Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berucap ketika Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal RMK-12 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam pada 1 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor enjin ekonomi negara, sandaran capai status berpendapatan tinggi

SHAH ALAM, 1 JUN: Selangor merupakan enjin ekonomi negara yang perlu terus dipacu bagi mencapai sasaran status negara berpendapatan tinggi selewat-lewatnya pada 2028.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kerajaan persekutuan juga amat bergantung kepada Selangor, selain perlu melaksana pelbagai projek perintis di negeri itu.

“Banyak projek dan program perintis melonjakkan Malaysia sebagai negara maju mesti bermula di Selangor. Sebab itu kita mesti seiring supaya perancangan Selangor dan persekutuan terus selari.

“Kalau kita terus berada dalam perkembangan seperti ini, menjelang 2026 atau 2027 atau selewat-lewatnya 2028, Malaysia akan diiktiraf negara berpendapatan tinggi,” katanya.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berucap ketika Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal RMK-12 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam pada 1 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Beliau berucap pada sesi libat urus kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) oleh Kementerian Kewangan dan Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim serta barisan pentadbiran Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu, Rafizi berkata Selangor tidak terkecuali daripada berdepan cabaran semasa seperti isu perumahan, kepadatan penduduk, peluang pekerjaan dan pengangkutan.

Beliau menambah negeri itu juga harus memberi contoh terbaik kepada semua pihak bagaimana untuk mengimbangi antara kemajuan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

“Kalau orang Selangor tidak boleh mulakan langkah asingkan sampah untuk diproses sebagai sumber tenaga baharu dan menjana pendapatan, saya rasa Malaysia tidak akan dapat laksanakan,” katanya.


Pengarang :