis Sihat Selangor supaya lebih ramai pesakit buah pinggang dapat dibantu. Untuk maksud ini, peruntukan untuk program dialisis dinaikkan dari RM 3 juta kepada RM 5 juta.

Pemeriksaan Mammogram (MammoSel)

156. Program MammoSel secara percuma akan menikmati kenaikan peruntukan daripada RM 1 juta kepada RM 2 juta bagi tahun 2018.

Pemberdayaan Wanita

157. Kerajaan Negeri mengiktiraf peranan wanita dalam semua aspek untuk memajukan masyarakat. Untuk maksud ini, Kerajaan Negeri akan terus membantu bagi merealisasikan potensi wanita menyumbang kepada pembangunan negeri dan sosio ekonomi. Bagi tahun 2018, Kerajaan Negeri ingin mencadangkan sejumlah RM 7.8 juta untuk Institut Wanita Berdaya (IWB), Pusat Wanita Berdaya (PWB), program pembangunan institusi keluarga dan Skim Kesihatan Wanita.

Institut Wanita Berdaya & Pusat Wanita Berdaya

158. IWB telah berjaya menggubal Dasar Wanita Selangor yang bersifat inovatif demi memberdaya penyertaan wanita dalam ekonomi sebagai tenaga kerja mahir, usahawan dan pakar teknologi serta melahirkan wanita Selangor yang berdaya untuk membangun sebuah masyarakat yang maju dan progresif. Kerajaan Negeri akan meneruskan sokongan kepada IWB dengan peruntukan tambahan sebanyak RM 3 juta bagi tahun 2018.

159. Kerajaan Negeri mengakui kejayaan PWB menyuntik dinamisme dalam masyarakat melalui program pemberdayaan ekonomi dan program bersifat advokasi.

160. Maka, peruntukan untuk setiap PWB akan ditingkatkan daripada RM 30 ribu setahun kepada RM 50 ribu setahun. Ini menjadikan peruntukan PWB bagi tahun 2018 meningkat kepada RM 2.8 juta.

Pembangunan Usahawan

161. Di bawah program pembangunan usahawan, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM 8.35 juta bagi tahun 2018 yang menyaksikan kenaikan sebanyak RM 3.85 juta berbanding tahun 2017.

162. Antara program pembangunan usahawan adalah Dana Usahawan Mikro Selangor untuk membantu pengusaha IKS yang merupakan nadi penggerak ekonomi negeri untuk mengembangkan perniagaan usahawan mikro.

Dana Usahawan Mikro Selangor

163. Melalui peruntukan di atas, Kerajaan Negeri akan menyalurkan RM 2.25 juta kepada 9 daerah untuk Dana Usahawan Mikro. Pada tahun ini, seramai 128 usahawan mikro telah berjaya menerima dana ini untuk pembelian peralatan, menaiktaraf premis sedia ada atau lain-lain keperluan untuk memberi nilai tambah dan melonjakkan pembangunan usahawan mikro.

164. Selain daripada itu, program pembangunan usahawan juga akan menyediakan peruntukan berjumlah RM 1.8 juta untuk promosi.

Program Usahawan India Selangor

165. Program Usahawan India Selangor adalah bertujuan untuk membangunkan upaya golongan B40 dikalangan masyarakat India melalui latihan kemahiran keusahawanan dalam pelbagai bidang seperti digital marketing, graphic design, e-commerce, kemahiran menjahit, bakeri, fotografi dan rekabentuk bunga. Program ini yang berkonsepkan public-public partnership iaitu di antara Kerajaan Negeri dan NGOs telah berjaya dilaksanakan pada tahun ini dengan penyertaan seramai 470 usahawan India.

166. Saya sendiri bertemu dengan peserta program keusahawan ini dan terpegun dengan kejayaan yang telah dicapai untuk meningkatkan kemahiran keusahawanan yang menyumbang kepada peningkatan sosio-ekonomi mereka.

167. Menjadi tanggungjawab saya mendakap masyarakat India untuk maju bersama. Pada tahun 2018, peruntukan untuk Program Usahawan India Selangor dinaikkan sebanyak 3 kali ganda daripada RM 1 juta kepada RM 3 juta.

168. Peserta program ini diberikan peluang untuk mendapat pembiayaan mikrokredit daripada Yayasan HIJRAH setelah tamat menjalani latihan di bawah program pembangunan upaya usahawan.

Mereformasi Perkhidmatan PBT

169. Peranan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam sebuah negeri maju bertambah penting dan mencabar. Kerajaan Negeri mahu mereformasikan Kerajaan Tempatan termasuk penyertaan masyarakat setempat melalui aktiviti kesukarelawan dan memanfaatkan penyebaran maklumat melalui media sosial memandangkan capaian internet di Negeri Selangor sudah mencapai tahap 79 peratus.

170. PBT disaran untuk menggunakan IoT dan M-ICT yang merangkumi dimensi pelbagai untuk meningkatkan kecekapan sistem penyampaian Kerajaan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

171. Trend menjelang 2020 menunjukkan bahawa lebih 50 peratus rakyat akan bergerak ke bandar dan want to be connected. Rakyat juga mahu real time information.

172. PBT perlu mengambil pendekatan ‘people centric’ dalam perancangan pembangunan setempat dengan melaksanakan participatory budgeting process yang memberi ruang kepada penglibatan langsung masyarakat untuk merencana program dan projek yang perlu dilaksanakan. Penglibatan masyarakat dalam proses ini akan memberdaya rakyat untuk terlibat dalam pembangunan di peringkat Kerajaan Tempatan. Kerajaan Negeri mencadangkan agar sekurang-kurangnya 10 peratus daripada keseluruhan Belanjawan Pembangunan PBT digunakan untuk tujuan ini.

173. Kerajaan Negeri juga memberi perhatian serius terhadap kemudahan asas dan awam di semua PBT yang boleh menyumbang kepada kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat. Pada tahun 2018, Kerajaan Negeri sekali lagi memperuntukkan sejumlah RM 20 juta untuk PBT melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan kemudahan awam dengan memberi tumpuan kepada pembangunan taman rekreasi dan green lungs untuk memenuhi aspirasi rakyat yang mahu pembangunan bukan sahaja bersifat bangunan fizikal tetapi juga pembangunan taman rekreasi dan taman dalam bandar serta kawasan riadah.

174. Oleh itu, semua PBT diminta untuk mengenalpasti kawasan yang bersesuaian bagi membangunkan urban green lungs untuk meningkatkan liveability dan kawasan riadah untuk masa berkualiti bersama keluarga. Usaha ini akan melahirkan masyarakat yang kukuh institusi keluarga dan membina rakyat yang sihat dan cergas.

175. PBT juga perlu meneruskan kerja-kerja menaiktaraf medan selera, tandas awam dan pasar awam. PBT perlu memberikan perhatian serius kepada usaha penambahbaikan kemudahan asas termasuk jalan, saliran dan jambatan.

176. Sebagai usaha tambahan, Kerajaan Negeri mencadangkan supaya semua PBT memperuntukkan sekurang-kurangnya 20 peratus daripada keseluruhan rezab tunai bersih untuk mempertingkatkan kemudahan-kemudahan asas dan awam yang lain seperti :

a. Menambah bilangan petak kereta untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) serta kemudahan-kemudahan lain yang mesra OKU seperti handrail, ramp, laluan pejalan kaki khas ‘tactile’ ;

b. Menambah baik kemudahan first mile and last mile sistem pengangkutan awam termasuk connectivity ;

c. Memasang CCTV di kawasan-kawasan hotspot sebagai usaha untuk memantau dan menjamin keselamatan rakyat ;

d. Menaiktaraf kemudahan medan selera dengan konsep moden yang menjamin kebersihan ;

e. Kemudahan laluan berbumbung untuk pejalan kaki (susur gajah) ;

f. Membaiki peralatan dan kemudahan di padang permainan kanak-kanak.

177. Seterusnya, Kerajaan Negeri juga mencadangkan supaya setiap PBT menggunakan simpanan dalam tabung amanah di bawah seliaan masing-masing (seperti Tabung Amanah Caj Pemajuan dan Tabung Amanah Infrastructure Service Fund) untuk tujuan kepentingan awam.

