Arang Batu ketinggalan, Exco gesa TNB teroka tenaga alternatif

elizabeth01PETALING JAYA 2 OKT : Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong menyarankan Tenaga Nasional Berhad (TNB) supaya melaksanakan kaedah ‘Micro Sitting’ di bangunan-bangunan Kerajaan atau kawasan sekitar sebagai sumber tenaga alternatif dalam kehidupan harian.

Cadangan itu diutarakan selepas TNB mengambil keputusan untuk membina dua loji janakuasa berkuasa arang batu berteknologi tinggi di Perak bagi memenuhi permintaan elektrik yang semakin meningkat.

Elizabeth berpendapat keputusan TNB itu mengejutkan pihaknya, sedangkan negara luar kini sedang menumpukan pelaksanaan sumber tenaga yang boleh diperbaharui antaranya tenaga solar, biomas dan hidro.

“Namun, kita di Malaysia masih menumpukan kepada sumber yang akan habis dalam masa terdekat dan sumber itu tidak boleh diperbaharui.

“Saya mencadangkan, TNB supaya menggunakan peruntukkan itu untuk menggunakan kaedah ‘Micro Sitting’ di bangunan-bangunan kerajaan dan kawasan sekitar supaya sasaran untuk mendapatkan tenaga lebih baik dan boleh diperbaharui,” katanya ketika berucap di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) di antara Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Malaysia Green Technology Corporation.

Semalam, TNB mengumumkan akan membina dua loji janakuasa berkuasa arang batu teknologi tinggi berkeupayaan 1,000 MW di Manjung, Perak bagi memenuhi permintaan elektrik yang semakin meningkat.

Penggunaan tenaga pada masa ini dijangka meningkat sebanyak lima peratus setahun dan kedua-dua projek itu dalam perancangan syarikat.

Kedua-dua projek itu akan bermula tidak lama lagi dan akan siap dalam masa empat tahun akan datang.

Malaysia menggunakan kira-kira 15,000 MW hingga 16,000 MW kuasa setiap hari, dan angka itu dijangka meningkat setiap tahun.


Pengarang :