SELANGOR

Selangor ada pelan rungkai kemelut wanita

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 FEB: Kerajaan Negeri giat melaksanakan Pelan Tindakan Khas 2017-2020 bagi menyelesaikan isu pertindihan dan tanggungjawab wanita dalam institusi kekeluargaan kini.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, tumpuannya termasuklah merangka, menyusun, dan melaksanakan matlamat dan strategi Kertas Dasar Wanita Selangor di bawah kajian Institut Wanita Berdaya (IWB).

“Kerajaan Negeri melaksanakan pelan tindakan wanita Selangor untuk menyelesaikan masalah ini dengan beberapa aspek dikaji bagi mendapatkan penyelesaian jangka panjang.

“Ini bagi memastikan golongan wanita dapat meneruskan kerjaya mereka dan terus berbakti kepada majikan dan Kerajaan Negeri tanpa perlu mengenepikan (tanggungjawab) kepada keluarga mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Seminar Keseimbangan Hidup Bekerjaya (Work Life Balance) anjuran Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor di Dewan Auditorium Tingkat 2, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Raja Tun Uda, pagi ini.

Terdahulu katanya, wanita kini berdepan masalah ‘peranan tradisi’ yang menghalang kepada perkembangan jaringan ekonomi golongan itu.

Katanya, realiti itu menyebabkan golongan wanita era ini tidak mampu untuk berdaya saing ke peringkat lebih tinggi apabila terpaksa mengambil pendirian menamatkan perkhidmatan dalam kerjaya masing-masing bagi memberi tumpuan kepada isu kekeluargaan.

Bagaimanapun, Pelan Tindakan Khas 2017-2020 yang dilaksanakan Kerajaan Negeri kini diperkenalkan bagi memantau dan menilai perlaksanaan dasar bagi menjalankan proses pengumpulan maklumat melalui perundingan dan wacana.


Pengarang :