Infrastruktur Desa

178. Kerajaan Negeri tuntas untuk memperkasa pembangunan ekonomi nelayan, petani dan penternak, membasmi kemiskinan luar bandar, membangunkan ekonomi kampung tradisi dan menyediakan infrastruktur yang terbaik untuk masyarakat desa. Untuk maksud ini, saya ingin mencadangkan sejumlah RM 48.95 juta bagi tahun 2018.

179. Dalam tahun 2017, sebanyak 402 buah projek luar bandar telah dilaksanakan dengan menelan belanja sebanyak RM 22.5 juta untuk membaikpulih jalan dan menaiktaraf balai raya.

180. Kerajaan Negeri telah melaksanakan program pencerapan jalan-jalan kampung sejauh 2,874 kilometer bagi tujuan menaiktaraf melalui peruntukan MARRIS.

181. Namun, Kerajaan Negeri juga sedia maklum bahawa masih ada jalan-jalan kampung yang memerlukan kerja-kerja menaiktaraf. Maka, bagi tahun 2018, sejumlah RM 20 juta disediakan untuk menaiktaraf kemudahan awam desa seperti balai raya, dewan orang ramai, jambatan kampung, sistem perparitan dan menaiktaraf jalan-jalan kampung. Pegawai Daerah digesa untuk memberi perhatian kepada kerja-kerja menaiktaraf jalan ladang dan jalan-jalan kebun.

182. Kerajaan Negeri memandang serius jurang yang semakin melebar di antara pembangunan di bandar dengan kampung-kampung yang terletak di bandar dan dihimpit oleh pembangunan di sekitarnya. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan melaksanakan Pelan Tindakan Khas (PTK) yang bertujuan untuk menstrukturkan semula 26 buah kampung dalam bandar.

183. Saya ingin mencadangkan sejumlah RM 5 juta untuk pembangunan Kampung Baru, Kampung Bagan dan Kampung Tersusun bagi tahun 2018. Sehingga September 2017, sebanyak 72 projek dan program dengan jumlah perbelanjaan bernilai RM 4.4 juta telah dilaksanakan.

Mempertingkat Keberkesanan Sistem Pengangkutan Awam

184. Kerajaan Negeri menggalakkan penggunaan pengangkutan awam yang murah, cepat dan selesa. Usaha ini dapat mengurangkan kesesakan trafik serta membudayakan penggunaan teknologi hijau dan inisiatif rendah karbon dalam sistem pengangkutan awam.

185. Kerajaan Negeri sedar bahawa masalah first mile dan last mile telah menghalang keberkesanan sistem pengangkutan awam. Maka, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan perkhidmatan percuma Bas Smart Selangor mulai tahun 2015.

186. Sehingga 30 September 2017, Kerajaan Negeri telah membiayai kos pelaksanaan sebanyak RM 43 juta untuk menyediakan 100 unit Bas Smart Selangor yang sedang beroperasi di 30 laluan meliputi semua PBT dan memberi manfaat kepada 22.1 juta ridership dalam tempoh 3 tahun. Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pula memperuntukkan dana sejumlah RM 18.6 juta untuk menyediakan 22 buah bas termasuk Bas Elektrik di 4 laluan.

187. Usaha ini telah mendapat pengiktirafan The Malaysia Book Of Records sebagai ‘Most Number of Free Shuttle Bus Services Provided By State Government’ pada 24 September 2017 yang lalu.

188. Memandangkan inisiatif ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada rakyat, saya ingin mencadangkan sejumlah RM 30 juta diperuntukkan bagi tahun 2018 untuk meneruskan perkhidmatan ini dengan meningkatkan jumlah laluan khususnya di kawasan perumahan kos rendah dan sederhana serta kawasan-kawasan awam seperti sekolah, pasar, hospital, pusat pengajian tinggi dan kawasan industri.

189. Bagi meningkatkan inisiatif perbandaran untuk membudayakan gaya hidup sihat di kalangan rakyat, Kerajaan Negeri menggesa PBT untuk menyediakan laluan berbasikal sejauh 15 kilometer untuk Majlis Bandaraya dan Perbandaran serta 10 kilometer untuk Majlis Daerah dan memperluaskan perkhidmatan berbasikal yang boleh disewa.

Alam Sekitar

190. Kerajaan Negeri senantiasa peka terhadap kelestarian alam sekitar. Antara aktiviti yang dijalankan adalah menanam pokok untuk mengimbangi pelepasan karbon melalui penghasilan oksigen. Penanaman pokok penting dalam ekosistem semula jadi yang menjamin persekitaran hijau yang sihat dan pembangunan yang mampan.

191. Sebanyak 22,400 batang pokok akan ditanam di seluruh Negeri Selangor pada tahun ini bagi memulihara alam sekitar.

192. Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM 2.5 juta bagi meneruskan usaha ke arah mempertingkatkan kelestarian biodiversiti melalui program kesedaran seperti pengindahan pantai, pemuliharaan hidupan liar dan penanaman pokok.

193. Kerajaan Negeri telah menggalakkan pegawai-pegawai di PBT untuk mendalami pengetahuan mengenai penyelenggaraan pokok dan memiliki sijil arborist. Pada tahun ini, Puan Ruhaila Binti Abdul Rahman, seorang pegawai dari Majlis Perbandaran Sepang telah lulus dalam peperiksaan Sijil Arborist Malaysia. Tahniah.

194. Penyertaan Selangor dalam inisiatif The Queen’s Commonwealth Canopy (QCC) memberi peluang untuk berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam usaha berkaitan pemeliharaan dan pemuliharaan sumber hutan termasuk pengurusan hutan secara berkekalan.

195. Hutan Simpan Raja Musa telah diterima secara sah dan diakreditasikan secara rasmi pada 13 September 2017 oleh Sekretariat QCC. Hutan Simpan Raja Musa juga mendapat pengiktirafan badan antarabangsa apabila satu acara berprestij iaitu Queen’s Baton Relay (QBR) yang merupakan acara simbolik persinggahan baton atau obor sempena Sukan Komanwel 2018 Gold Coast, Australia telah berlangsung dengan jayanya pada 18 Oktober 2017.

Teknologi Hijau

196. Program teknologi hijau perlu mendapat perhatian dan tindakan dari sektor awam dan swasta. Pada hari ini, terdapat 109 unit pengecas kenderaan elektrik di 88 lokasi di seluruh Negeri Selangor. Sebanyak 33 program berteraskan teknologi hijau dengan peruntukan sebanyak RM 1.37 juta telah dilaksanakan melibatkan pemasangan bumbung solar di bangunan, pemasangan Sistem Pengumpulan Air Hujan dan penyediaan laluan basikal bagi menjayakan inisiatif rendah karbon.

197. Pada tahun 2018, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM 2 juta bagi meneruskan aktiviti di bawah Pelan Tindakan Teknologi Hijau Negeri Selangor 2016-2018.

Program Pencegahan Dan Kawalan Denggi

198. Kerajaan Negeri amat komited dalam menangani ancaman jangkitan virus denggi di Negeri Selangor. Pelbagai usaha dan aktiviti kawalan dan pencegahan di lokaliti yang dikenalpasti sebagai kawasan hotspot telah dijalankan.

199. Inisiatif ini telah menunjukkan hasil yang begitu positif dengan kadar penurunan ketara kes demam denggi sebanyak 11 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Justeru itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM 5 juta untuk program pencegahan dan kawalan denggi pada tahun 2018.

200. Sebagai sebuah negeri pintar, Selangor tidak sekadar mengambil pendekatan tindak balas tetapi akan menggunakan predictive analytics untuk meramal serangan denggi dan mengambil tindakan preemptive untuk menangani serangan aedes.

STRATEGI KETIGA: Memperkasa Kualiti Pendidikan dan Kemahiran Berinovasi

201. Dalam sektor pendidikan, Kerajaan Negeri mencadangkan sejumlah Ringgit Malaysia Satu Ratus Lapan Puluh Satu Juta, Sembilan Ratus Tujuh Puluh Lima Ribu, Dua Puluh (RM 181,975,020) diperuntukkan bagi pelaksanaan pengukuhan pendidikan pada tahun 2018.

