Prasarana perlu bertindak atasi isu ‘bonggol terbang’

OLEH : NAZLI IBRAHIM

SUBANG JAYA, 7 JUN: Kontraktor bagi Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) yang terlibat dengan kerja membina lintasan pejalan kaki di Jalan Persiaran Jengka sepatutnya meletakkan tanda amaran bagi mengelakkan pemandu memandu laju di kawasan terbabit.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Hannah Yeoh, berkata kegagalan kontraktor terbabit berbuat demikian bukan sahaja menyebabkan kerosakkan beberapa kenderaan, malah turut membahayakan pengguna jalan raya.

“Lintasan pejalan kaki ini dimohon penduduk SS14 dan SS18 kerana jalan ini menghubungkan dua buah sekolah digunakan ramai pelajar kedua-dua sekolah ini.

“Bagaimanapun kesilapan kontraktor Prasarana, apabila siap, sementara menunggu jalan ini dicatkan warna kuning, papan tanda dan lampu isyarat dipasang tidak meletakkan tanda amaran menyebabkan pemandu tidak memperlahankan kenderaan kerana tidak menyedari kewujudan bonggol baru disiapkan itu,” kata Hannah Yeoh kepada media di USJ 2 di sini, hari ini.

Katanya, pengguna jalan raya sepatutnya tidak memandu laju di kawasan ini berikutan Jalan Persiaran Jengka merupakan jalan raya terletak di kawasan perumahan dan bukannya lebuh raya.

Bagaimanapun beliau melahirkan rasa lega apabila kontraktor terbabit sudah mengambil langkah susulan bagi mengatasi masalah itu dengan meletakkan kon banyak sekaligus menyebabkan pengguna jalan raya terpaksa memperlahankan kenderaan mereka.

“Lampu isyarat lintasan pejalan kaki mempunyai butang dipasang hanya pada akhir bulan ini. Saya juga minta mereka memperbanyakkan papan tanda di jalan ini,” katanya lagi.

Terdahulu, satu video menunjukkan beberapa kenderaan dipandu laju kelihatan ‘terbang’ apabila melalui jalan itu dalam kelajuan tinggi dan sekaligus menyebabkan beberapa kenderaan mengalami kerosakan.

EZY


Pengarang :