EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian ketika majlis serahan sumbangan lembu korban kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Selangor sempena sambutan Aidiladha 2023 di Selangor Fruit Valley Kuala Selangor pada 28 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pelancongan agro berpontensi lonjak kehadiran pengunjung ke Selangor

KUALA SELANGOR, 28 JUN: Sektor pelancongan agro berpotensi melonjak kehadiran pelancong dalam dan luar negara justeru usaha mempromosikan giat dijalankan.

EXCO pelancongan Hee Loy Sian berkata selain ekopelancongan, bidang itu mampu menarik kehadiran pelancong kerana ia mempunyai tarikan dan keistimewaan tersendiri.

“Sebagai contoh Selangor Fruits Valley merupakan tempat yang sangat unik di Selangor yang mempunyai tanaman pelbagai buah-buahan tempatan dan aktiviti lain yang selalunya digemari pelancong.

“Selepas ini saya akan bincang dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan kerjasama dengan Tourism Selangor mungkin boleh diwujudkan hotel (penginapan) di Selangor Fruits Valley,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Lembu Korban untuk masyakat Orang Asli sempena Aidiladha 2023 di Selangor Fruits Valley, Bestari Jaya di sini hari ini.

Bantuan sempena Aidiladha diserahkan kepada Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Selangor dan Wilayah Persekutuan, Mohamad Anis Othman membabitkan 13 kampung di enam daerah dengan peruntukan sekitar RM80,000.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian meninjau keadaan lembu yang akan diserahkan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Selangor dan Wilayah Persekutuan sempena sambutan Aidiladha 2023 di Selangor Fruit Valley, Kuala Selangor pada 28 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Mengulas mengenai kejayaan Selangor mengekalkan rekod nombor satu jumlah kedatangan pelancong domestik, Loy Sian berkata ia hasil kejayaan kempen “Nak Bercuti? Jom Pusing Selangor Dulu!” yang diperkenal sejak tiga tahun lepas.

“Daerah tumpuan pelancongan domestik adalah di Petaling Jaya, Subang Jaya, Sepang dan Kuala Selangor.

“Jumlah 22 juta pelancong domestik itu jauh lebih tinggi daripada tempat kedua iaitu 16.9 juta (Kuala Lumpur). Ini bermaksud Selangor jadi negeri tumpuan bukan setakat pelancongan tetapi juga industri dan pelaburan,” katanya.

Selangor berjaya mengekalkan rekod nombor satu jumlah kedatangan pelancong domestik ke negeri ini pada tahun lalu dengan catatan 22 juta jauh lebih tinggi berbanding negeri lain.

Angka itu sekali gus meletakkan Selangor sebagai negeri teratas meninggalkan Kuala Lumpur dengan 16.9 juta diikuti Sarawak (15.5 juta), Perak (14.6 juta) dan Pahang (13.2 juta).


Pengarang :