Pendidikan

202. Pendidikan merupakan tulang belakang kepada negara dan ekonomi yang sedang membangun. Sumber daya manusia adalah antara aset yang terpenting bagi sesebuah negara. Usaha ini tidak boleh dicapai tanpa sistem pendidikan asas yang kukuh kepada akses pendidikan untuk semua rakyat.

203. Memandangkan pendidikan bermula daripada usia yang muda, tahap pra-sekolah dan pendidikan rendah mesti menjadi keutamaan. Pada masa yang sama, fokus yang sama penting perlu diberikan kepada pendidikan menengah untuk menjamin semua rakyat mendapat peluang pendidikan di peringkat lebih tinggi.

204. Selangor mesti bersedia dengan sumber daya manusia yang berkemahiran untuk memajukan negeri dalam bidang berteknologi tinggi, industri berimpak tinggi dan knowledge economy.

Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Iktisas Smart Selangor (IKTISASS)

205. Pada tahun 2017, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM 28.5 juta untuk pendidikan tinggi. Memandangkan sektor pendidikan tinggi merupakan teras pembangunan negeri, pada tahun 2018, Kerajaan Negeri akan meningkatkan peruntukan kepada RM 101.73 juta.

206. Sebahagian besar daripada peruntukan ini adalah untuk menjayakan TVET. Untuk mencapai matlamat ini, Kerajaan Negeri akan melaksanakan satu program perdana yang dikenali sebagai Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Iktisas Smart Selangor yakni IKTISASS dengan peruntukan RM 52 juta yang mewakili 51.1 peratus daripada peruntukan untuk pendidikan tinggi.

207. Inisiatif ini bertujuan memberi peluang kepada millennials menggarap latihan kemahiran bagi menjamin kebolehpasaran dengan pendapatan yang tinggi dan meningkatkan rantaian nilai modal insan.

208. Menyedari Selangor hari ini bergerak maju ke arah regional smart state, kita perlu memberi perhatian yang serius terhadap jurang antara keluaran institusi pendidikan – SPM, Diploma dan Ijazah – dengan keperluan sumber manusia negeri dan industri.

209. Sekian lama perkara ini gagal ditangani secara holistik sehingga situasi defisit kemahiran menyumbang kepada peningkatan pengangguran di kalangan anak muda iaitu 3 kali ganda berbanding kadar purata pengangguran nasional.

210. Untuk menangani masalah ini, apa yang diperlukan adalah anjakan paradigma dalam kaedah pedagogi, kurikulum dan memberi penekanan yang lebih kukuh terhadap kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) untuk membangun kemahiran yang diperlukan dalam semua peringkat. Ini termasuk kemahiran yang diperlukan untuk highly automated processes and highly skilled labour.

211. Dengan kemunculan sektor aeroangkasa dan bioteknologi serta permintaan SME yang meningkat, maka institusi pendidikan perlu merangka paradigma pembangunan bakat yang berteraskan demand driven talent building paradigm untuk memenuhi keperluan negeri dan industri.

212. Sebagai langkah awal pada tahun 2018, Kerajaan Negeri akan membiayai sepenuhnya 2,000 anak muda Selangor sebagai perintis program IKTISASS. Program ini akan dilaksanakan dengan kepakaran Selangor Human Resource Development Centre (SHRDC), Strand Aerospace Malaysia dan SST & Consultancy Academy.

Youth Enhancement Strategic Selangor (YES)

213. Program Pembangunan Bakat yang dimulakan tahun lalu dengan kerjasama SHRDC berjaya membina generasi muda yang kompeten dalam bidang teknikal dan vokasional bagi memenuhi keperluan industri.

214. Program ini dijenamakan sebagai Youth Enhancement Strategic Selangor (YES) yang merangkumi belia lepasan SPM, pelajar UNISEL yang berminat untuk menyertai Internship for High Impact Talent (i-HIT) dan #SMART Technical Workforce. Program YES akan diperuntukkan sebanyak RM 2.5 juta bagi tahun 2018.

Program Kemahiran Teknikal

215. Kerajaan Negeri bercadang untuk meningkatkan pembiayaan biasiswa bagi pelajar-pelajar yang sedang dan akan mengikuti Program Kemahiran Teknikal di INPENS International College. Bagi tahun 2018, sejumlah RM 5 juta diperuntukkan berbanding RM 4 juta pada tahun ini.

216. Pada tahun 2018, Kerajaan Negeri akan membantu pembangunan infrastruktur Kolej INPENS dan pembangunan modul dengan peruntukan sebanyak RM 4.4 juta.

UNISEL & KUIS

217. Bagi meneruskan usaha menjadikan Universiti Selangor (UNISEL) sebagai pusat kecemerlangan ilmu, Kerajaan Negeri mencadangkan pemberian geran sebanyak RM 20 juta untuk tahun 2018 sebagai tambahan kepada RM 44 juta yang telah disalurkan pada tahun 2017. Saya yakin UNISEL akan terus memimpin kecemerlangan ilmu.

218. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri juga akan memperuntukkan sejumlah RM 3.32 juta untuk program Dermasiswa UNISEL bagi membiayai pengajian Asasi sebelum menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.

219. RM 2 juta lagi adalah untuk Program Smart Tahfiz UNISEL yang bertujuan melengkapkan pelajar-pelajar tahfiz dengan peperiksaan SPM.

220. Usaha memperkasakan institusi pendidikan tinggi tidak pernah dikesampingkan. UNISEL dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) akan terus disokong untuk menjamin institusi pendidikan ini berdaya saing.

221. Kerajaan Negeri telah meluluskan pinjaman mudah sebanyak RM 48.5 juta yang meliputi RM 27.2 juta untuk pembinaan bangunan akademik baru KUIS dan menaiktaraf perpustakaan Imam al-Syafie.

Selangor Business School

222. Dengan penubuhan Selangor Business School (SBS) pada tahun 2017, SBS akan menjadi game changer dalam kursus sarjana dan ijazah kedoktoran dalam bidang perniagaan. Cita-cita Kerajaan Negeri adalah untuk membangunkan SBS sebagai Business School terbaik di Malaysia dan pemain utama di rantau ini menjelang 2027.

223. Di atas keyakinan ini, Kerajaan Negeri mencadangkan sejumlah RM 10 juta diperuntukkan kepada SBS bagi tahun 2018 untuk melahirkan graduan yang cemerlang dan kompeten dalam industri dan pentadbiran awam.

Program Peduli Siswa

224. Program Peduli Siswa yang dimulakan pada tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM 10 juta telah mendapat sambutan yang cukup baik di kalangan mahasiswa.

225. Sehingga Oktober 2017, seramai 738 mahasiswa telah menerima pembiayaan dalam bentuk pinjaman boleh ubah di 4 IPTA iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

226. Dalam lawatan kerja saya untuk menyantuni pelajar-pelajar di Maghribi, Jordan dan Mesir, saya bersimpati dengan keluhan pelajar-pelajar yang umumnya daripada keluarga miskin untuk membiayai pengajian mereka.

227. Atas dasar Peduli Siswa, Kerajaan Negeri telahpun bersetuju untuk memperluaskan pembiayaan ini kepada mahasiswa di Timur Tengah yang dikenali sebagai Peduli Siswa Timur Tengah. Biasiswa ini telah memberi manfaat kepada 998 pelajar pada tahun ini dengan pembiayaan sebanyak RM 3.45 juta.

228. Bagi tahun 2018, Kerajaan Negeri kekal komited untuk meneruskan sokongan moral dan kewangan bagi mahasiswa meneruskan pengajian masing-masing. Untuk maksud ini, Kerajaan Negeri ingin mencadangkan sejumlah RM 10 juta bagi Program Peduli Siswa dan Peduli Siswa Timur Tengah.

229. Peruntukan Peduli Siswa juga merangkumi bantuan sara diri kepada anak Selangor yang melanjutkan pengajian di UNISEL, KUIS dan Kolej INPENS bagi meringankan beban sara hidup sementara menunggu kelulusan pembiayaan pendidikan.

Diploma Belia

230. Program Diploma Belia Dalam Kerja Pembangunan Eksekutif dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) akan diteruskan pada tahun 2018 dengan peruntukan sebanyak RM 300,000 dalam usaha untuk memupuk dan mengekalkan life long learning di kalangan generasi muda.

