NASIONAL

Rencana Induk Port Dickson tangani isu setempat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 JAN: Program pembangunan komprehensif, Rencana Induk Port Dickson dibentuk bagi menangani pelbagai permasalahan berkaitan isu alam sekitar dan setempat di kawasan berkenaan.

Ahli Parlimennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara berkenaan telah dibincangkan dalam satu mensyuarat semalam bersama Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun dan beberapa pihak termasuk pelabur berpotensi tinggi.

“Rencana induk ini adalah program pembangunan komprehensif mengadunkan pelan pembangunan secara holistik, mesra alam dan mampan.

“Ini adalah program pembangunan dan saya mengalu-alukan maklumbalas lanjut daripada pengundi,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Anwar berkata, pihaknya juga akan meneliti dan mengkaji beberapa aspek antaranya menopang perniagaan kecil dan sederhana dalam menguasai teknologi digital, sistem kumbahan yang teratur, kebersihan pantai serta mengurangkan kesesakan lalu lintas sekitar Port Dickson.

Katanya, hampir tiga bulan menjadi Ahli Parlimen di kawasan itu, beliau banyak memberi tumpuan dan mendengar pelbagai pandangan, idea, rintihan serta harapan pelbagai pihak.

“Saya berharap Pelan Induk Port Dickson D akan memulakan proses menangani pelbagai kebimbangan masyarakat Port Dickson.

“Antara isu utama dikenal pasti setakat ini adalah pembersihan pantai, pembuangan air kumbahan, kesesakan lalu lintas dan menangani projek pembinaan terbengkalai,” katanya.

Beliau turut menyambut baik cadangan dan pandangan penduduk Port Dickson mengenai apa jua permasalahan dan isu berkaitan memandangkan rencana itu akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

 


Pengarang :