Suasana sekitar Karnival Kerjaya Mega Selangor 2023 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 18 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Iklan jawatan kosong meningkat 23.5 peratus suku kedua 2023

KUALA LUMPUR, 30 NOV: Penawaran kekosongan jawatan atau pekerjaan yang diiklankan pada suku tahun kedua 2023 (ST2 2023) meningkat sebanyak 23.5 peratus iaitu sebanyak 261,231, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pada suku kedua tahun ini, terdapat 70,571 pertubuhan menawarkan kekosongan jawatan, peningkatan ketara berbanding 55,006 pertubuhan yang dilaporkan pada suku tahun pertama tahun ini.

“Sementara itu, kekosongan jawatan mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 29.3 peratus pada ST2 2023 berbanding peningkatan tahunan 32.9 peratus pada ST1 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mengikut perincian bulanan, kebanyakan iklan telah disiarkan pada Mei 2023 dengan 109,262 kekosongan manakala kekosongan pada Jun dan April adalah masing-masing sebanyak 103,826 dan 48,143.

Katanya dari segi pengagihan kekosongan jawatan mengikut kategori pekerjaan, Profesional merupakan penyumbang terbesar pada ST2 2023 dengan 48.1 peratus atau 125,625 kekosongan diikuti oleh Juruteknik dan Profesional Bersekutu (18.3 peratus), Pengurus (15.1 peratus) dan Pekerja Perkhidmatan dan Jualan (6.9 peratus).

“Jawatan yang mendapat permintaan tinggi pada suku tersebut (ST2 2023) adalah Profesional Pengiklanan dan Pemasaran (20,846), Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif (12,703), Profesional Bersekutu Pentadbiran (12,284), Akauntan dan Juruaudit (10,781) dan Pembangun Perisian (7,779),” katanya.

Katanya bagi kekosongan jawatan mengikut sektor ekonomi, perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar kekosongan jawatan diiklankan dalam talian dengan 59.0 peratus yang mencatatkan sejumlah 154,134 kekosongan.

“Kesemua aktiviti ekonomi mencatatkan pertambahan dalam bilangan kekosongan jawatan kecuali kesenian, hiburan dan rekreasi; perlombongan dan pengkuarian, aktiviti perkhidmatan lain, bekalan elektrik, gas, wap dan pendingin udara, dan bekalan air, pembetungan, pengurusan sisa dan aktiviti pemulihan,” katanya.

Beliau berkata perdagangan borong dan runcit mendominasi kekosongan jawatan dengan 18.2 peratus atau 47,597 kekosongan, pembuatan merekodkan sebanyak 27,429 kekosongan (10.5 peratus), diikuti aktiviti profesional, saintifik dan teknikal pada 18,667 kekosongan (7.1 peratus) dan aktiviti kewangan dan insurans/takaful dengan 18,665 kekosongan (7.1 peratus).

Mohd Uzir berkata dari perspektif pekerjaan popular yang ditawarkan dalam kategori pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), profesional pengiklanan dan pemasaran mencatatkan kekosongan jawatan tertinggi iaitu 20,846 dan diikuti Profesional Bersekutu Pentadbiran (12,284) dan Pembangun Perisian (7,779).

Sementara itu, beliau berkata tiga pekerjaan teratas bagi penawaran kerja dalam kategori Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) adalah juruteknik (2,758), pengurus projek (2,171) dan jurutera perisian (2,098).

“Bagi Senarai Pekerjaan Kritikal (COL), permintaan tertinggi adalah Profesional Pengiklanan dan Pemasaran (20,846), Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif (12,703) dan Akauntan dan Juruaudit (10,781),” katanya.

Beliau berkata Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terus merekodkan kekosongan jawatan tertinggi pada ST2 2023 dengan 59,222 jawatan (22.7 peratus), diikuti Selangor 20,438 (7.8 peratus), Johor 11,436 (4.4 peratus) manakala Perlis mencatat bilangan kekosongan jawatan terendah dengan 91 iklan.

Mohd Uzir berkata berdasarkan keperluan kemahiran dalam pasaran kerja, statistik menunjukkan permintaan tinggi bagi kemahiran insani dalam kalangan majikan terdiri daripada penguasaan Bahasa Inggeris, komunikasi yang efektif, penguasaan Bahasa Malayu keupayaan merancang dan kemahiran pemasaran.

Selain itu, beliau berkata terdapat penekanan yang semakin meningkat terhadap kemahiran teknikal iaitu penguasaan Bahasa Mandarin, keupayaan menganalisis, kecekapan dalam Microsoft Office, kepakaran pemfailan dan kemahiran pengurusan projek.

Katanya bagi mengukuhkan peluang pekerjaan dalam kalangan pencari kerja, adalah penting untuk membina dan menyelaraskan kemahiran tersebut secara konsisten mengikut keperluan semasa pasaran kerja yang dinamik.

-BERNAMA


Pengarang :