Pembangunan Modal Insan

231. Pada tahun 2018, Kerajaan Negeri akan menyediakan RM 5.6 juta bagi melaksanakan program pembangunan modal insan yang bertujuan untuk menyiapkan sumber daya manusia yang berketrampilan.

Mempelbagai Kemudahan Pendidikan

232. Program Hadiah Pengajian Institusi Pengajian Tinggi (HPIPT) adalah insentif kepada anak Selangor yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPTA atau IPTS. Sejak diperkenalkan, seramai 63,304 mahasiswa telah menerima manfaat HPIPT dengan perbelanjaan sebanyak RM 63.3 juta.

233. Pada tahun 2018, saya ingin mencadangkan siling kelayakan pendapatan isi rumah keluarga bagi program ini dinaikkan daripada RM 3,000 kepada RM 5,000 dan diteruskan dengan peruntukan RM 8 juta.

234. Kerajaan Negeri ingin memupuk budaya kesukarelawan di kalangan mahasiswa melalui aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang dapat menyerlahkan bakat dan kepimpinan mahasiswa. Untuk tujuan itu, pada tahun 2018, peruntukan program pembangunan mahasiswa ditingkatkan daripada RM 1.3 juta kepada RM 2.51 juta.

235. Pada tahun 2017, program Tuisyen Rakyat Selangor diperluaskan kepada pelajar-pelajar UPSR, PT3 dan SPM yang melibatkan 4,775 orang pelajar dengan perbelanjaan sebanyak RM 3.4 juta. Bagi tahun 2018, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM 3.9 juta untuk meneruskan program ini.

236. Kerajaan Negeri juga telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan program tuisyen atas talian (online tuition) secara percuma. Pada tahun 2017, sebanyak RM 5 juta telah diperuntukkan untuk 2,355 orang pelajar SPM. Untuk tahun 2018, program ini diteruskan dengan jumlah peruntukan RM 5 juta.

Projek Bantuan Sekolah

237. Peruntukan untuk Projek Bantuan Sekolah telah meningkat daripada RM 16 juta pada tahun 2016 kepada RM 22 juta untuk tahun 2017. Pertambahan ini adalah untuk membantu Sekolah Persendirian Cina sebanyak RM 2 juta, Sekolah Mubaligh dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan sebanyak RM 1 juta.

238. Sebagai sebuah Kerajaan Negeri yang menjamin kelangsungan dan kesuburan sosial dan budaya semua kaum di Selangor, maka saya ingin mencadangkan peningkatan peruntukan Projek Bantuan Sekolah daripada RM 22 juta kepada RM 24 juta bagi tahun 2018 di mana Sekolah Agama Rakyat dinaikkan daripada RM 9 juta kepada RM 10 juta dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dari RM 5 juta kepada RM 6 juta.

Pemberdayaan Institusi Islam

239. JAIS akan terus berperanan untuk memberdaya institusi Islam melalui pembangunan dan program yang dapat melahirkan umat yang beriman dan berilmu.

240. Sebanyak 6 projek telah siap dibina pada tahun 2017 dengan nilai keseluruhan RM 34.01 juta. Manakala, sebanyak 14 projek telah ditender pada tahun 2017 dengan nilai siling RM 200.8 juta yang melibatkan pembangunan 8 buah masjid, 4 buah Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi (MITS) dan 2 buah Sekolah Rendah Agama (SRA).

241. Antara pembangunan yang dimaksudkan adalah Masjid Kota Kemuning dan Masjid Seksyen 24, Shah Alam; Masjid Putra Heights, Subang Jaya; Masjid Taman Alam Jaya, Kuala Selangor; Masjid Kampung Melayu Rasa, Hulu Selangor; Masjid Kampung Klang Gate, Gombak dan Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak, Ampang.

242. Dua buah MITS baru yang sedang dalam pembinaan adalah MITS Bagan Lalang, Sepang dan MITS Pandan manakala 2 buah MITS lagi akan dinaiktaraf. Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan RM 34 juta untuk pembinaan blok asrama baru dan bangunan akademik MITS Istana Bandar, Jugra, Kuala Langat.

243. Dua minggu lalu, saya telah meluluskan peruntukan segera berjumlah RM 250,000 untuk kerja-kerja membaikpulih dan menaiktaraf pendawaian elektrik di MITS Istana Bandar.

244. Kerajaan Negeri akan meneruskan kerja-kerja menaiktaraf asrama dan blok akademik MITS Bagan Terap dengan kos projek sebanyak RM 6 juta.

245. Bagi tujuan pembangunan institusi kerohanian, sejumlah RM 106 juta disediakan bagi tahun 2018.

246. Antara projek yang akan diberikan keutamaan dalam tahun 2018 adalah pembinaan Masjid Bandar Teknologi Kajang yang bernilai RM 12 juta; Masjid Al-Ikhlas, Taman Bukit Belimbing, Hulu Langat bernilai RM 16 juta serta Masjid Subang Bestari dan Masjid Kota Damansara 2, Seksyen 9 masing-masing bernilai RM 17 juta dan RM 12 juta.

247. Kerajaan Negeri menghargai inisiatif anak-anak kariah di Denai Alam yang telah menyumbang kepada Tabung Wakaf Pembinaan Masjid Denai Alam mencecah RM 2 juta dan sumbangan sektor swasta bernilai RM 12 juta. Untuk melengkapkan keperluan pembinaan Masjid Denai Alam, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menyumbang kepada tabung wakaf ini sebanyak RM 5 juta.

248. Wakaf merupakan institusi penting dalam sistem sosio ekonomi Islam dan telah memainkan peranan yang penting dalam sejarah Islam. Sebagai contoh, ketika zaman Empayar Ottoman, pembiayaan untuk kesihatan, pendidikan dan perkhidmatan kebajikan dilakukan melalui sistem wakaf.

249. Institusi wakaf ditadbir oleh mutawalli dan lembaga amanah yang terikat dengan tanggungjawab moral dan perundangan untuk melindungi harta-harta wakaf termasuk harta alih, harta tidak alih yang merangkumi harta intelek, kepakaran dan perkhidmatan.

250. Memandangkan wakaf adalah amalan yang dituntut dalam Islam, ianya merupakan satu tabung amanah yang mempunyai kuasa ekonomi yang kuat untuk memajukan masyarakat ke arah pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran di samping memberikan perkhidmatan kebajikan hasil daripada kekayaan ini.

251. Justeru itu, sistem wakaf amat berkesan untuk menjamin prinsip pengagihan ekonomi yang adil dan boleh menyumbang kepada merapatkan jurang sosio ekonomi dalam masyarakat dan mengurangkan kemiskinan.

252. Kerajaan Negeri mencadangkan supaya Perbadanan Wakaf Selangor mengambil langkah yang proaktif untuk mempromosikan sistem wakaf selaras dengan tuntutan syariah dan Enakmen Wakaf (Negeri Selangor) 2015.

253. Kerajaan Negeri juga menggalakkan anggota perkhidmatan awam, sektor swasta dan umat Islam di Negeri Selangor untuk mendukung sistem wakaf melalui sumbangan dana wakaf kepada tabung-tabung wakaf yang diwujudkan oleh Perbadanan Wakaf Selangor untuk pembangunan ekonomi termasuk pembinaan institusi Islam dan institusi pengajian Islam.
254. Tragedi kebakaran yang mengorbankan 23 orang huffaz dan murabbi di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Dato’ Keramat, Kuala Lumpur menuntut semua pihak termasuk pengurusan maahad tahfiz supaya menggalas tanggungjawab dan bukannya melepaskan kepada takdir.

255. Ciri-ciri keselamatan wajib diberikan perhatian oleh pengurusan maahad tahfiz dengan mematuhi semua kehendak keselamatan di samping menyediakan kurikulum yang holistik.

256. Semenjak 2 tahun yang lalu, menyedari kepentingan keselamatan pelajar dan guru, Kerajaan Negeri telahpun memperuntukkan sejumlah RM 3.6 juta untuk membaikpulih 44 maahad tahfiz persendirian.

