Program kesedaran dipergiat, elak kes culik berulang

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 JUN : Kerajaan Negeri giat merangka pelbagai program jangka panjang bagi memberi kesedaran kepada orang awam terhadap senario kes culik melibatkan kanak-kanak ketika ini.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata program berbentuk kempen kesedaran diperlukan bagi mendidik masyarakat untuk lebih berhati-hati terhadap suasana persekitaran ketika ini.

YB Daroyah“Kita akan mengadakan program kesedaran kepada ibu bapa terutamanya kepada ibu bapa muda untuk diajar tentang ilmu keibu bapaan kepada mereka.

“Setakat ini kita merancang beberapa program kesedaran seperti Big Girls Talk dan selepas ini boleh juga diadakan program Big Boy Talk pula,” katanya kepada SelangorKini.

Sebelum ini, program Big Girls Talk dianjurkan bagi memberi penerangan kepada kaum wanita agar lebih positif terhadap aspek penjagaan diri.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga konsisten mewujudkan pelbagai program kesedaran dalam kalangan masyarakat termasuklah penganjuran program HeForShe, Women Of Selangor, PledgeForParity dan Selangor Home Maker.

Daroyah berkata, penganjuran program seumpama itu digerakkan sebagai usaha murni Kerajaan Negeri memastikan kehidupan masyarakat Selangor aman dan sejahtera.

-nR-


Pengarang :