Masak sendiri juadah berbuka lebih jimat dan puas hati

OLEH: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 12 JUN: Kaum wanita sama ada suri rumah sepenuh masa atau mereka yang berkerjaya lebih gemar memasak di rumah berbanding membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan.

Jururawat, Noraspita Khalil, 30, berkata penyediaan makanan sendiri mampu menjamin kebersihan dan memelihara zat makanan.

“Lebih puas hati dapat masak sendiri, boleh tambah sampai kenyang siap boleh simpan untuk sahur.

“Kadang-kadang ada juga singgah bazar sekadar menyokong kawan yang berniaga namun tidak berlebihan berbelanja di sana,” kata ibu kepada seorang cahaya mata ini.

Turut bersetuju, Siti Norhaniza Hassan, 31, dari Bangi pula menambah memasak sendiri mampu menjimatkan perbelanjaan serta mengelakkan pembaziran.

“Pengalaman mengajar kami juadah daripada bazar selalunya sedikit masuk ke perut kami selebihnya masuh ke tong sampah.

“Ini kerana lauk yang dibeli di bazar kurang sedap, cepat basi tidak boleh disimpan untuk sahur sebagaimana yang dimasak sendiri,” kata suri rumah beranak dua ini.

Bagi Eksekutif Pentadbiran, Wan Nur Ellivia Aziz, 32, hidangan disediakan di rumah lebih menepati selera dan citarasa keluarga berbanding yang dibeli di bazar.

“Yang penting ialah bagaimana kita menguruskan waktu yang ada secara bijak untuk memasak.

“Makanan juga boleh disejuk beku untuk simpanan dan kegunaan kita pada masa diperlukan,” katanya yang tinggal di Shah Alam.

EZY


Pengarang :