257. Bagi meneruskan usaha ini, saya mencadangkan sejumlah RM 2 juta bagi tahun 2018 untuk membaikpulih dan menaiktaraf maahad tahfiz persendirian yang kini menempatkan 17,440 murid di 262 buah maahad tahfiz persendirian yang berdaftar dengan JAIS sehingga Oktober 2017.

258. Keutamaan akan diberikan kepada maahad tahfiz yang berisiko tinggi dari aspek keselamatan. Sementara itu, 127 maahad tahfiz persendirian yang menempatkan 2,862 orang murid dan masih belum berdaftar dengan JAIS perlu segera berbuat demikian sebelum 15 Disember 2017. Kegagalan menepati dan memenuhi syarat penubuhan dan pendaftaran yang ditetapkan akan menghadapi risiko notis henti operasi.

259. Kerajaan Negeri perlu menjamin nilai-nilai moral, kerohanian dan etika disemai dalam proses pendidikan. Saya mesti menegaskan bahawa pendidikan perlu melahirkan rakyat yang memiliki integriti moral dan intelektual, beradab dan berbudaya, inklusif serta menyumbang kepada pembangunan negeri dan masyarakat.

260. Usaha pemberdayaan pengajian dan pendidikan agama Islam perlu dibina secara holistik supaya generasi muda memiliki keseimbangan antara pendidikan arus perdana dan pendidikan berteraskan agama.

261. Dalam mencapai matlamat ini, institusi agama mesti menyediakan kurikulum yang relevan dan menjamin masa depan anak-anak ini untuk memiliki kemahiran dan ilmu bagi kerjaya yang mempunyai daya saing dalam pasaran pekerjaan.

262. Anak-anak muda huffaz juga berhak mendapat pendidikan yang holistik seperti pengajian bahasa, sains, matematik, teknologi dan kemahiran hidup untuk menjamin masa depan.

263. Saya menggesa JAIS untuk menyemak semula dasar pendidikan institusi Islam khususnya maahad tahfiz persendirian yang semakin bercambah tanpa kawalan.

264. Saya amat bimbang dengan keadaan semasa di mana hampir keseluruhan 17,440 anak-anak kita yang sedang mengaji di maahad tahfiz persendirian tidak dilengkapkan dengan peluang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

265. Sehubungan dengan itu, saya telah mencadangkan supaya UNISEL dan KUIS memperluaskan Program Smart Tahfiz dan Program Bimbingan Huffaz (B-Faz) yang bertujuan untuk menyediakan pelajar-pelajar tahfiz mengikuti kurikulum bagi menduduki peperiksaan SPM. Program ini akan membolehkan graduan-graduan tahfiz menyambung pendidikan mereka dalam arus perdana pendidikan negara.

266. Sebelum ini, Kerajaan Negeri pernah memberikan sumbangan ‘Kasih Ramadhan’ sempena Program Menyemarak Ramadhan kepada Nazir Masjid dan Pengerusi Surau seluruh Negeri Selangor dengan masing-masing menerima RM 500 dan RM 300.

267. Pada tahun 2018, saya mencadangkan supaya pengorbanan dan khidmat Nazir Masjid dan Pengerusi Surau diiktiraf dengan memberikan insentif yakni masing-masing sebanyak RM 500 dan RM 300. Program ini akan diperluaskan lagi untuk menyantuni warga siak yang bangun pada dini hari sebelum ayam berkokok, sehinggalah jemaah selesai solat Isya’ di samping bekerja kuat menjaga kebersihan dan keselamatan masjid dan surau. Pada tahun 2018, siak akan menerima RM 300.

STRATEGI KEEMPAT : Merayakan Budaya, Warisan, Intelek & Menyegarkan Jasmani dan Lingkungan

Perpustakaan Awam Selangor

268. Perpustakaan adalah gerbang ilmu dan hikmah untuk membentuk masyarakat yang berilmu dan berbudaya. Perpustakaan juga menyediakan akses kepada masyarakat untuk mendapat ilmu pengetahuan dan menyuburkan masyarakat yang maju ke arah inovasi yang kreatif.

269. Menyedari hakikat ini, Kerajaan Negeri telah menambah bilangan perpustakaan daripada 88 kepada 102 buah perpustakaan yang berjaya menarik 11.2 juta pengunjung.

270. Jumlah pengunjung yang semakin ghairah memburu ilmu sehingga mencecah 8,000 orang pada hujung minggu dan cuti sekolah di Perpustakaan Raja Tun Uda, Seksyen 13, Shah Alam telah mendorong Kerajaan Negeri untuk menyalurkan peruntukan RM 40 juta bagi membina kemudahan tempat letak kereta bertingkat yang dijangka siap pada akhir tahun ini.

271. Menyedari hakikat ini, Kerajaan Negeri mencadangkan sejumlah RM 8.65 juta diperuntukkan untuk menaiktaraf 3 buah perpustakaan daerah dan sebuah perpustakaan desa yang menelan kos RM 8 juta, membina sebuah perpustakaan desa baru yang dijangka menelan belanja RM 450,000 dan menyediakan peruntukan RM 200,000 bagi melengkapkan koleksi.

272. Kerajaan Negeri akan meneruskan Agenda Pencerahan Selangor dengan peruntukan berjumlah RM 3.5 juta bagi tahun 2018 untuk menjayakan usaha audiobook dan terjemahan karya antarabangsa.

Kebudayaan

273. Budaya dan seni adalah jati diri sesebuah bangsa. Belanjawan yang tidak dilengkapi dengan aspek budaya dan seni adalah tempang dan mencerminkan kemuflisan akal budi. Maka, kecergasan budaya adalah penting untuk kemajuan negeri yang holistik dan bukan semata-mata aspek ekonomi.

274. Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sejumlah RM 5.2 juta untuk memajukan kegiatan dan aktiviti budaya dan seni dalam masyarakat. Saya ingin mencadangkan beberapa inisiatif baru dilaksanakan dalam tahun 2018 termasuk pementasan teater bagi karya-karya sasterawan negara, persembahan simfoni Selangor dan pameran seni halus. Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan program-program pembangunan bakat muda untuk merancakkan lagi perkembangan seni dan budaya termasuk kegiatan penulisan kreatif yang diilhamkan oleh karya Rehman Rashid.

275. Kerja-kerja menaiktaraf bekas bangunan Pejabat Agama Islam Daerah Klang akan bermula hujung tahun ini untuk dijadikan Galeri Seni Lukis Negeri Selangor yang akan menjadi pusat pameran karya-karya seni halus, seni lukis dan seni tampak serta menyediakan ruang untuk menjalankan aktiviti seni dan mempamerkan hasil karya bakat-bakat baru.

Adat Melayu Dan Warisan

276. Demi memartabatkan adat Melayu dan warisan negeri, Kerajaan Negeri berhasrat menjadikan Selangor sebagai pusat khazanah dan warisan serantau.

277. Untuk maksud itu, Kerajaan Negeri akan menganjurkan pameran adat dan warisan bertaraf antarabangsa yang akan dimulakan pada akhir tahun ini dengan kerjasama Sekretariat Nasional Perkerisan Indonesia (SNKI). Pameran ini diadakan bagi meningkatkan minat dan kecintaan masyarakat kepada sejarah, adat dan warisan masyarakat Bugis yang menghasilkan epik La Galigo, di samping melahirkan pahlawan seperti Raja Haji dan pendeta Raja Ali Haji.

Pencerahan Rakyat

278. Untuk menyuburkan masyarakat bermaklumat bagi melawan fenomena fake news dan gutter politics, Kerajaan Negeri terpanggil untuk memperkenalkan inisiatif baru yang akan memberi pencerahan kepada rakyat dengan fakta dan ilmu melalui program pengukuhan minda rakyat yang meliputi penerbitan majalah, jurnal dan media digital. Program ini akan diperuntukkan RM 12.3 juta.

Pembangunan Generasi Muda & Sukan

279. Dasar Belia Negeri Selangor digubal untuk membangunkan generasi muda yang progresif, berdaya saing dan dinamik. Kita tidak boleh menafikan bahawa sukan merupakan aspek integral dalam pembangunan generasi muda yang sihat dan kuat. Untuk tujuan ini, Kerajaan Negeri bercadang memperuntukkan sejumlah RM 27.83 juta untuk melaksanakan program generasi muda dan sukan bagi tahun 2018.

