Kerajaan digesa siasat kehilangan RM2 bilion hasil cukai akibat penyeludupan rokok

Nga Kor Ming rokokKUALA LUMPUR 23 OKT : Kerajaan Pusat digesa meningkatkan tindakan penguatkuasaan ke atas kes penyeludupan rokok kerana negara kehilangan hampir RM2 bilion hasil cukai duti dalam tempoh setahun.

Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming, berkata kehilangan itu tidak termasuk kerugian cukai akibat penyeludupan minuman keras ke dalam negara yang dijangka lebih besar daripada jumlah berkenaan.

Beliau berkata, berdasarkan penyelidikan British American Tobacco Co, Malaysia mempunyai kadar penyeludupan rokok tertinggi di dunia iaitu satu pertiga rokok di pasaran adalah hasil produk daripada lambakan aktiviti penyeludupan secara haram.

“Memandangkan harga rokok di pasaran RM12.50 sekotak, ramai perokok memilih untuk menghisap bahan yang diseludup masuk kerana dianggap lebih murah walaupun menjejaskan kesihatan mereka.

“Fenomena itu jelas membuktikan langkah kerajaan menaikkan duti cukai sama ada rokok atau arak adalah kurang berkesan dalam mengawal kegiatan penyeludupan membabitkan barangan berkenaan,” katanya pada sidang media, di lobi Parlimen, hari ini.

Kor Ming berkata, harga rokok yang mahal secara tidak langsung mempergiat lagi aktiviti penyeludupan hingga menyebabkan pengguna dan kerajaan terpaksa menanggung kerugian akibat kelemahan pihak berkuasa seperti Jabatan Kastam, Polis DiRaja Malaysia dan Jabatan Imigresen.

Katanya, kerajaan disaran supaya menempatkan ejen Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di setiap agensi penguatkuasaan bagi mengatasi masalah terbabit.

“Berdasarkan kepada pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Robert Low, kerajaan akan mengupah 500 pegawai integriti mulai tahun depan untuk ditempatkan di agensi kerajaan.

“Bagi membanteras kegiatan penyeludupan, badan penguatkuasa undang-undang harus diberi keutamaan menerima penempatan pegawai terbabit sebagai semakan dalaman supaya mereka dapat memberi maklumat berguna bagi mencegah kegiatan penyeludupan yang kian membimbangkan,” katanya.

-NFN-


Pengarang :