SELANGOR

Zakat Didik tarik minat lebih 500 pelajar SAMBEST

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 19 APR: Program Zakat Didik anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjaya menarik minat lebih 500 pelajar termasuk guru di Sekolah Agama Menengah Bestari Subang Jaya (SAMBEST), di sini, hari ini.

Jurucakap LZS dalam kenyataan berkata, program berbentuk santai dalam menyampaikan mesej dakwah zakat itu dianjurkan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

“Slot pertama taklimat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) disampaikan Asisten Superitendan Nazri Harun dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Subang Jaya yang memberikan penekanan terhadap isu pencegahan jenayah dalam kalangan pelajar untuk bersama difahami dan dihayati guru, ibu bapa serta masyarakat.

“Slot kedua pula disampaikan Al-Fadil Ustaz Masrol Mohd Rasid yang memberi penekanan terhadap keperluan membayar zakat dalam menyeimbangi keperluan sosio ekonomi ummah dan keberkatan harta yang menarik sejumlah 53 orang pembayar zakat menyertai Skim Potongan Gaji (Skim Berkat).

“Sementara slot terakhir, LZS memberi kefahaman berzakat dalam kalangan pelajar melalui simulasi sedekah dan ianya sangat praktikal serta mudah dilaksanakan meskipun masih bergelar seorang pelajar,” katanya.

Selain itu, pelajar turut dihiburkan dengan pelawak terkenal tanah air, Saiful Apek yang ditampilkan khas bagi berkongsi pengalaman hidup berkenaan dengan keberkatan zakat ditunaikan.

Bagi mewujudkan suasana seronok dalam penyampaian dakwah, LZS memaklumkan, pelajar yang lahir pada April juga diraikan, selain diselang seli dengan soalan kuiz untuk memantapkan kefahaman zakat dalam kalangan pelajar.

“Program sebegini akan terus dilaksanakan di semua peringkat lapisan umur sama ada di peringkat tadika, sekolah, universiti mahupun belia,” katanya.


Pengarang :