280. Daripada jumlah tersebut, sejumlah RM 11.74 juta adalah untuk menaiktaraf infrastruktur sukan selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk mencungkil bakat-bakat baru di setiap daerah bagi mencapai objektif Selangor peneraju kecemerlangan sukan.

281. Antara projek yang akan diberikan keutamaan adalah membaiki Stadium Shah Alam dan Stadium Malawati (RM 5 juta), Stadium Kota Raja (RM 3.5 juta) dan Dewan Gimnastik Sekinchan (RM 1 juta). Manakala, RM 2.2 juta akan diperuntukkan untuk menaiktaraf infrastruktur sukan di peringkat Dewan Negeri.

282. Kerajaan Negeri juga akan menyediakan sejumlah RM 7 juta bagi kemajuan sukan dan pembangunan olahragawan dan olahragawati untuk Sukan Malaysia (SUKMA) 2018.

283. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada atlet-atlet Selangor yang mewakili Malaysia dalam Temasya Sukan SEA ke-29 yang menunjukkan prestasi yang cemerlang dengan merangkul 41 pingat emas.

284. Saya juga mengucapkan tahniah kepada Majlis Sukan Negeri Selangor kerana berjaya menganjurkan Kejohanan Berbasikal Tour de Selangor 2017 yang cukup berprestij dan bertaraf antarabangsa.

285. Masa depan negara adalah dalam genggaman millennials. Menyedari hakikat ini, Kerajaan Negeri menyediakan RM 9.09 juta bagi tahun 2018 untuk pembangunan generasi muda termasuk Insentif Perkahwinan Belia berjumlah RM 5 juta dan program-program generasi muda anjuran Penggerak Belia Tempatan (PeBT) berjumlah RM 1.44 juta.

Pelancongan

286. Sejumlah RM 7.25 juta disediakan untuk pembiayaan promosi dan acara pelancongan, pembangunan produk pelancongan dan industri kraf tangan.

287. Sehingga September 2017, sebanyak 25 buah projek naiktaraf produk pelancongan telah dilaksanakan dengan tumpuan kepada eco-sport seperti sky mirror di Kuala Selangor dan penaiktarafan kemudahan aktiviti sukan air di Tasik Biru Kundang di samping mengembangkan aktiviti sukan air seperti luncur angin, kayak dan jetski serta aktiviti menyelam di tasik-tasik semula jadi.

STRATEGI KELIMA : Membangun Negeri Penyayang

Program Air Percuma

288. Kerajaan Negeri akan meneruskan program pemberian air percuma kepada seluruh rakyat Selangor. Peruntukan sebanyak RM 185.2 juta disediakan untuk maksud ini bagi tahun 2018. Kerajaan Negeri ingin menasihatkan pengguna supaya membudayakan amalan konservasi air terawat di rumah, pejabat dan industri memandangkan air adalah sumber yang amat bernilai.

Kasih Ibu Smart Selangor (KISS)

289. Institusi keluarga amat bergantung kepada peranan ibu yang bukan sahaja mendidik dan membesarkan anak tetapi juga sering memikul tanggungjawab untuk mengurus kewangan bagi keluarga.

290. Justeru itu, ibu merupakan insan yang paling terkesan dengan pelaksanaan GST dan kenaikan harga barang seperti bawang, cili merah dan ikan kembong sehingga kadangkala wujud gangguan dan tekanan emosi. Ramai ibu yang terpaksa membantu suami untuk mendapat pendapatan tambahan untuk menampung kos sara hidup keluarga. Kerajaan Negeri tidak mahu melihat keadaan ini berterusan.

291. Kita tidak berada di sini tanpa seorang ibu. Kasih sayang seorang ibu terhadap anak dan keluarga tiada penghujungnya.

292. Mengikut peratusan isi rumah dan agihan pendapatan mengikut kelas pendapatan kasar isi rumah bulanan bagi Negeri Selangor 2016 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan sebanyak 1.7 peratus isi rumah menerima pendapatan sebanyak RM 1,999 ke bawah. Ini bermakna seramai 108,800 isi rumah terlibat atau kira-kira 30,000 keluarga.

293. Untuk membantu ibu bagi setiap keluarga di atas pengorbanan dan perit jerih mereka khususnya yang berpendapatan isi rumah RM 2,000 ke bawah, maka Kerajaan Negeri ingin memperkenalkan inisiatif baru iaitu Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang akan memberdaya ibu-ibu di Selangor sebagai pengurus kewangan untuk keluarga masing-masing.

294. Setiap ibu yang layak akan menerima bantuan sebanyak RM 2,400 setahun, atau RM 200 setiap bulan. Melalui Kad KISS, 30,000 ibu di Selangor akan mendapat bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung serta peralatan dan pakaian sekolah untuk anak-anak di pasaraya dan kedai runcit yang akan dikenalpasti.

295. Usaha ini adalah sebahagian daripada Inisiatif Peduli Rakyat yang akan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri dengan implikasi kewangan sebanyak RM 72 juta. Sebagai permulaan, Kerajaan Negeri komited untuk memulakan inisiatif ini bagi suku tahun pertama 2018 dengan pembiayaan sebanyak RM 18 juta.

Early Intervention Programme (EIP)

296. Kerajaan Negeri memperuntukkan RM 3.8 juta bagi tahun 2018 bagi program-program kebajikan. Pelaksanaan Early Intervention Programme (EIP) akan diperuntukkan sebanyak RM 3 juta untuk menyediakan pendidikan dan perkhidmatan terapi yang diperlukan oleh kanak-kanak berkeperluan khas seperti fisioterapi, occupational therapy, speech therapy dan hydrotherapy.

297. Pelaksanaan program ini telah memberi manfaat kepada beberapa buah pusat intervensi awal termasuk Eden Firdaus Centre for Special Education yang diterajui oleh pengarah dan penggiat filem, Saudara Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

298. Kerajaan Negeri juga menyediakan sejumlah RM 800,000 untuk golongan orang kelainan upaya (OKU) dan sukarelawan serta pembangunan dan pemberdayaan warga emas.

SMUE & TAWAS

299. Skim Mesra Usia Emas (SMUE) akan diteruskan bagi tahun 2018 dengan peruntukan sebanyak RM 28 juta. Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) yang telah dilaksanakan hampir 10 tahun berbanding dengan ADAM50 yang baru lahir minggu lalu akan terus disemarakkan dengan peruntukan RM 5 juta.

Menyantuni Veteran Angkatan Tentera & Pasukan Beruniform

300. Kerajaan Negeri senantiasa menghargai jasa dan pengorbanan besar anggota keselamatan khususnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) yang berjuang untuk mempertahankan kedaulatan negara dan menjaga keselamatan rakyat Malaysia. Mulai tahun 2017, Kerajaan Negeri telahpun memperuntukkan RM 1 juta untuk Tabung Pahlawan Angkatan Tentera termasuk menyalurkan bantuan terus kepada anggota veteran ATM yang memerlukan bantuan kesihatan dan kebajikan keluarga. Sumbangan ini disampaikan sendiri oleh saya dalam program ziarah keluarga veteran ATM di setiap daerah.

301. Saya ingin mencadangkan program ini diteruskan bagi tahun 2018 dengan menaikkan peruntukan kepada RM 1.5 juta.

Program Latihan Kemahiran Pesara Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Negeri Selangor

302. Program ini adalah sebahagian daripada skim latihan semula pekerja. Bagi tahun 2018, sejumlah RM 1 juta akan diperuntukkan untuk membantu pesara tentera menjalani kehidupan selepas bersara seperti pengurusan masa, pengurusan kesihatan dan latihan keusahawanan. Peluang latihan ini akan menggilap semula potensi para pesara agar mereka dapat menceburi bidang-bidang yang baru dalam pasaran pekerjaan.

Imarah Muassasah Haji

303. Tatkala saya bersarapan pagi di Warong Pak Mat, Sungai Jelok, Kajang pada 27 Oktober 2017, saya didampingi oleh pengusaha warong, Haji Mohamad Bin Baba yang tersenyum riang dan melahirkan rasa syukur kerana Pak Mat dan isterinya, Hajjah Zaiton Binti Ahad atau Mak Ton menerima hibah daripada Kerajaan Negeri dalam bentuk pembiayaan Imarah Muassasah Haji tahun ini.

