BN Jaguh Putar Belit Isu Tanah Kubur, Kuil

KUALA SELANGOR 9 JUN: Pembangkang DUN Selangor diingatkan agar tidak memutar belitkan fakta yang melibatkan isu-isu sensitif demi kepentingan politik mereka.

Demikian menurut Pegawai Penyelaras Pejabat Kerja Menteri Besar, Abdul Rahman Umar ketika ditemui TV Selangor baru-baru ini.

Menurut Rahman, antara isu sensitif yang diputar belitkan pemimpin BN di Ijok ialah isu tanah perkuburan Islam dan tapak Kuil Kuil Sri Subramaniam yang terletak dalam tanah milik Arimaju Sdn Bhd.

Jelasnya, BN tuduh Kerajaan Negeri beri tanah kubur kepada pemaju, sedangkan tanah kubur itu tidak disentuh langsung. Dahulu begitu lama berkuasa, mereka(BN) tidak mahu gazetkan tanah berkenaan.

“Sekarang tanah perkuburan yang ada dah digazetkan, memang kekal ada di situ, malah ada dua tanah perkuburan digazetkan,”katanya.

Begitu juga isu kuil, padang bola dan pondok rehat yang ada. Menurut Rahman, BN sepatutnya terlebih dahulu mewartakan kawasan yang melibatkan kepentingan masyarakat terutama melibatkan rumah ibadat sebelum menyerahkan kepada pihak lain.

“Kenapa pada masa nak beri hakmilik mereka tak selesaikan betul-betul tentang padang bola, pondok rehat dan terutama sekali Kuil itu?

“Pada masa itu mereka sendiri tahu Kuil itu wujud di situ pada 1978 lagi, sedangkan BN beri hakmilik kepada pemaju tahun 1998,” tegasnya.

Sekarang apabila Pakatan Rakyat mentadbir, kita adakan perbincangan untuk selesaikan masalah ini.

Difahamkan, sebelum ini Kerajaan Negeri menganjurkan perbincangan antara penduduk dengan pemaju dan persetujuan bersama berjaya dicapai dalam pertemuan itu.

Bagaimanapun keputusan yang pada awalnya memuaskan hati semua pihak terlibat, dirosakan oleh pemimpin pembangkang BN, dengan menghasut wakil Kuil dan penduduk kawasan terlibat agar menolak semula persetujuan yang dicapai itu.

Menurut Rahman, Kerajaan Selangor akan mengadakan satu lagi pertemuan dengan pihak terlibat bagi memperolehi keputusan muktamad.

Masalah tanah ini bermula pada tahun 1998 apabila sebuah syarikat memohon agar diberi hakmilik tanah tersebut dari Kerajaan Negeri BN sebelum ini untuk dimajukan.

Selepas permohonan mereka diluluskan, syarikat terlibat telah menjualkan tanah yang merupakan tapak Taman Sejati, Ijok yang ada hari ini kepada pemilik tanah sekarang.

Projek pembinaan Taman Sejati yang dijalankan dalam tiga fasa itu, sebelum ini tidak mengalami sebarang masalah dalam fasa pertama dan kedua.

Bagaimanapun masalah mula timbul apabila di peringkat fasa ke tiga projek ini melibatkan beberapa kawasan sensitif yang menimbulkan pertikaian penduduk setempat.


Pengarang :