304. Menyedari betapa besarnya rahmat yang diperolehi oleh jemaah Haji yang juga Insya Allah akan melimpahkan barakah kepada negeri, maka Kerajaan Negeri akan menyemarakkan program Imarah Muassasah Haji dengan menyediakan peruntukan berjumlah RM 3.25 juta untuk 6,500 jemaah haji muassasah Negeri Selangor pada tahun hadapan.

Program Pembasmian Kemiskinan

305. Saya ingin mencadangkan program pembasmian kemiskinan diperuntukkan sejumlah RM 10.4 juta untuk meneruskan pelaksanaan program pada tahun 2018 termasuk Program Jom Shopping iaitu bantuan baucar perayaan sempena Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali.

306. Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan iaitu pemberian bantuan peralatan perniagaan seperti mesin memproses makanan dan mesin jahit bagi memulakan perniagaan akan diteruskan dengan peruntukan berjumlah RM 2 juta.

Program Kerajaan Prihatin

307. Program Kerajaan Prihatin akan mempergiatkan komitmen untuk membantu golongan miskin yang berpendapatan isi rumah di bawah RM 1,500 sebulan untuk memiliki rumah yang selesa dan selamat melalui peruntukan RM 1.5 juta berbanding RM 1 juta pada tahun ini.

308. Usaha ini dijangka dapat membantu 120 buah keluarga bagi tahun 2018 berbanding 81 buah keluarga yang telah menerima bantuan Kerajaan Prihatin pada tahun 2017.

Pekerja Ladang

309. Kerajaan Negeri peka dengan keperluan pekerja ladang untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi mereka. Program pembangunan pekerja ladang akan diteruskan pada tahun 2018 dengan peruntukan sebanyak RM 500,000 bertujuan untuk meningkatkan kemahiran seperti menjahit, memasak, membaiki peralatan pejabat dan kenderaan untuk mengupayakan golongan ini menggilap potensi demi masa depan.

Pendidikan Anak-Anak Pekerja Ladang

310. Selain pemberdayaan pekerja ladang, Kerajaan Negeri turut mengambil berat pendidikan anak-anak pekerja ladang. Dalam tahun 2018, Kerajaan Negeri bercadang untuk meningkatkan peruntukan daripada RM 1 juta kepada RM 1.3 juta bagi tujuan membiayai Program Bantuan Subsidi Tambang Bas Sekolah dan Bantuan Yuran Pengajian ke IPTA dan IPTS.

311. Di samping itu, inisiatif ini turut menyediakan peruntukan bagi penyampaian anugerah kecemerlangan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk anak-anak pekerja ladang yang cemerlang.

Hal Ehwal Selain Islam

312. Kepelbagaian agama dan kaum adalah aset terpenting Negeri Selangor. Sehingga Oktober 2017, sebanyak 518 persatuan telah menerima sumbangan berjumlah RM 5.1 juta bagi aktiviti keagamaan masing-masing. Pada tahun 2018, peruntukan sebanyak RM 6 juta disediakan untuk maksud yang sama.

Komuniti Sikh

313. Kerajaan Negeri akan meningkatkan peruntukan khas kepada komuniti Sikh di Selangor daripada RM 500,000 kepada RM 1 juta bagi menjalankan aktiviti kemasyarakatan dan menambahbaik infrastruktur gurdwara.

Misi Kemanusiaan

314. Isu-isu kemanusiaan tidak mengenal sempadan. Kezaliman rejim zionis di Palestin, pembunuhan umat Rohingya di Myanmar dan semua bentuk kekejaman dan penindasan terhadap minoriti umat Islam perlu mendapat respon yang tegas dengan tindakan yang substantif.

315. Kerajaan Negeri mengalu-alukan pendirian tegas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengklasifikasikan jenayah pembunuhan umat Islam Rohingya sebagai genocide.

316. Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk menyalurkan dana bantuan kemanusiaan berjumlah RM 1.5 juta menerusi Global Peace Mission Malaysia (GPM) dan Malaysian Life Line For Syria (MLLFS) yang diterajui oleh WADAH-ABIM-PKPIM.

F. PENUTUP

317. Belanjawan 2018 yang dibentangkan adalah satu belanjawan yang tuntas, bertanggungjawab dan komprehensif dengan jaminan tidak ada mana-mana kelompok atau golongan yang tertinggal atau terpinggir. Kekayaan negeri ini cukup untuk semua tetapi tidak cukup jika pemimpinnya serakah. Seperti yang diperingatkan oleh Mahatma Gandhi:

“The world has enough for everyone’s need, but not enough, for everyone’s greed.”

318. Belanjawan yang sarat dengan Inisiatif Peduli Rakyat demi membangun bangsa dan memakmurkan negeri telah memberikan kebaikan kepada rakyat di setiap pelusuk negeri.

319. Maka, rakyat datang berbondong-bondong untuk merayakan kemenangan dan menikmati hasil mahsul negeri. Seperti yang dihikayatkan :

Yang capek datang bertongkat,
yang buta datang berpimpin,
yang pekak leka bertanya,
yang kecil terambin lintang,
yang jarak tolak tolakkan,
yang pendek tinjau meninjau ;

dan kini,

yang muda datang berselfie,
demam diberi kad peduli,
musafir naik bas free,
untuk berniaga modal diberi,
ibu-ibu tetap dikasihi.

320. Saya tidak berupaya untuk mengemukakan satu belanjawan yang unggul tanpa sokongan Ahli-Ahli Dewan Negeri. Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat yang senantiasa menjadikan Dewan ini sebagai wahana untuk memartabatkan rakyat Selangor. Saya berlapang dada menerima kritikan dan pandangan berbeda, kerana prinsip ini juga disuburkan dalam Islam seperti yang dikupas oleh Sheikh Taha Jabir Al-Alwani dalam kitabnya, Adab al Ikhtilaaf fil Islam atau The Ethics of Disagreement in Islam.

321. Di atas keupayaan kita membingkai muafakat yang utuh, ianya telah menghasilkan sebuah negeri yang maju dan makmur. Tetapi, saya ingin mengingatkan bahawa kejayaan kita hari ini sedang dicemburui oleh banyak pihak.

322. Maka, kita tidak akan sunyi dari serangan, tohmahan, fitnah dan mehnah. Saya tetap berdiri teguh di dalam Dewan yang mulia ini untuk terus menggalas amanah rakyat dan saya akan mematahkan semua serangan dengan kesabaran dan kebijaksanaan.

Patah sayap bertongkat paruh,
patah paruh bertongkat siku,
patah siku bertongkat dagu,
patah dagu bertongkat kuku.

323. Namun, untuk berjaya kita perlu bersatu padu. Inilah yang diungkapkan oleh Publius Syrus, “Where there is unity, there is always victory.” Dalam sejarah umat manusia, kita menyaksikan bagaimana Maharaja Augustus menyatukan Rome untuk membina tamadun Romawi yang gemilang.

324. Melalui gagasan kesatuan ummah, tamadun Islam muncul dengan kesatuan Jazirah Arab yang kemudian meluas ke Eropah, Afrika dan Asia. Semuanya bermula dengan perpaduan. Tanpa perpaduan, tidak ada keagungan.

325. Sebagai sebuah negeri kosmopolitan, perpaduan perlu berlandaskan semangat toleransi, kesederhanaan dan saling hormat menghormati. Kerajaan Negeri amat prihatin tentang meningkatnya insiden intolerance dalam negara – toleransi semakin pudar dalam masyarakat. Situasi ini telah mengundang Majlis Raja-Raja Melayu untuk memberikan pedoman.

326. Kerajaan Negeri mendukung pendirian tegas Raja-Raja Melayu berhubung isu perpaduan dan hubungan harmoni di kalangan rakyat yang berbilang kaum dan agama serta penegasan mengenai keperluan memahami dan menghormati prinsip-prinsip murni yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutan.

327. Pedoman ini memimpin rakyat mendepani cabaran semasa termasuk menjawab tindakan melampau individu dan kumpulan yang menggugat kestabilan dan keharmonian masyarakat majmuk.

328. Atas prinsip ini, saya mengajak seluruh rakyat Selangor untuk menolak gutter politics, budaya samseng dan fahaman rasis.

329. Marilah kita bermuafakat, seiya dan sekata, laksana air dalam pembentung, seperti aur dengan tebing, serumpun bak serai, sesusun bak sireh, untuk bersama membangunkan sebuah bangsa yang gagah, bermaruah, berwibawa dan menghormati nilai-nilai kemanusiaan sejagat.

330. Maka, janganlah gusar dengan angan-angan gabungan 3 mantan Menteri Besar yang menjadi boneka kleptokrat, bernafsu besar untuk merampas kuasa rakyat. Malang bagi mereka, “the spirit is willing, but the flesh is weak.”

331. Rakyat hari ini matang dan bijak. Rakyat mahukan sebuah Kerajaan yang bukan sahaja petah untuk berjanji, tetapi kepimpinan yang berintegriti dan berwibawa.

332. Rakyat Selangor hari ini mahu membicarakan persoalan masa depan, mara ke hadapan dan bukan berceloteh cerita lapuk dek zaman. Rakyat mahu sebuah Kerajaan yang bersih, bertanggungjawab dan memberi perkhidmatan yang cemerlang secara adil dan saksama.

333. Rakyat mahu Kerajaan membina rumah rakyat, bukan mahligai untuk pemimpin. Rakyat mahu khazanah negeri diurus dengan bertanggungjawab, bukan dimasukkan dalam akaun peribadi, dibawa lari ke Australi dan ditahan oleh imigrasi.

334. Alhamdulillah, kita adalah Kerajaan peduli rakyat. Kuat semangat dan cergas jasmani. Makkal ara sangam. Yee Men Wei Ben Ter Cheng Fu. Yakinlah, rakyat akan terus bersama dengan Kerajaan yang menjadikan kepentingan mereka sebagai agenda utama.

335. Saya akan meneruskan amalan terjah dan menggarap seluruh kekuatan, bukan sahaja untuk berkerumun tetapi untuk berbaris, dengan satu tekad, keadilan mesti ditegakkan di bumi bertuah ini.

336. Esok, saya akan berkampung di Tanjong Karang untuk menyantuni masyarakat desa yang menggamit-gamit saya untuk memperkukuh ukhuwwah.

Pengecualian Cukai Taksiran & Fi Lesen Perniagaan

337. Langkah menyantuni penduduk kampung, kampung baru dan kampung bagan serta pemilik rumah kos rendah dan peniaga kecil yang telah dilaksanakan saban tahun semenjak 2016 akan diteruskan pada tahun 2018 memandangkan kadar inflasi yang terus meningkat. Justeru, sukacita saya mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri akan sekali lagi mengecualikan cukai taksiran dan fi lesen perniagaan. Pengecualian ini akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri sebanyak RM 70 juta.

Tabung Penyayang

338. Ahli-Ahli Dewan Negeri asyik di lapangan, ribut dan petir bukan halangan, bandar dan desa menjadi tumpuan, berganding bahu demi perpaduan, membawa kebaikan dan kesejahteraan.

339. Bagi tahun 2018, saya ingin mencadangkan inisiatif baru untuk menyokong usaha Ahli-Ahli Dewan Negeri meneruskan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

340. Kerajaan Negeri bercadang untuk menubuhkan Tabung Penyayang melalui peruntukan tambahan RM 200,000 bagi setiap Ahli Dewan Negeri, Penyelaras Dewan Negeri dan Parlimen untuk program kemasyarakatan termasuk ziarah medik dan keperluan kebajikan seperti sumbangan makanan asas dan keperluan persekolahan.

341. Saya juga ingin mencadangkan peruntukan tahunan JKKK dinaikkan daripada RM 10,000 setahun kepada RM 20,000 bagi membantu 371 JKKK Kampung Tradisi dan 78 JKKK Kampung Baru Cina dan Bagan untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti kampung dan program mesra rakyat.

Insuran Perlindungan Penjawat Awam

342. Kerajaan Negeri ingin mencadangkan satu program perlindungan skim insuran / takaful berkelompok untuk penjawat awam sehingga Gred 44 di bawah pentadbiran SUK Selangor yang memberi manfaat kepada lebih 10,000 pembantu tadbir, pekerja rendah awam, anggota penguatkuasa, pengawal keselamatan dan pemandu.

343. Skim ini akan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri dengan peruntukan sebanyak RM 3 juta bagi tahun 2018.

344. Skop perlindungan yang komprehensif terdiri daripada kematian atau hilang upaya kekal akibat kemalangan, khairat kematian, rawatan perubatan, elaun wad tunai, kematian akibat penyakit atau selain dari kemalangan, hilang upaya kekal menyeluruh akibat penyakit serta perlindungan manfaat hospital (hospitalization) termasuk rawatan perubatan pesakit luar di hospital Kerajaan atau swasta.

Penjawat Awam – Mithali Kecemerlangan

345. Saya bersyukur Negeri Selangor mempunyai pasukan penjawat awam yang kuat, profesional dan berintegriti. YB Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri dan anak-anak buahnya berlumba-lumba meningkatkan prestasi. Tiada masalah rakyat yang tidak dirungkai, tiada fail yang tidak disemak, tiada surat yang tidak dijawab, tiada emel yang tidak dibalas. Penjawat awam Selangor merupakan “the paragon of excellence” – mithali kecemerlangan.

346. Dengan khidmat yang sebegini cemerlang, masakan saya tergamak melupakan jasa penjawat awam, yang telah mengangkat Selangor sebagai negeri termaju di Malaysia, negeri yang dicemburui pelbagai pihak, hatta Putrajaya.

347. Buat keluarga besar penjawat awam Selangor, saya hadiahkan serangkap pantun:

Tanam pinang rapat-rapat,
Agar tumbuh tidak sendiri;
Siang dan malam menjaga rakyat,
Jasa sekalian tersemat di hati.

348. Saya dapat mendengar bisikan hati tuan-tuan, pantun saja tak cukup.

349. Maka, mengenangkan khidmat yang tiada tolok bandingnya, saya bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan yang tiada taranya di mana-mana, apalagi di Putrajaya. Dengan penuh rasa syukur dan tawadu’, saya mengumumkan bahawa anggota perkhidmatan awam Negeri Selangor akan menerima, tanggungjawab yang lebih mencabar pada tahun 2018.

350. Maka, sebagai dorongan untuk terus berkhidmat dengan cemerlang, bantuan khas kewangan bagi tahun 2018 untuk anggota perkhidmatan awam Negeri Selangor ditambah dari dua bulan gaji kepada tiga bulan gaji.

351. Pembayaran sebanyak dua bulan telah pun dilakukan pada pertengahan Jun 2017 menjelang sambutan Eidul Fitr. Untuk melengkapi bantuan khas kewangan tersebut, satu bulan gaji akan dibayar pada 21 Disember 2017 untuk membantu penjawat awam membuat persediaan persekolahan anak-anak.

352. Bantuan khas kewangan ini akan turut dinikmati oleh 6,725 guru-guru KAFA dan 371 Ketua-Ketua Kampung Tradisi, 78 Ketua Kampung Baru Cina dan Kampung Bagan serta 48 Ketua Komuniti India.

353. Pembayaran bantuan khas kewangan tiga bulan gaji memberi implikasi kewangan kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM 94.65 juta. Sayugia diingat, pembayaran ini menggunakan peruntukan tahun ini, dan dibayar tahun ini.

354. Saya dan pimpinan akan terus bekerja dan berlumba-lumba untuk mengerjakan kebaikan seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 148 :

“Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu sekalian (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

355. Ayat ini memberi keinsafan kepada kita semua bahawa Allah SWT telah mengurniakan nikmat kemakmuran yang cukup luas di bumi bertuah ini. Maka, menjadi tanggungjawab kita untuk menyambut seruan Ilahi dan berlumba-lumba melakukan kebaikan. Dengan tekad dan semangat untuk berjaya, InshaAllah, Negeri Selangor kekal makmur dan rakyat kekal sejahtera.

356. Tuan Speaker, saya mohon mencadangkan.

Saksikan live Belanjawan Negeri Selangor 2018 pada 3 November 2017 jam 3 petang.

Daftar email anda untuk menerima 'reminder' dan link livestream